- Advertisement -
5,090
published news
and counting

Pendidikan Percuma Tonggak Keadilan Sosial dan Akses Menyeluruh di Sarawak

Must read

Pendidikan percuma bukan sekadar dasar ekonomi atau bantuan kebajikan, tetapi manifestasi keadilan sosial yang menzahirkan keyakinan bahawa ilmu adalah hak setiap insan.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pendidikan percuma merupakan sebahagian daripada hak asasi sejagat yang perlu dijamin oleh setiap kerajaan.

Konsep ini menuntut agar pendidikan asas disediakan secara percuma, wajib dan inklusif, di samping komitmen berterusan untuk memperluas kemudahan tersebut kepada peringkat menengah dan tinggi.

Ia bukan hanya bermaksud ketiadaan yuran, tetapi juga menuntut komitmen terhadap akses saksama, kualiti pengajaran dan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

Negara-negara maju seperti Finland dan Jerman menjadi contoh keberhasilan konsep ini dimana Finland di bawah sistem Nordic Welfare State melaksanakan pendidikan percuma sepenuhnya.

Konsep ini dilaksanakan bermula dari pra-sekolah hingga ke universiti awam, termasuk penyediaan makanan, perumahan dan bantuan sara hidup.

Jerman pula melaksanakan pendidikan tinggi awam hampir percuma dengan hanya mengenakan yuran pentadbiran yang sangat rendah, menjadikan sistemnya antara yang paling terbuka dan inklusif di dunia.

Di Amerika Syarikat pula, pendidikan asas disediakan secara percuma di bawah sistem awam K–12, tetapi pendidikan tinggi kekal berbayar dengan beberapa pengecualian seperti community college percuma dan program biasiswa khas untuk golongan tertentu.

Dalam konteks Malaysia, pendidikan percuma telah lama menjadi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan semua murid mempunyai peluang sama rata untuk belajar.

Ia bukan hanya merangkumi pengecualian bayaran yuran sekolah, tetapi juga pelbagai bentuk bantuan di bawah skim seperti;

  1. Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT);
  2. Rancangan Makanan Tambahan (RMT);
  3. Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM);
  4. Program Susu Sekolah (PSS); serta
  5. Bantuan Pakaian dan Peralatan Sekolah

Keseluruhan pendekatan ini menunjukkan bahawa pendidikan percuma di Malaysia tidak terhad kepada aspek pembiayaan, tetapi turut menjamin kesejahteraan asas pelajar supaya tiada yang tercicir akibat kekangan kewangan.

Namun di Sarawak, konsep pendidikan percuma ditafsirkan dengan lebih luas dan mendalam, melangkaui sekadar pembiayaan atau bantuan kewangan semata-mata.

Ia mencerminkan tekad Kerajaan Sarawak untuk membina masa depan yang saksama, memastikan tiada anak Sarawak terkandas dalam menimba ilmu hanya kerana kekangan kemiskinan.

Sarawak yang luas, dengan pelbagai cabaran geografi dan komuniti etnik yang berselerak di bandar serta pedalaman, berdepan kesukaran akses kepada pendidikan berkualiti sejak sekian lama.

Masalah jarak ke sekolah, kekurangan pengangkutan, kemampuan keluarga dan sumber pembelajaran yang terbatas menjadi antara faktor ketidaksamaan pendidikan di negeri ini.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, telah merangka satu langkah strategik yang dianggap antara paling progresif di Malaysia.

Langkah strategik yang dimaksudkan ialah pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak atau Free Tertiary Education Sarawak (FTES) bermula tahun 2026.

Kerajaan Sarawak telah melaksanakan langkah strategik dengan melaksanakan FTES bermula pada tahun 2026

Melalui skim ini, Kerajaan Sarawak akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian pelajar anak Sarawak di empat institusi milik negeri iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS), i-CATS University College, Swinburne University of Technology Sarawak dan Curtin University Malaysia.

Lebih menarik, pelajar yang layak turut akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM15,000 setahun sebagai bantuan tambahan untuk menampung kos kehidupan sepanjang tempoh pengajian.

Curtin University Malaysia, Sarawak antara IPT yang menikmati manfaat FTES

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pelaksanaan FTES dijangka menelan belanja sekitar RM300 juta setahun dengan jumlah pelajar yang layak dianggarkan sekitar 60,000 orang.

