- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Integriti Asas Keberkesanan dan Kejayaan Perkhidmatan JPVS

Must read

Integriti adalah nilai yang sangat penting dalam semua perkhidmatan awam lebih-lebih lagi dalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang memainkan peranan penting terhadap kesejahteraan haiwan, membangunkan industri ternakan dan kesihatan awam veterinar.

Justeru, penganjuran Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) merupakan satu program yang penting untuk menunjukkan komitmen JPVS dalam membudayakan dan menyemarak nilai integriti di kalangan warga JPVS.

Sambutan Hari Integriti ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran di kalangan warga jabatan tentang kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan dengan matlamat bebas daripada amalan rasuah serta penyelewengan pada setiap masa dan keadaan.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah JPVS YBhg. Datu Dr. Adrian Susin Ambud semasa berucap di Majlis Perasmian Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak 2024 pada 31 Oktober 2024.

Pengarah JPVS YBhg. Datu Dr. Adrian Susin Ambud semasa berucap di Majlis Perasmian Hari Integriti JPVS 2024

Dalam konteks ini, integriti bermaksud menjalankan tugas dengan jujur, bertanggungjawab dan beretika tanpa mengira situasi atau tekanan yang dihadapi kerana ini adalah asas kepada keberkesanan dan kejayaan perkhidmatan di JPVS.

Misalnya dari segi pakaian yang dipakai oleh Ketua-Ketua Perkhidmatan Veterinar semasa melafaz ikrar di mana, ia secara dasarnya menunjukkan kuasa yang ada pada mereka, namun beliau mengingatkan agar kuasa yang telah diberikan itu tidak disalahgunakan.

Beliau memaklumkan bahawa, keluarga veterinar adalah kecil di mana jabatan ini hanya mempunyai kekuatan seramai 265 orang sahaja.

Suasana semasa upacara lafaz ikrar

Akan tetapi, JPVS mampu memberi impak yang besar kepada Sarawak dengan menyumbang RM3 bilion nilai pengeluaran ternakan pada tahun ini dengan nilai eksport melebihi RM250 juta setahun, malah JPVS telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM5 juta pada tahun ini.

Beliau memberitahu bahawa, JPVS mempunyai sasaran menjelang 2030 iaitu yang pertama adalah untuk meningkatkan nilai industri ternakan kepada RM5 bilion.

JPVS juga berhasrat untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) daging daripada 13% pada masa ini kepada 25%.

Selain itu, JPVS juga berhasrat untuk membasmi penyakit rabies dan mengekalkan status bebas Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) di Sarawak menjelang 2030 selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pengimport makanan bersih (net food exporter) menjelang 2030.

Kerana itu, beliau menyeru kepada semua kakitangan JPVS agar mempamerkan integriti dalam aspek perkhidmatan seperti pengurusan perolehan jabatan, import dan eksport, penguatkuasaan, pengurusan industri ternakan, penternak, sumber manusia dan kewangan bagi mencapai matlamat yang disebutkan itu.

Tambah beliau, setiap bidang perkhidmatan ini mempunyai cabaran tersendiri dalam memartabatkan dan menghayati integriti.

Sekitar Majlis Perasmian Hari Integriti JPVS

Namun begitu, walau badai menimpa, dilambung ombak yang tinggi sekalipun, warga veterinar perlu memastikan integriti tetap dipegang dan disemat di dalam sanubari masing-masing.

Ini dibuktikan dengan pembanterasan aktiviti penyeludupan produk ternakan yang baru-baru ini dijalankan di Miri dan Bintulu dengan nilai rampasan berjumlah RM6.5 juta dan JPVS telah berjaya mengutip denda sebanyak RM50 ribu dari dua hasil aktiviti penyeludupan ini.

Kerana itu, beliau sekali lagi menekankan bahawa integriti adalah kunci kepada kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kita kerana tanpa integriti, usaha kita dalam memelihara dan meningkatkan kesejahteraan haiwan serta keselamatan dan keterjaminan makanan akan terjejas.

Oleh itu, adalah penting agar semua kakitangan di JPVS sentiasa memegang teguh kepada prinsip integriti dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.

Integriti juga bermakna, kita mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan kita harus sedar bahawa tindakan yang kita ambil bukan sahaja memberi kesan kepada diri kita sendiri, tetapi juga kepada masyarakat yang bergantung kepada perkhidmatan kita.

Oleh itu, kita harus sentiasa memastikan bahawa kita bertindak dengan penuh bertanggungjawab dan beretika, justeru kita harus sentiasa ingat akan tanggungjawab kita adalah untuk menjaga kepentingan Kerajaan.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa, selain daripada enam nilai bersama di dalam One SCS iaitu Integriti, Profesionalisme, Berorientasikan Hasil, Baik Hati dan Prihatin, Semangat Berpasukan, Sikap Kesegeraan dan Semangat Sepunya, beliau juga telah memperkenalkan konsep ‘Ceria’ atau ‘Cheerful’ di JPVS.

Budaya ceria ini merangkumi lima (5) teras iaitu yang pertama ialah Condusive iaitu satu tindakan untuk mewujudkan suasana kerja yang positif dan ceria agar semua warga JPVS dapat bekerja dengan rasa gembira dan selesa.

Kedua ialah ‘Environment atau Empathy’ untuk memelihara persekitaran yang sihat dan selamat serta menunjukkan empati terhadap rakan sekerja dan pihak yang berurusan dengan kita.

Ketiga ialah Responsive and Reliable iaitu bertindak balas dengan cepat dan tepat terhadap keperluan dan permintaan serta menjadi rakan yang boleh diharapkan dalam setiap tugas yang dijalankan.

Teras keempat ialah Integriti iaitu berpegang teguh kepada prinsip integriti dalam setiap tindakan dan keputusan untuk memastikan semua warga JPVS sentiasa jujur dan beretika dalam menyampaikan perkhidmatan.

Teras kelima ialah Accountability and Awareness iaitu bertanggungjawab terhadap setiap tindakan yang diambil, bertindak dengan cekap dan berkesan serta sentiasa peka terhadap keperluan dan cabaran semasa.

Akhir sekali, beliau menyeru kepada semua warga JPVS untuk memperbaharui komitmen terhadap nilai integriti dan mengamalkan budaya ceria dalam setiap aspek perkhidmatan.

Beliau juga meminta semua warga JPVS untuk terus bekerjasama dengan penuh bertanggungjawab dan keikhlasan untuk sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Ingatlah bahawa setiap tindakan kita bukan sahaja mencerminkan diri kita sendiri tetapi mencerminkan nama baik jabatan dan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat kepada kita, jelas beliau.

Marilah kita berusaha bersama-sama menjaga kesejahteraan haiwan, mentransformasikan industri ternakan dan kesihatan awam veterinar di Sarawak dengan penuh integriti dan penuh keikhlasan.

Pengarah JPVS mengiringi Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom melawat ke booth pameran

Tentang JPVS

Perkhidmatan Veterinar Sarawak merupakan sebuah cawangan di Jabatan Pertanian Sarawak yang dikenali sebagai Cawangan Penternakan yang ditubuhkan pada tahun 1953. Baca lanjut di artikel : Peranan JPVS Bukan Sekadar Memastikan Kesejahteraan Haiwan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article