Semasa merasmikan persidangan sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Kuching pada 13 Mei, Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menegaskan bahawa kelestarian bukanlah perkara untuk direnungkan kemudian, sebaliknya menjadi prinsip panduan dalam agenda pembangunan Sarawak seperti yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
PCDS 2030 yang membawa hala tuju ke arah Sarawak mencapai status maju menjelang 2030 menetapkan kelestarian alam sekitar sebagai satu (1) daripada tiga (3) tunjang utama selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
Kelestarian juga perlu mencakupi sektor pembinaan dan tidak hanya terhenti apabila sesebuah bangunan siap dibina. Sebaliknya, kelestarian perlu diteruskan sepanjang kitaran hayat bangunan.
Oleh sebab itulah Sarawak amat menyokong inisiatif lestari dalam penyenggaraan bangunan melalui Pengurusan Fasiliti profesional atau singkatannya untuk istilah dalam industri pembinaan disebut sebagai FM (Facility Management) bagi memastikan keselamatan, keberkesanan dan kelanjutan usia aset milik kerajaan.
Pelaksanaan FM diharap dapat menghentikan norma pembinaan bangunan baharu yang dalam masa sama mengabaikan kemudahan sedia ada.
Pada masa ini, sebanyak lebih 4,000 kuarters kerajaan yang terdapat di Sarawak sementara kira-kira 3,000 kuarters baharu akan dibina.
Walau bagaimanapun, wujud kontradiksi apabila hanya terdapat 17 kontraktor profesional FM berdaftar di Sarawak berbanding dengan 468 kontraktor berdaftar di seluruh negara.

Pada 2024, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak merintis kontrak FM rasmi di Sarawak untuk bangunan Borneo Cultures Museum, seterusnya membuka jalan untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) ke atas beberapa bangunan milik kerajaan yang lain merangkumi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) di Bintulu, IAC Limbang dan IAC Lawas serta Kuarters Gunasama Persekutuan di Bintulu.
Sehubungan itu, Premier Sarawak menyarankan perlunya pelaksanaan FM diperkukuh di negeri ini dan menggesa kontraktor tempatan untuk mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan memainkan peranan dalam hal tersebut yang merupakan sebahagian daripada strategi kelestarian secara holistik Sarawak.

Sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan utama dalam menangani isu perubahan iklim bagi industri pembinaan di Malaysia, CIDB komited mendidik pihak berkepentingan mengenai amalan lestari, mempromosi alternatif mesra alam kepada kaedah konvensional dan memupuk minda penjagaan alam sekitar melalui inisiatif seperti MyCREST (Pengurangan Karbon Malaysia dan Alat Kelestarian Alam Sekitar), Indeks Bangunan Hijau (GBI) termasuklah pelaksanaan FM.
Kejayaan masa depan FM bergantung pada bagaimana pelaksanaannya memanfaatkan inovasi bagi menyampaikan nilai yang boleh diukur dengan menumpukan beberapa bidang utama.
Bidang-bidang tersebut merangkumi teknologi pintar untuk penyenggaraan ramalan, amalan dalam prinsip ekonomi kitaran bagi mengurangkan sisa dan strategi FM mampan untuk menyokong matlamat sifar bersih.
Isu kelestarian telah menjadi agenda utama setiap sektor ekonomi dalam era pasca pandemik COVID-19 sehinggalah keperluan membangunkan persekitaran mampan semakin mendesak dalam kebanyakan industri.
Hal ini sudah pasti telah membawa kepada langkah pendigitalan ekonomi yang turut memberi manfaat besar kepada pemain industri FM.
Bidang FM merangkumi pelbagai disiplin yang bertujuan untuk memastikan fungsi, keselesaan, keselamatan dan kecekapan persekitaran dibina dengan mengintegrasikan manusia, tempat, proses dan teknologi.
Oleh yang demikian, pengurus fasiliti harus memanfaatkan ekonomi digital dalam mewujudkan kelestarian dan tidak hanya terhad mengurus fasiliti bangunan, malahan lebih kepada membantu negara mencapai kelestarian menyeluruh.
Pelaksanaan FM yang cekap dan lestari sangat penting bagi kebanyakan organisasi dalam usaha mengoptimumkan kos perbelanjaan, kecekapan tenaga, mengurangkan pembaziran tenaga dan air, meningkatkan produktiviti kakitangan serta meningkatkan nilai pulangan pelaburan.
