- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Pengurusan Bekalan Air Yang Lebih Efisien Melalui Pendigitalan

Must read

Sistem Pendigitalan Bekalan Air Sarawak adalah inisiatif Kerajaan Sarawak yang merangkumi pendigitalan sumber air, pengeluaran, pengagihan, penggunaan air dan perkhidmatan pelanggan serta pusat kawalan.

Secara keseluruhan, sistem pendigitalan bekalan air berupaya menangani isu bekalan, rawatan, pengagihan dan kualiti air bagi mencapai sasaran penuh liputan bekalan air bersih menjelang tahun 2030 selaras dengan matlamat Sarawak mencapai status maju melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), YBhg Datu Jafri bin Lias, sistem pendigitalan bekalan air berupaya membantu pihak berkuasa bekalan air dalam mengurus dan menangani cabaran berkaitan bekalan air seperti pengumpulan data dalam masa sebenar (real time) yang memudahkan pemantauan kualiti air, tekanan dan paras air, aliran di seluruh loji, kebocoran paip dan kecurian air serta membolehkan tindakan kawalan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Tetap MUT, YBhg Datu Jafri bin Lias

Data yang dikumpul melalui telemetri dan sensor dapat dianalisis dan membolehkan kesempurnaan dalam perancangan, pembangunan, pembaikpulihan dan pengurusan bekalan air.

Di pihak pengguna, sistem tersebut menyediakan perkhidmatan digital untuk permohonan pemasangan meter air baharu, pemotongan sambungan bekalan air, penggantian meter dan perkhidmatan-perkhidmatan lain secara dalam talian menerusi aplikasi Servis Sarawak.

Selain itu, sistem pendigitalan bekalan air juga memudahkan jurugegas dan syarikat pemasang paip untuk memohon lesen melalui aplikasi Servis Sarawak dengan mudah dan cepat.

Datu Jafri yang ditemu bual RAKAN Sarawak menjelaskan, antara manfaat pelaksanaan sistem pendigitalan bekalan air kepada pengguna adalah memudahkan pengguna menyemak dan membayar bil bulanan, dapat mengakses maklumat gangguan bekalan air terkini dan membolehkan pengguna membuat aduan berkaitan perkhidmatan bekalan air secara dalam talian.

Bagi pihak kerajaan, sistem berkenaan menjadikan pengurusan pembekalan air lebih sistematik dan menyeluruh memandangkan pengurusan bekalan air di Sarawak pada masa ini dilaksanakan oleh empat (4) agensi pembekal air, iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management Sdn. Bhd.

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, inisiatif tersebut dapat menjimatkan kos pembangunan, kos baik pulih infrastruktur air, kos operasi pembekal air secara jangka panjang termasuklah peruntukan sumber manusia secara optimum.

Inisiatif pendigitalan bekalan air Sarawak bakal mewujudkan pengurusan bekalan air yang lebih efisien dan sistematik

Pada masa yang sama, pihak kerajaan dapat mengurus dan memantau aduan pengguna air dengan lebih efektif dan maklum balas dapat dibuat dengan pantas dan diyakini akan meningkatkan kebolehpercayaan pengguna terhadap sistem bekalan air di Sarawak.

Beliau memaklumkan, dalam melaksanakan sistem pendigitalan bekalan air, kerajaan telah memberi perhatian kepada beberapa perkara dengan mengambil kira kesediaan infrastruktur bekalan air seperti kapasiti loji dan tekanan air yang mencukupi serta sistem pengagihan air yang baik kerana infrastruktur yang uzur boleh menjejaskan kebolehpercayaan dan kecekapan sistem pendigitalan.

Perkara lain yang turut diberi perhatian termasuklah meningkatkan kompetensi dan kepakaran teknikal kakitangan pembekal air melalui pelbagai latihan bagi memastikan pengoperasian sistem pendigitalan yang efisien selain meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah vandalisma serta kecurian terhadap peralatan sistem pendigitalan dan infrastruktur serta prasarana bekalan air.