Menurut beliau, angka ini mungkin berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada kursus dan bilangan pelajar, namun yang penting, katanya, “tiada anak Sarawak harus ketinggalan dalam pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.”

Selain skim FTES, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan pelbagai inisiatif sokongan lain bagi melengkapkan ekosistem pendidikan yang menyeluruh.

Antara yang paling signifikan ialah pemberian komputer riba kepada 9,000 pelajar dengan kos sekitar RM27 juta; baucar buku bernilai RM500 kepada 3,000 pelajar dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta; serta peruntukan RM2.5 juta untuk subsidi yuran TASKA dan TADIKA kepada keluarga berpendapatan bawah RM7,000.

Selain itu, sebanyak RM20 juta disalurkan kepada penyedia pendidikan awal seperti SeDidik bagi memperkukuh asas pendidikan kanak-kanak di peringkat awal.

Langkah-langkah ini bukan sahaja menampung keperluan asas, tetapi juga melambangkan falsafah keadilan sosial yang menjadi teras kepada dasar pendidikan Sarawak.

Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Mei 2025, YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii menzahirkan sokongan penuh terhadap dasar pendidikan tinggi percuma yang dilancarkan kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan memainkan peranan amat penting dalam pembangunan negeri, khususnya dalam era teknologi dan persaingan global.

Tambah beliau, sistem pendidikan yang holistik akan membentuk pelajar yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga cekap berfikir dan berdaya saing.

Pendidikan, katanya, perlu melengkapkan generasi muda dengan kemahiran dan nilai untuk menempuh cabaran dunia yang semakin kompleks.

Oleh itu, dasar pendidikan percuma yang dilaksanakan mencerminkan tekad Kerajaan Sarawak membina generasi masa depan yang berkemahiran dan berwawasan.

Selain itu, YB Puan Dayang Noorazah binti Awang Sohor turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Kerajaan Sarawak semasa sesi usul penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Mei 2025.

Beliau menyatakan rasa bangga sebagai anak Sarawak atas pelbagai program bantuan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) termasuk Program Komputer Riba Percuma, Bantuan Kewangan Khas (BKK) dan FTES.

Infografik memaparkan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk pelajar IPT yang boleh dimohon bermula 30 September hingga 30 Oktober 2025

Beliau turut menyambut baik pengumuman Premier Sarawak yang memperluaskan manfaat pendidikan percuma kepada golongan pekerja yang pernah menangguhkan pengajian disebabkan kekangan kewangan atau komitmen keluarga.

Langkah ini bukan sekadar bantuan, tetapi satu pengiktirafan terhadap konsep pembelajaran sepanjang hayat..

Ia membuka peluang kepada rakyat Sarawak dari pelbagai peringkat umur untuk menambah ilmu dan kemahiran tanpa dibebani hutang pendidikan, sekaligus menyokong transformasi ekonomi negeri ke arah ekonomi berasaskan inovasi dan pengetahuan.

Premier Sarawak sendiri pernah menegaskan bahawa pendidikan percuma bukan hanya soal membayar yuran, tetapi satu pelaburan jangka panjang dalam membina rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran dan bebas hutang.

Hasil pelaksanaan dasar ini semakin terserlah apabila peluang pendidikan tinggi kini semakin terbuka luas.

Berdasarkan laporan Suara Sarawak bertarikh 27 Disember 2024, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merekodkan 65.5 peratus daripada 4,357 pelajar baharu bagi sesi 2024–2025 terdiri daripada keluarga B40;

Sementara 45 peratus daripada 14,073 pelajar prasiswazah keseluruhan merupakan golongan berpendapatan rendah.

Angka ini membuktikan bahawa pendidikan tinggi bukan lagi hak eksklusif golongan berada, tetapi kini terbuka luas kepada anak-anak luar bandar yang berpotensi besar.

UTS turut menunjukkan peningkatan mendadak dalam kemasukan pelajar, iaitu daripada sekitar 1,000 kepada lebih 5,000 pelajar, peningkatan lima kali ganda dalam tempoh singkat selepas pengurangan yuran pengajian sehingga 50 peratus diperkenalkan.

Peningkatan ini turut disertai pertambahan ketara pelajar Bumiputera, yang menandakan keberkesanan dasar pendidikan percuma dalam memperluas akses dan memperkukuh keadilan sosial di negeri ini.

Inisiatif seperti Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) juga memberi impak besar kepada pelajar luar bandar.