Memandangkan kebanyakan fasiliti bangunan sedia ada semakin usang dan memerlukan penyenggaraan lebih terperinci, penggunaan peranti dan penyelesaian inovatif yang memanfaatkan data analitik masa nyata sangat membantu dalam meningkatkan kecekapan pelaksanaan FM.
Ini bermakna, pelaksanaan FM memerlukan transformasi pendigitalan untuk berkembang maju pada masa ini dan pemain industri perlu mengembangkan keupayaan dalam membuat keputusan operasi berdasarkan data analitik masa nyata dalam penyampaian perkhidmatan mereka.
Hal tersebut sudah tentu memberi cabaran serta mendatangkan kesan pendigitalan pengurusan fasiliti bangunan yang perlu dipertimbangkan seperti berikut:
- Data analitik sebagai aset – fasiliti bangunan tidak lagi dilihat berdasarkan sifat fizikalnya. Pengurusan data analitik juga mampu membuat keputusan pintar berkaitan prestasi fasiliti berdasarkan peranti data masa nyata.
- Peralihan teknologi dan penyenggaraan bangunan – peralihan teknologi akan mengubah cara bangunan dikendalikan dan disenggara. Teknologi baharu ini akan mewujudkan jurang kemahiran yang perlu ditangani pemain industri FM sementara mengekalkan tahap prestasi fasiliti yang optimum.
- Risiko dan standard baharu – teknologi baharu akan membawa kepada risiko dan keperluan standard baharu. Analisis risiko, kesinambungan operasi, mitigasi dan rancangan luar jangka menjadi tugas penting pemain industri FM memasuki era digital.
- Etika dan keselamatan baharu – pendigitalan akan membawa beberapa cabaran etika dan keselamatan yang menuntut pengurus fasiliti membuat rancangan luar jangka termasuk masalah berkaitan keselamatan data yang dikumpulkan.
- Kos dan keperluan tenaga kerja mahir – aspek ini mungkin meningkatkan kesan integrasi pendigitalan FM.
- Kemahiran dan latihan baharu – proses pendigitalan memerlukan kemahiran tinggi dan latihan berterusan. Perkembangan teknologi digital akan membantu mengubah paradigma teknikal industri FM ke arah pendekatan strategik baharu.
Secara dasarnya, impak pendigitalan untuk pelaksanaan FM memerlukan kajian berterusan bagi meneroka tahap pelaksanaan semasa dalam sektor awam dan swasta di negara ini dan memerlukan rangka strategi pelaksanaan pendigitalan maksimum yang melibatkan campur tangan pihak berkepentingan.
Intipati lain dalam ucapan Premier Sarawak pada majlis perasmian ICW Borneo 2025 turut menekankan betapa pentingnya industri pembinaan menerima pakai teknologi bangunan hijau seperti pemasangan solar dan penuaian air hujan.
Dalam berhadapan perubahan iklim, proses pembandaran yang pesat dan ditambah dengan kekangan sumber, beliau mencadangkan beberapa langkah kelestarian lain yang harus diambil termasuklah menggunakan bahan binaan rendah karbon dan mampan seperti buluh, kayu ditebus guna dan besi kitar semula.
Selain itu, amalan dalam prinsip ekonomi kitaran juga disarankan oleh beliau yang melibatkan penyingkiran bahan buangan dan pencemaran, pengekalan terhadap produk dan bahan yang digunakan pada nilai tertinggi serta penjanaan semula sistem semula jadi.
Pemain industri juga digesa untuk mengadaptasi pendigitalan dalam sektor pembinaan seperti melaksanakan Pengurusan Maklumat Pembinaan (BIM) yang berupaya meningkatkan kerjasama di antara kontraktor dan juga mengguna pakai internet benda (IoT) bagi membina infrastruktur yang lebih pintar.
Rujukan:
- https://www.cidb.gov.my/bahagian-5-masa-depan-pengurusan-fasiliti-inovasi-dan-kemapanan/
- https://www.cidb.gov.my/bahagian-2-mengurus-risiko-dan-merebut-peluang-dalam-fm/
- https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/04/803933/pengurusan-fasiliti-mesti-manfaat-ekonomi-digital-lestarikan-khidmat