Kemudahan dan bantuan pendidikan adalah elemen penting yang saling melengkapi dalam pendidikan formal sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat pendidikan tinggi.
Kedua-dua elemen membantu mewujudkan persekitaran pendidikan yang memuaskan serta berupaya meningkatkan capaian akses pendidikan dalam kalangan masyarakat.
Dari segi bahasa, kemudahan bermaksud perihal atau keadaan mudah, kesenangan atau keselesaan manakala bantuan pula bermaksud sesuatu yang diberikan atau dilakukan untuk membantu, pertolongan atau sokongan.
Dalam konteks Sarawak, pelbagai inisiatif kemudahan dan bantuan pendidikan telah dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan dapat dicapai secara inklusif selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, iaitu Pendidikan Berkualiti serta visi Sarawak maju menjelang 2030.
Kesediaan Kerajaan Sarawak membiayai sendiri projek baik pulih dan bina baharu sekolah daif, menubuhkan sekolah antarabangsa, bantuan kewangan dan pelbagai bentuk bantuan pendidikan dilihat sebagai peralihan penting ke arah mencapai matlamat tersebut.
Melalui penyediaan kemudahan dan bantuan pendidikan yang menyeluruh, akses pendidikan dapat dipertingkatkan dan dicapai secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.
Menyediakan Akses Pendidikan Berkualiti
Penyediaan kemudahan seperti bangunan sekolah atau segala bentuk struktur asas yang membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan adalah syarat utama dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti seperti yang ditetapkan di dalam SDG 4.
Matlamat utama SDG 4 adalah menyediakan akses pendidikan berkualiti yang mudah untuk semua peringkat masyarakat melalui peningkatan infrastruktur pendidikan, bantuan pendidikan serta peluang pembelajaran yang lain.
SDG 4 menyasarkan pendidikan berkualiti yang inklusif dan pada masa yang sama menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Masyarakat yang menikmati pendidikan berkualiti adalah asas untuk pembangunan yang mampan.
Menyedari pendidikan adalah satu bentuk pelaburan sepanjang hayat dan sangat penting untuk diutamakan dalam memajukan Sarawak, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) ditubuhkan untuk memantau dan membantu dalam memperkasa pendidikan.
Selari dengan SDG 4, MEITD memfokuskan pada pendidikan berkualiti, akses kepada pendidikan yang saksama serta usaha peningkatan infrastruktur pendidikan.
Satu lagi usaha Kerajaan dalam menyediakan pendidikan berkualiti boleh dilihat melalui penubuhan Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS).

Objektif penubuhan YSISS adalah bagi memberi peluang kepada rakyat tempatan, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengikuti pendidikan bertaraf antarabangsa yang menggunakan sukatan pelajaran Cambridge.
Di bawah inisiatif ini, MEITD berperanan menetapkan dasar yang membolehkan lebih ramai pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan M40 menikmati pendidikan dan kemudahan pendidikan berkualiti serta berpatutan seperti yang ditawarkan di YSISS.
Membaik Pulih Sekolah Daif
Walaupun pendidikan adalah di bawah skop Kerajaan Persekutuan, hal ini tidak menghalang Kerajaan Sarawak untuk membantu dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan pendidikan dan kualiti pendidikan di Sarawak.
Dalam menangani isu sekolah daif misalnya, inisiatif membangunkan sekolah-sekolah daif dengan bayaran pendahuluan RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan menunjukkan kesungguhan Sarawak meningkatkan kemudahan pendidikan dengan segera, seterusnya menoktahkan isu yang berpanjangan sekian lama.
Lab pertama yang dijalankan oleh MEITD bersama-sama agensi yang berkaitan mendapati sebanyak 1,020 buah sekolah di Sarawak dikategorikan sebagai daif.
Walau bagaimanapun, berikutan pengkategorian semula sekolah daif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2022, sebanyak 461 buah sekolah di Sarawak dikenal pasti berstatus daif dan tidak selamat.
Setakat suku keempat 2024, sebanyak 58 projek pembangunan semula sekolah daif berjaya diselesaikan dan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar dengan kemudahan pembelajaran yang kondusif dan berkualiti.
Biasiswa dan Bantuan Pengangkutan ke Sekolah
Sebelum penubuhan MEITD, Yayasan Sarawak ialah sebuah organisasi yang berperanan penting dalam sektor pendidikan serta mewakili Kerajaan Sarawak dalam beberapa hal berkaitan pendidikan di peringkat nasional.
Fokus utama Yayasan Sarawak adalah menyalurkan bantuan pendidikan seperti biasiswa, keperluan dan peralatan sekolah dan sebagainya.
