- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Transformasi Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju dan Akses Air Bersih di Sarawak

Must read

Pada 29 November 2024, Pasukan Pengurusan Projek, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Projek, Haji Mohammad Safri Ibrahim, bersama Bahagian Pelaburan Strategik (SID) Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 2.

Projek ini merupakan inisiatif penting untuk meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 80 juta liter sehari (MLD) kepada 200 MLD melalui proses penaiktarafan Loji Rawatan Air.

Lawatan dimulakan dengan pemeriksaan tapak di Muka Sauk dan Loji Rawatan Air Samalaju, disertakan taklimat oleh pihak RECODA dan perunding. Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian MOF, Dato’ Nor Eni Binti Ismail; Pemangku Ketua Penolong Pengarah (Unit Kewangan), Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Pn. Bata Anak Punjab; serta wakil-wakil daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, LAKU Management dan perunding projek.

Lawatan ke Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 2 membolehkan pemantauan langsung terhadap kemajuan dan pelaksanaan projek. Sumber: RECODA

Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 2 signifikan bagi Sarawak kerana:

  1. Menyokong Pembangunan Industri: Kapasiti bekalan air yang meningkat kepada 200 MLD memastikan keperluan air terawat mencukupi untuk menyokong pertumbuhan pesat Taman Perindustrian Samalaju (SIP), hab industri utama di negeri ini.
  2. Memacu Ekonomi Negeri: Penyediaan infrastruktur air yang kukuh menarik lebih banyak pelaburan ke Sarawak, meningkatkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan untuk negeri.
  3. Meningkatkan Infrastruktur Asas: Projek ini membuktikan komitmen terhadap pembangunan infrastruktur strategik yang menyokong agenda pembangunan mampan Sarawak.

Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi berusaha memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk seluruh negeri dengan langkah proaktif seperti menaik taraf loji rawatan air, menggantikan saluran paip lama, serta membina loji baru.

Salah satu program utama di Sarawak adalah Program SAWAS (Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak) yang bertujuan untuk menyediakan sumber air bersih di kawasan luar bandar, khususnya di tempat-tempat yang belum mendapat akses kepada bekalan air terawat.

Pelaksanaan SAWAS merupakan salah satu langkah penting menuju visi Sarawak 2030. Sumber: Arkib RAKAN Sarawak

Menurut Menteri Utiliti & Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, pencapaian terbaru dalam bekalan air di Sarawak menunjukkan kemajuan positif melalui Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air.

Setakat ini, 267 projek atau 88% daripada jumlah projek yang dirancang telah disiapkan, sementara 29 projek (9%) masih dalam pembinaan dan 8 projek (3%) sedang dalam perancangan.

Kerajaan Sarawak telah mencapai liputan lebih daripada 90% bekalan air bersih di kawasan bandar, tetapi untuk kawasan luar bandar, liputannya masih pada 71% (Unit Komunikasi Awam Sarawak, 2024).

Di peringkat persekutuan, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Namun, laporan audit terbaru menunjukkan sebanyak 12 projek bekalan air yang tertangguh di Sarawak dan memberi kesan kepada lebih 32,000 isi rumah yang masih tidak mendapat bekalan air bersih (Utusan Borneo Online, 2024).

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof  bercadang supaya projek bekalan air bernilai RM50 juta ke bawah dilaksanakan secara langsung oleh kerajaan Sarawak.

Peningkatan liputan bekalan air di kawasan bandar dan luar bandar, membuktikan komitmen kerajaan Sarawak untuk mempertingkatkan infrastruktur asas dan menyediakan kemudahan terbaik bagi rakyat.

Walaupun cabaran seperti projek tertangguh masih wujud, langkah-langkah strategik akan diteruskan untuk memastikan Sarawak mencapai liputan bekalan air sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article