Institut Tenaga Masa Hadapan (IFE) merupakan salah sebuah institut penyelidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berfokus kepada penyelidikan, konsultasi serta penyedia latihan berkaitan penghasilan tenaga boleh diperbaharui, aplikasi teknologi hidrogen yang terkini, sistem tenaga elektrik serta semua kajian dalam bidang peralihan tenaga.
IFE merupakan gabungan kepakaran penyelidik UTM yang terdiri daripada tiga pusat kecemerlangan iaitu:
- Centre of Hydrogen Energy (CHE);
- Centre of Electrical Energy Systems (CEES); dan
- UTM Ocean Thermal Energy Centre (UTM OTEC).
RAKAN Sarawak telah menemu bual Pengarah IFE, Profesor Madya Ir. Dr. Md Pauzi Abdullah secara dalam talian untuk bertanyakan tentang peranan institut ini dalam memajukan tenaga boleh diperbaharui di negara kita.
Menurut beliau, IFE mempunyai kumpulan penyelidik pakar dalam bidang teknologi serta kejuruteraan yang merangkumi bidang berfokus kepada peralihan tenaga seperti berikut:
- Pengeluaran hidrogen (Hydrogen production)
- Aplikasi selfuel hidrogen (Hydrogen fuel cell application)
- Pemangkinan (Catalysis)
- Keselamatan proses (Process safety)
- Kawalan, pemodelan dan intensifikasi proses (Process intensification, modeling and control)
- Grid Kuasa Bestari (Smart power grid)
- Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable energy)
- Kajian penjanaan dan pasaran tenaga elektrik (Electrical energy markets and generation studies)
- Kualiti Kuasa (Power quality)
- Loji pandu penukaran tenaga haba lautan (Ocean thermal energy conversion (OTEC) power plant)
Pihak IFE bekerjasama secara rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta pihak industri bagi menyebar luaskan penyampaian maklumat serta perkongsian kepakaran yang ada di UTM dalam menyahut seruan kerajaan ke arah mencapai negara emisi sifar karbon menjelang tahun 2050.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) mentakrifkan tenaga boleh diperbaharui sebagai “tenaga yang diperoleh daripada proses semula jadi yang diisi semula pada kadar yang sama atau lebih cepat daripada kadar penggunaannya.
Dalam erti kata lain, tenaga yang diperoleh daripada proses semula jadi ini merangkumi sumber seperti cahaya matahari, air, angin, biojisim dan biogas.
Sumber tenaga boleh diperbaharui daripada air termasuk tenaga hidrokuasa, tenaga pasang surut, tenaga ombak dan penukaran tenaga haba lautan (Ocean Thermal Energy Conversion, OTEC).
Secara umumnya, tafsiran istilah ini adalah sama di Malaysia dan negara-negara lain namun, terdapat perbezaan pandangan mengenai tenaga daripada hidrokuasa.
Ada pihak berpendapat bahawa tenaga hidrokuasa besar tidak boleh dianggap sebagai tenaga boleh diperbaharui kerana ia melibatkan pembinaan empangan berskala besar yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar, termasuk kemusnahan habitat, perubahan dalam ekosistem sungai dan pemindahan komuniti secara.
Ia turut memberi kesan negatif yang bercanggah daripada tujuan utama penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Tenaga daripada hidrokuasa kecil yang dihasilkan daripada aliran air sungai dianggap lebih tepat dengan konsep tenaga boleh diperbaharui kerana mempunyai kesan negatif yang lebih sedikit.
Walau bagaimanapun, jika kita mengguna pakai definisi yang diberikan oleh IEA, hidrokuasa besar tetap dianggap sebagai tenaga boleh diperbaharui kerana ia bergantung pada aliran air yang berterusan, yang boleh dikekalkan dalam jangka masa panjang tanpa menghabiskan sumber.
Adalah penting bagi Malaysia khasnya dan Sarawak amnya menggunakan tenaga boleh diperbaharui ini atas beberapa sebab iaitu yang pertama ialah bagi keterjaminan tenaga (energy security).
Bagi keterjaminan tenaga, ia bergantung hanya pada sumber tenaga fosil seperti arang batu dan gas menyebabkan kebergantungan yang tinggi pada sumber tersebut dan meningkatkan risiko keterjaminan tenaga.
Dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui, Malaysia dan Sarawak dapat mencapai diversifikasi sumber tenaga yang lebih baik. Ia seterusnya mengurangkan risiko masalah keterjaminan tenga dan kesan harga tenaga antarabangsa yang tidak menentu.
Kedua ialah untuk kelestarian alam sekitar (environmental sustainability) dimana penggunaan tenaga boleh diperbaharui membantu mengurangkan pencemaran alam dan tekanan terhadap alam sekitar
Ketiga ialah bagi pembangunan ekonomi (economic development) kerana industri tenaga boleh diperbaharui menawarkan peluang pembangunan ekonomi yang besar, peningkatan latihan serta kemahiran yang melibatkan teknologi tinggi.
Ia termasuklah penciptaan pekerjaan professional dan semi-professional serta pelaburan langsung antarabangsa (foreign direct investment) dalam mencapai sasaran Pelan Transformasi Tenaga Nasional (National Energy Transforma:on Roadmap) (NETR).
Malaysia dan Sarawak boleh memanfaatkan potensi industri tenaga boleh diperbaharui ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Menurut Suruhanjaya Tenaga Malaysia (sehingga Ogos 2023), Jumlah kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) operasi di Malaysia seperti berikut;
- Hidrokuasa kecil – 96.8 MW;
- Solar – 2657.15 MW;
- Biogas – 137.6 MW; dan
- Biojisim & sisa kepada tenaga (WTE) – 78.38 MW.
Kapasiti terpasang hidrokuasa besar lebih kurang 6,200MW dan Sarawak menyumbang 3,452MW (sumber: Sarawak Energy) Sumber: Suruhanjaya Tenaga Malaysia
Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada Oktober 2023, kapasiti penjanaan elektrik terpasang Malaysia daripada tenaga boleh baharu ialah 25%.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) pula mensasarkan pada tahun 2025, Malaysia akan menjana elektrik sehingga 31% daripada tenaga boleh diperbaharui seterusnya meningkatkan komitmen Malaysia kepada 40% pada tahun 2035 dan 70% menjelang sasaran emisi karbon sifar pada tahun 2050.
Tumpuan Malaysia lebih kepada mengguna pakai dan melaksanakan teknologi tenaga boleh diperbaharui sedia ada seperti fotovoltaik suria (solar PV).
Pendekatan ini memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan kemajuan teknologi negara lain untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam negara.
Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti skim Tarif Masukan (FiT), program Net Energy Metering (NEM) dan skim Solar Skala Besar (LSS).
Terkini ialah perdagangan rentas sempadan tenaga elektrik hijau (dengan Singapura) bagi meningkatkan lagi penjanaan elektrik daripada tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.