Bagi memastikan kesejahteraan hidup masyarakat terjamin serta memiliki tahap kesihatan yang baik, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui INTAN Kampus Wilayah Sarawak buat julung kalinya menganjurkan Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Program ini yang dilaksanakan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan INTAN Sarawak (KEKSIS) adalah kolaborasi bersama Jabatan Premier Sarawak, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Sarawak, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Jabatan Belia dan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK).
Objektif penganjuran Larian MAPPA XX adalah bertujuan untuk melahirkan warga perkhidmatan awam serta masyarakat umum yang sihat dan cergas di samping memberi peluang kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan untuk menyebar luas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui pelbagai aktiviti yang bersesuaian.
Di samping itu, ia turut menguar-uarkan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) XX yang akan berlangsung pada 15 Ogos 2025.
Penganjuran Larian MAPPA XX 2025 yang Sarawak ini disertai oleh lebih 2,500 orang peserta terdiri daripada penjawat awam Persekutuan dan Perkhidmatan Awam Sarawak, serta masyarakat umum yang melibatkan tiga (3) kategori larian iaitu kategori 3KM, 5KM dan 10KM.
Menerusi acara larian seumpama ini, ia boleh menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam memupuk suasana sihat dan inklusif, di samping mewujudkan peluang kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Larian MAPPA XX 2025 Sarawak merupakan langkah proaktif INTAN dalam menyokong aspirasi Kerajaan untuk mewujudkan masyarakat sihat dan sekali gus meningkatkan kesedaran akan kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan.
Larian MAPPA XX Tahun 2025 Sarawak merupakan siri jelajah ketiga selepas Kuantan, Pahang dan Batu Kawan, Pulau Pinang.
Di samping acara larian, pelbagai aktiviti seperti pameran reruai yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan turut dianjurkan bersempena dengan Program Larian MAPPA XX Tahun 2025 Sarawak.
Antara pempamer yang terlibat termasuklah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Pengangkutan Jalan, UiTM, UNIMAS, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak dan APEL-Q. Program Jualan Rahmah turut diadakan sempena program larian ini.