Kemasukan pelajar sekolah ke aliran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Sarawak setakat Jun 2024 direkodkan sebanyak 50.80%, menghampiri sasaran 60% yang telah ditetapkan.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), YBhg Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad, trend kemasukan pelajar dalam aliran STEM di Sarawak menunjukkan peningkatan bermula dari tahun 2022 hingga ke tahun ini.
Pada 2022, peratusan kemasukan pelajar STEM di Sarawak ialah sebanyak 32.77% dan meningkat sedikit pada 2023, iaitu sebanyak 34.68%.
Beliau yang ditemu bual RAKAN Sarawak berkongsi maklumat tersebut berdasarkan pada data dalam Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan Malaysia (MOEIS) yang dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 19 Jun 2024.
Sarawak menyasarkan 60% kemasukan pelajar STEM bagi menggalakkan budaya inovasi dan teknologi dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda sebagai salah satu keperluan bagi mencapai status maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sasaran tersebut juga selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPM 2013 – 2025) yang menetapkan sasaran 60% kemasukan pelajar STEM di seluruh negara.
Data daripada BPPDP juga merekodkan peratusan kemasukan pelajar STEM di seluruh negara setakat tempoh yang sama ialah sebanyak 50.83%.
Datu Dr. Haji Azhar memaklumkan, dalam usaha mempromosi dan menggalakkan kemasukan pelajar tempatan ke aliran STEM, pihak JPNS menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Bermula pada 2017, JPNS telah menjalankan program untuk mewujudkan Makmal Pendidikan STEM di sekolah-sekolah di Sarawak dengan kerjasama UNIMAS dan SMA yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak melalui MEITD.
Sejak program tersebut dijalankan, terdapat 12 buah Makmal Pendidikan STEM yang ada di 12 buah sekolah di Sarawak setakat ini, iaitu lapan (8) buah di sekolah rendah dan empat (4) buah lagi di sekolah menengah.
Sekolah-sekolah rendah tersebut ialah SK Rakyat Haji Bolhassan, SK Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan SK Bako di Kuching, SK Haji Kelali Semera, Samarahan, SK Pichin, Serian, SK Abang Abdul Rahman, Saratok, SK Agama dan SK Awat-Awat di Lawas.
Di peringkat menengah, empat (4) sekolah tersebut ialah SMKA Sheikh Haji Othman Abd Wahab, SMK Tunku Abdul Rahman dan SMK St. Joseph di Kuching dan SMK BM di Saratok.
Beliau turut menyenaraikan beberapa program kolaborasi lain yang dijalankan oleh JPNS yang ada kaitan dengan galakan dan promosi dalam aliran STEM.
Pelaksanaan Dual Language Programme (DLP) misalnya, adalah salah satu usaha bagi menyokong STEM yang mendapat sokongan penuh oleh pihak MEITD.
Program tersebut dilaksanakan berdasarkan surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2019 bertarikh 15 November 2019 yang khusus bagi Sarawak bermula dengan murid Tahun 1 tahun 2020 di semua sekolah rendah.
Beliau menjelaskan, JPNS bersama-sama MEITD sentiasa komited dalam melaksanakan latihan asas bagi guru-guru sains dan matematik untuk meningkatkan kompetensi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mata pelajaran sains dan matematik menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.
Selain latihan asas, pihak MEITD juga membantu dalam membekalkan bahan-bahan sokongan bagi pelaksanaan DLP di Sarawak, antaranya ialah Buku Panduan Guru dan Bahan National Geographic.
Pada masa yang sama, pihak JPNS turut terlibat menjayakan program berbentuk turun padang dalam usaha mempromosi dan menggalakkan minat pelajar terhadap STEM.
Salah satunya ialah penganjuran Karnival STEM Peringkat Negeri yang diadakan pada 26 hingga 30 Ogos 2024 di Sarikei.
Program berkenaan yang dianjurkan bersama pihak TEGAS melalui TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) diharap dapat mengembangkan bakat murid-murid sekolah secara holistik dengan meningkatkan penglibatan dan penyertaan mereka dalam aktiviti pembangunan bakat di samping membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Penganjuran Karnival STEM yang diisi dengan pertandingan berkaitan pendidikan STEM juga diharap dapat menanam kesedaran dan kepentingan inovasi, kemahiran saintifik, pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan murid.
Menerusi kerjasama dengan Petrosains Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Petronas, program Petrosains Visit to Schools: Going Sustainable! dianjurkan untuk tahun kedua berturut-turut sebagai usaha memperkukuh kesedaran dan pemahaman pelajar dalam bidang STEM serta menggalakkan pembelajaran yang berterusan.
Program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti yang berfokus pada isu-isu kelestarian dengan tujuan untuk melengkapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Matlamat Pembangunan Mampan.
Inisiatif tersebut juga sejajar dengan usaha Petronas dalam memperkasa ilmu dengan memperluas pendedahan masyarakat dalam bidang STEM, terutamanya dalam konteks kelestarian lima (5) buah sekolah yang terlibat.
Sekolah-sekolah tersebut ialah SMK Siburan, SMK Serian, SMK Padawan, SMK Kota Samarahan dan SMK Muara Tuang.
Galakan dalam bidang STEM bukan hanya tertumpu pada pelajar-pelajar sekolah, malah para guru juga diberikan peluang untuk meningkatkan kompetensi melalui latihan dalam bidang berkaitan STEM.
Sehubungan dengan itu, Program Duta Guru (PDG) dilaksanakan atas inisiatif Yayasan Petronas dan Teach for Malaysia dengan hasrat untuk membangunkan seramai 4,500 orang guru menjelang 2030 yang berkompetensi tinggi dan komited melalui pendidikan STEM sebagai asas sebuah negara yang berdaya saing tinggi.
Fokus utama PDG adalah menerusi latihan dan sokongan serta perkongsian bahan pembelajaran. Datu Dr. Haji Azhar memaklumkan, setakat ini, lima (5) kohort untuk PDG telah selesai dilaksanakan dan Sarawak mempunyai 80 orang Duta Guru dan seramai 32 Pembimbing Duta Guru yang kebanyakannya ialah Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+).
Untuk kohort 6 yang akan datang, JPNS menjangkakan lebih ramai guru akan memohon untuk menyertai PDG.
Bagi pihak JPNS, beliau amat berterima kasih kepada KPM dan Yayasan Petronas atas peluang yang diberikan tersebut.
Mengulas mengenai kepentingan STEM, beliau menekankan, aliran STEM penting sebagai persediaan kepada murid untuk menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan serta dapat berdaya saing di peringkat global.
Menurut beliau, kebanyakan negara maju menekankan pendidikan STEM kerana aliran tersebut meliputi setiap aspek kehidupan masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi masa hadapan.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan, modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran STEM diperlukan untuk negara kekal berdaya saing dan dinamik di peringkat global.