Seterusnya, liputan rangkaian telekomunikasi dan internet yang menyeluruh bagi membolehkan pembekalan data pada masa sebenar di antara pusat kawalan dan peralatan digital yang sempurna turut diambil kira.

Di bawah inisiatif Projek Rakyat, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM110 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan.

Beliau menegaskan, Kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan usaha tersebut diteruskan untuk Projek Pendigitalan Air bagi fasa seterusnya.

Setakat ini, antara inisiatif pendigitalan yang telah dilaksanakan adalah seperti penubuhan pusat kawalan di Ibu Pejabat JBALB di Kuching serta pemasangan meter air pintar.

Pusat kawalan JBALB adalah infrastruktur moden yang berfungsi mengawal dan memantau pengoperasian empangan air, loji rawatan air, pam penggalak dan tangki aras tinggi yang terdapat di pelbagai daerah melalui kawalan jauh.

Sistem yang dipasang merangkumi Supervisory Control and Data Acquisition System (SCADA) yang berfungsi mengumpul, memantau dan menyimpan pelbagai data termasuk kualiti air, tekanan, tahap dan aliran di seluruh loji termasuk status peralatan seperti switchgears, set generator, set pam, injap dan komponen-komponen lain di loji rawatan air.

Pemasangan meter air pintar yang dihubungkan ke pangkalan data sistem pengebilan air melalui Narrowband Internet of Things (NB-IoT) dan frekuensi radio juga telah dilaksanakan manakala penambahan bilangan kemudahan bekalan air untuk disambungkan ke pusat kawalan dana meter air pintar (SWM) pula akan dilaksanakan di seluruh Sarawak.

Di pihak LAK, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah pemasangan 10,000 unit meter air pintar di kawasan Perumahan Tabuan Jaya, Jalan Badruddin dan Darul Hana.

Selain itu, LAK juga sedang dalam usaha mendigitalkan rekod lokasi sebenar aset dan peralatan bekalan air bagi mengemas kini perisian sistem maklumat geografi (GIS) untuk memudahkan proses pengenalpastian kawasan yang mengalami gangguan bekalan air atau kecemasan lain dengan segera.

Bagi pihak SWB, projek perintis pemasangan meter air pintar di kawasan Eco Garden dan Sibu Jaya bakal dilaksanakan yang melibatkan pemasangan 700 unit meter air pintar serta pembangunan platform data pusat untuk memantau penggunaan air semasa.

Dalam membangunkan sistem pendigitalan bekalan air secara menyeluruh, demikian juga halnya dengan pihak LAKU yang telah membangunkan dan mengguna pakai sistem EasyNRW dan Atrium bagi menangani masalah air tidak terhasil atau NRW (non-revenue water) di Miri, Limbang dan Bintulu.

Sistem tersebut telah memudahkan pihak LAKU mengesan kebocoran dan memantau prestasi sistem pengagihan air supaya kadar NRW sentiasa terkawal.

Inisiatif lain termasuklah merancang untuk menyediakan pusat kawalan di ibu pejabat Miri bagi memantau pengoperasian bekalan air di keempat-empat kawasan bekalan air LAKU, iaitu di Miri, Bintulu, Samajaya dan Limbang.

Datu Jafri menambah, kerajaan juga sedang membangunkan pemetaan GIS untuk semua aset dan peralatan bekalan air bagi mewujudkan pengurusan aset yang lebih cekap di samping memudahkan perancangan agihan bekalan air.

Untuk mewujudkan kawalan automatik dan operasi yang lebih sistematik, kerajaan juga akan meneroka kebolehlaksanaan penerapan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem pendigitalan bekalan air sedia ada.

Secara dasarnya, beliau memaklumkan bahawa sistem pendigitalan bekalan air telah pun dilaksanakan di keempat-empat agensi bekalan air Sarawak pada masa ini.

Fokus kerajaan seterusnya adalah menaik taraf sistem pendigitalan sedia ada dan menyempurnakan integrasi di antara sistem baharu dan sistem sedia ada.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article