- Advertisement -
5,087
published news
and counting

Rangsangan Baharu Ekonomi, Usahawan dan Pertanian di Sarawak

Must read

Pembangunan infrastruktur merupakan asas penting dalam mencetuskan pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar.

Di Sarawak, usaha kerajaan membangunkan rangkaian jalan pesisir, jambatan utama dan pembinaan Jalan Banang Kedua bukan sahaja bertujuan meningkatkan keterhubungan, tetapi juga berpotensi besar untuk merangsang ekonomi desa, memacu sektor pertanian serta mencipta peluang baharu bagi usahawan tempatan.

Rangkaian jalan ini dilihat sebagai pemangkin kepada ekosistem ekonomi bersepadu antara luar bandar dan bandar, sekali gus menjadi penyelesaian kepada cabaran keterasingan, kemiskinan dan jurang pembangunan.

Jalan Banang Kedua, salah satu projek mega yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun ini (2025).

Laluan ini bermula di Kota Samarahan dan melalui bandar-bandar kecil seperti Simunjan dan Sebuyau sebelum bercabang ke Roban serta ke Lingga, Simanggang dan Betong.

Ia juga akan disambungkan dengan rangkaian jalan pesisir melalui jambatan yang merentasi Batang Sadong, Batang Lupar dan Batang Saribas, manakala sebuah jambatan baharu akan dibina di Simanggang.

Dari Bintangor, jalan ini akan menyediakan laluan pintas menuju ke Sib dan apabila siap kelak, perjalanan dari Kuching ke Sibu hanya mengambil masa sekitar dua jam setengah, berbanding kira-kira lima jam melalui laluan sedia ada.

Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg ada menegaskan bahawa, jaringan ini adalah sebahagian daripada strategi negeri untuk memastikan pembangunan seimbang dan merapatkan jurang pendapatan, sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Kesan nyata projek sebegini dapat dilihat di beberapa kawasan, antaranya di Daro, apabila pembukaan Jambatan Muara Lassa sepanjang 2.43-kilometer pada Januari 2025 telah membawa perubahan besar.

Menurut YB Safiee bin Haji Ahmad, jambatan bernilai hampir RM600 juta itu bukan sahaja memudahkan perhubungan, malah menjadi pemangkin perubahan besar atau game changer yang melonjakkan aktiviti ekonomi setempat, sebagaimana ditegaskannya ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Mei 2025.

Para peniaga kini lebih mudah membawa masuk barang dari bandar, manakala usahawan dapat memasarkan produk mereka ke kawasan lain dengan kos dan masa yang lebih rendah.

Walaupun dua jambatan berdekatan, iaitu Batang Paloh dan Batang Igan, masih belum siap sepenuhnya, impaknya sudah amat dirasai masyarakat setempat, dan kesan seumpama ini turut diharapkan berlaku di kawasan lain seperti Lundu.

Ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, YB Billy anak Sujang merakamkan penghargaan terhadap pembinaan Jambatan Selampit sepanjang 200-meter yang kini dalam proses pembinaan.

Namun, beliau turut menekankan keperluan untuk menyediakan jalan akses sejauh dua kilometer bagi menghubungkan jambatan tersebut ke Kampung Selampit, dengan kos dianggarkan sebanyak RM22 juta.

Beliau berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukan ini di bawah Projek Rakyat, kerana akses ini bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk tetapi juga membuka peluang ekonomi baharu di kampung berkenaan.

Jambatan Batang Saribas 1 pula, yang siap sepenuhnya dan dirasmikan baru-baru ini, dilihat sebagai pemacu penting kepada perubahan landskap pembangunan luar bandar.

Premier Sarawak menjelaskan bahawa jambatan ini merupakan penghubung strategik dalam projek jalan pesisir yang menghubungkan kampung dan rumah panjang dengan bandar utama seperti Kuching.

Beliau turut menekankan bahawa infrastruktur ini akan menjadi asas pertanian moden di kawasan pesisir dan berupaya membuka pasaran lebih luas untuk hasil nelayan serta petani.

Pada majlis yang sama, penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) turut diumumkan sebagai pemacu pembangunan strategik di wilayah berkenaan.

Lebih jauh lagi, jaringan jalan dan jambatan baharu ini membuka peluang pelaburan dalam sektor agro-pelancongan, pemprosesan hasil tani, pusat agihan logistik dan pembangunan kawasan perindustrian desa.

Dengan akses lebih baik, syarikat dari luar boleh melabur di kawasan pedalaman dengan kos operasi yang rendah.

Contohnya, pembinaan Jambatan Sungai Limbang Kedua memberi peluang kepada industri pemprosesan hasil ternakan kerbau, yang bukan sahaja bermanfaat kepada penduduk tempatan tetapi juga menjadi sumber bekalan ke Brunei.

Kawasan luar bandar yang dahulunya hanya berperanan sebagai pengeluar bahan mentah kini berpeluang terlibat dalam pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk mereka sendiri.

Ini sekali gus mengukuhkan rantaian bekalan tempatan yang lebih mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal dari luar.

Malah, jaringan jalan yang baik membuka ruang kepada penganjuran program pembangunan keusahawanan, latihan teknikal dan inkubator perniagaan di kawasan pedalaman, sekali gus membolehkan belia luar bandar mendapat akses lebih mudah kepada ilmu, modal dan pasaran.

Di Simanggang dan Betong, contohnya, Jalan Banang Kedua membuka peluang kepada golongan muda untuk menceburi industri kecil dan sederhana serta pertanian moden seperti fertigasi dan agro-pelancongan, seiring dengan agenda kerajaan untuk membangunkan ekonomi digital desa.

Selain impak ekonomi, akses jalan raya dan jambatan turut meningkatkan nilai hartanah dan aset komuniti luar bandar.

- Advertisement -

Tanah pertanian yang sebelum ini sukar dipasarkan kini mempunyai nilai lebih tinggi, sekali gus memberi peluang kepada penduduk kampung untuk memajukan tanah mereka atau menjana pendapatan sampingan melalui pajakan dan kerjasama pembangunan.

Keseluruhannya, pembinaan Jalan Banang Kedua serta rangkaian jambatan bukan sekadar penghubung fizikal, tetapi jambatan menuju masa depan luar bandar Sarawak yang lebih sejahtera, inklusif dan mampan.

Projek-projek ini menjadi manifestasi strategi pembangunan berimpak tinggi yang menekankan keterangkuman sosial, pemerkasaan ekonomi setempat dan peluang untuk belia serta komuniti desa.

Dengan sokongan kerajaan, agensi pelaksana, dan kerjasama rakyat, infrastruktur ini bakal mengubah wajah luar bandar Sarawak menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article