Di peringkat sekolah menengah, biasiswa yang ditawarkan ialah Biasiswa Tempatan Yayasan Sarawak (BTYS).
Biasiswa berkenaan ditawarkan khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan di Sarawak bermula dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.
Pembiayaan melalui BTYS sedikit sebanyak membantu pelajar untuk meneruskan persekolahan serta menggalakkan peningkatan prestasi akademik pelajar.
Selain bantuan berbentuk kewangan, Yayasan Sarawak turut menyediakan bantuan pengangkutan ke sekolah menerusi Program Bas Sekolah Percuma.

Program yang dilancarkan pada Julai 2020 bertujuan untuk membantu meringankan beban kos pengangkutan ke sekolah dalam kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Inisiatif tersebut yang dijalankan secara usaha sama dengan pengusaha perkhidmatan bas sekolah diperluaskan ke Sibu, Miri dan Limbang yang mana lebih 9,000 orang pelajar telah pun mendapat manfaat.
Inisiatif Membantu Pelajar Pendidikan Tinggi
Di peringkat pendidikan tinggi, penawaran biasiswa pasca siswazah Yayasan Sarawak kepada anak tempatan dalam bidang kejuruteraan dilihat sebagai galakan dan pelaburan modal insan yang diharapkan dapat menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
Biasiswa berkenaan hanya ditawarkan kepada pelajar yang mengikuti program di peringkat ijazah Sarjana yang turut ditaja oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Petchem Sdn Bhd.
Inisiatif berbentuk pelaburan biasiswa itu menggambarkan komitmen Kerajaan dalam melahirkan ramai bakat tempatan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi selaras dengan visi Sarawak mencapai status maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Bagi mengurangkan beban pelajar dalam mendapatkan peralatan pembelajaran, bantuan komputer riba dan baucar buku percuma telah dilancarkan pada 2024.
Sebanyak 9,581 komputer riba dan 3,105 baucar buku telah diagihkan kepada pelajar-pelajar yang layak di semua institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Yayasan Sarawak sebagai agensi pelaksana akan mempertingkat usaha promosi bagi memastikan lebih ramai orang awam mengetahui tentang inisiatif bantuan pendidikan berkenaan yang dikhaskan kepada semua pelajar kelahiran Sarawak yang belajar sepenuh masa di mana-mana IPT awam dan swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Bantuan tersebut diperkenal bagi membantu pelajar dari golongan isi rumah berpendapatan per kapita sebulan kurang daripada RM1,500.
Walau bagaimanapun, pelajar yang ingin mendapatkan bantuan komputer riba percuma perlu memohon di tahun pertama pengajian yang berdaftar dalam sistem My-Yayasan.
Pemberian komputer riba percuma adalah satu lagi komitmen Kerajaan bagi memastikan akses pendidikan dapat dicapai oleh semua lapisan masyarakat.
Selain itu, turut diperkenalkan ialah inisiatif Bantuan Kewangan Khas (BKK) untuk setiap anak Sarawak yang belajar di semua IPT di seluruh Malaysia.
MEITD menganggarkan seramai 60,220 orang pelajar yang layak menerima bantuan tersebut yang mana seramai 27,033 pelajar telah menghantar permohonan setakat Mei 2025.
Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES)
Pada 2026, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) akan mula dilaksanakan, menandakan lonjakan penting dalam sejarah pendidikan Sarawak.
Skim tersebut ditawarkan kepada anak jati Sarawak yang mengikuti pengajian sepenuh masa di IPT milik Kerajaan Sarawak, iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin Malaysia, Universiti Swinburne Sarawak, Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Sebagai permulaan, FTES akan memberi tumpuan awal kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Undang-undang, Perubatan, Perakaunan, Kewangan dan Psikologi.
Pihak MEITD tidak menolak kemungkinan bahawa skim tersebut akan diperluaskan untuk kursus-kursus dalam bidang yang lain.
Skim tersebut juga menawarkan elaun tahunan sebanyak RM15,000 kepada pelajar dalam kumpulan isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 ke bawah sebulan bagi membantu meringankan kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian.
Segala bantuan yang disediakan kepada pelajar-pelajar tempatan bukan hanya untuk meringankan beban perbelanjaan harian, malah lebih daripada itu membolehkan para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran dan mengejar impian tanpa perlu risau memikirkan beban kewangan.
Yang lebih penting, kemudahan dan bantuan pendidikan adalah wajar dilaksanakan sebagai galakan kepada para pelajar kerana mereka ialah pelaburan masa depan yang bakal membawa kemajuan dan kemakmuran kepada Sarawak dan negara.