Program tuisyen percuma ini, yang dikhususkan untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada keluarga B40, telah memperlihatkan peningkatan prestasi akademik serta motivasi dalam kalangan pelajar.

Dengan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2025, program ini bukan sahaja menambahbaik pencapaian akademik tetapi juga menjadi harapan baharu kepada ibu bapa dan pelajar yang selama ini terpinggir.

Ramai pelajar luar bandar kini lebih berkeyakinan dan melihat pendidikan sebagai jalan keluar daripada kitaran kemiskinan.

Walaupun pelaksanaan dasar ini membuahkan hasil yang membanggakan, beberapa cabaran masih perlu ditangani.

Antara isu utama ialah capaian internet yang belum menyeluruh di kawasan pedalaman, kekurangan tenaga pengajar pakar, serta tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap peluang bantuan pendidikan yang disediakan.

Tambahan pula, FTES ketika ini hanya meliputi institusi milik Kerajaan Sarawak, menyebabkan pelajar Sarawak di institusi swasta atau luar negeri masih belum menikmati faedah yang sama.

Namun demikian, arah pembangunan pendidikan di Sarawak terus menunjukkan keberanian dan kejelasan visi.

Dengan komitmen terhadap pelaburan TVET, pengukuhan infrastruktur digital serta jalinan erat dengan pihak industri, Sarawak semakin hampir menjadi contoh unggul dalam menjadikan pendidikan sebagai pemacu utama kemajuan rakyat.

Pendidikan percuma yang diperkenalkan di Sarawak bukan sekadar dasar yang meringankan beban, tetapi simbol perubahan struktur sosial yang memberi ruang kepada setiap anak negeri untuk berjaya atas kemampuan dan usaha mereka sendiri.

Ia turut membuka pintu kepada mobiliti sosial, memecahkan tembok ketidaksamaan dan melahirkan rakyat yang yakin dengan masa depan mereka.

- Advertisement -

Seperti yang sering ditegaskan oleh Premier Sarawak, pendidikan adalah pelaburan terbaik yang boleh dilakukan oleh sesebuah kerajaan.

Dengan ilmu, rakyat mampu membebaskan diri daripada kemiskinan dan membina negeri yang makmur.

Pandangan ini menggambarkan semangat sebenar di sebalik pelaksanaan pendidikan percuma di Sarawak di mana ia bukan hanya untuk memberi ilmu, tetapi untuk memberi peluang dan harapan kepada setiap rakyat agar mereka dapat melangkah maju bersama dalam perjalanan menuju Sarawak Maju 2030.

Sumber Rujukan:

  1. UNESCO. (2020, November 26). What you need to know about the right to education. Www.unesco.org. https://www.unesco.org/en/articles/what-you-need-know-about-right-education
  2. Ministry of Education and Culture. (2023). The Finnish education system. Opetus- Ja Kulttuuriministeriö. https://okm.fi/en/education-system
  3. Study.eu Team. (2017). Study in Germany for free: What you need to know. Study.eu. https://www.study.eu/article/study-in-germany-for-free-what-you-need-to-know
  4. U.S. Department of Education. (2024). Disability Discrimination: Providing a Free Appropriate Public Education (FAPE). U.S. Department of Education. https://www.ed.gov/laws-and-policy/civil-rights-laws/disability-discrimination/disability-discrimination-key-issues/disability-discrimination-providing-free-appropriate-public-education-fape
  5. MyGOV – The Government of Malaysia’s Official Portal. (n.d.). Www.malaysia.gov.my. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/29501
  6. News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. (2025). Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/19084/UKAS
  7. 65.5 Peratus Penuntut Baharu UNIMAS Dalam Golongan B40 | Suara Sarawak. (2024, December 27). Suara Sarawak. https://suarasarawak.my/65-5-peratus-penuntut-baharu-unimas-dalam-golongan-b40/
  8. News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. (2025). Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/18597/UKAS
  9. https://www.facebook.com/iloveborneomy. (2025, April 21). I Love Borneo. I Love Borneo. https://www.iloveborneo.my/elaun-tuisyen-percuma-sarawak
  10. Burhanuddin, A. (2025, May 18). Pekerja Sarawak kini boleh lanjutkan pelajaran secara percuma – TVS. TVS. https://www.tvsarawak.my/2025/05/18/pekerja-sarawak-kini-boleh-lanjutkan-pelajaran-secara-percuma/
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article