Mutakhir ini, ekonomi Malaysia memperlihatkan peningkatan prestasi apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bertumbuh pada kadar 4.4 peratus dalam tempoh separuh pertama 2025.
Kadar peratusan tersebut telah berjaya mencapai unjuran KDNK untuk tahun 2025, iaitu antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
Perkembangan ini membuktikan bahawa ekonomi Malaysia tetap berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh sebagai pemacu utama pertumbuhan meskipun berdepan cabaran perang tarif yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, perkembangan ekonomi negara diunjur lebih perlahan pada 2026, iaitu antara 4.0 hingga 4.5 peratus berikutan ketidaktentuan ekonomi global, krisis geopolitik serta geoekonomi yang sedang berlaku dan dijangka akan berlanjutan.
Situasi ini memerlukan kebijakan dalam perbelanjaan Kerajaan Persekutuan mendisiplinkan sumber kewangan awam supaya dapat diimbangi dengan keperluan sosial.
Oleh hal yang demikian, Belanjawan MADANI Keempat Tahun 2026 memperlihatkan adanya daya usaha dalam pembaharuan fiskal yang menumpukan pada pengoptimuman perbelanjaan bagi mewujudkan ruang fiskal yang mencukupi serta berupaya melindungi kesejahteraan rakyat.
Di bawah peruntukan keseluruhan berjumlah RM470 bilion, Belanjawan 2026 merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Kerajaan Persekutuan, RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE), RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) dan Syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)).
Melangkah ke tahun hadapan, Kerajaan akan mengekalkan momentum dalam menyelaras perbelanjaan yang dijajarkan dengan keutamaan strategik berdasarkan kerangka Ekonomi MADANI.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 oleh Kementerian Kewangan (MOF), dari segi sektor, sektor sosial menerima peruntukan tertinggi, iaitu sebanyak RM155.9 bilion atau 37.2 peratus daripada keseluruhan belanjawan.
Sektor ekonomi menerima peruntukan kedua tertinggi, iaitu RM58.9 bilion (14.1%) diikuti keselamatan RM44.5 bilion (10.6%) dan pentadbiran am RM20.7 bilion (4.9%) manakala baki sebanyak 33.2 peratus pula diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan.
Lebih menarik, Belanjawan 2026 menekankan pengurusan perbelanjaan yang berhemat bagi mengoptimumkan sumber serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam.
Sebagai contoh, agihan peruntukan perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi untuk emolumen, bayaran persaraan dan sebahagian bayaran khidmat hutang (DSC) adalah hasil daripada imbangan peruntukan lebih rendah untuk subsidi serta perkhidmatan dan bekalan selaras dengan harga komoditi global yang rendah dan langkah rasionalisasi perbelanjaan sedia ada.
Untuk tahun 2026, emolumen diunjurkan meningkat sebanyak 5.6 peratus kepada RM109.4 bilion dan kekal sebagai komponen terbesar perbelanjaan mengurus berikutan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa kedua serta kenaikan gaji pokok 7 peratus bagi penjawat awam Gred 15 dan ke bawah.
Peningkatan ini juga didorong oleh penambahbaikan pengambilan dan kemajuan kerjaya angkatan tentera seperti yang diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam 2025.
Selain itu, bayaran persaraan yang merangkumi 12.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus juga diunjur meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM42.8 bilion.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM33.7 bilion (78.8%) diperuntukkan untuk membayar pencen, lantas mencerminkan tanggungjawab Kerajaan untuk terus menyediakan sokongan kepada pesara yang semakin bertambah dan kesan susulan pelaksanaan SSPA.
Komponen subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 14.5 peratus daripada perbelanjaan mengurus diunjur berkurang sebanyak 14.1 peratus atau sebanyak RM49 bilion untuk tahun hadapan.
Sungguh pun begitu, penurunan itu bukanlah satu bentuk pengabaian terhadap kesejahteraan rakyat, tetapi oleh kerana berlaku penurunan harga komoditi global yang lebih rendah, maka Kerajaan dapat melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi termasuklah pelaksanaan program BUDI95.
Menerusi program BUDI95, seramai kira-kira 10 juta rakyat di seluruh negara dapat menikmati harga petrol RM1.99 seliter sementara golongan petani, pekebun kecil dan nelayan menerima bantuan diesel sebanyak RM200 sebulan.
Pendekatan baharu tersebut adalah langkah berani dan strategik yang dijangka menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion setiap tahun yang mencakupi subsidi ayam dan telur RM2 bilion, elektrik RM6 bilion, diesel RM5 bilion dan petrol RON95 RM2.5 bilion.
Lain daripada itu, usaha memastikan hanya golongan yang benar-benar layak mendapat manfaat subsidi juga boleh dilihat melalui pembangunan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak masak di seluruh negara.
Inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bukan saja memastikan subsidi minyak masak peket hanya disalurkan kepada kumpulan sasaran malah juga bertujuan untuk mengekang ketirisan dalam bekalan barangan keperluan berkenaan.
Satu bahagian yang signifikan dalam belanjawan kali ini adalah tekad dalam menoktahi kemiskinan tegar menjelang tahun 2026.
Kadar kemiskinan tegar pada masa ini yang dicatatkan pada paras 0.09 peratus banyak didorong oleh program intervensi bersasar antaranya seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Dana Ikhtiar MADANI sebanyak RM1 bilion termasuklah Dana Sejahtera MADANI berjumlah RM120 juta.
Akan tetapi, kejayaan sebenar dasar strategik ini bukannya terletak pada angka semata-mata, sebaliknya pada sejauh mana pelaksanaannya berupaya menggerakkan mobiliti sosial ke tahap yang lebih tinggi.
Oleh itu, untuk memastikan keberkesanan jangka masa panjang, bantuan sementara ini perlu disusuli dengan pembangunan kapasiti menerusi latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan dan program literasi digital yang berdaya tahan.
Belanjawan 2026 juga merupakan fasa pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Untuk tahun pertama RMKe-13, sebanyak 2,300 program dan projek baharu akan dilaksanakan di bawah peruntukan perbelanjaan pembangunan (RM81 bilion).
Sektor ekonomi menerima peruntukan terbesar, iaitu sebanyak RM36.8 bilion atau pada kadar 45.4 peratus diikuti sektor sosial RM28.6 bilion (35.3%), keselamatan RM11.7 bilion (14.5%) dan pentadbiran am RM3.9 bilion (4.8%).
Rasional di sebalik peruntukan terbesar perbelanjaan pembangunan untuk sektor ekonomi adalah kerana negara memerlukan peluasan infrastruktur pelaburan yang strategik serta sokongan inisiatif pelaburan yang kukuh sekiranya mahu meningkatkan daya saing ekonomi.
Dalam hal ini, tumpuan terarah pada peningkatan ketersambungan infrastruktur jalan raya di seluruh negara dengan sejumlah besar peruntukan disalurkan kepada subsektor pengangkutan selain alam sekitar serta perdagangan dan industri.
Peruntukan RM28.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan sektor sosial dinaikkan sedikit berbanding RM27.8 bilion pada tahun lepas yang mana subsektor pelajaran dan latihan terus menerima bahagian terbesar, iaitu sebanyak RM14.5 bilion.
Ini mencerminkan ada kesungguhan daya usaha dalam meningkatkan kemudahan pembelajaran selain memperkukuh infrastruktur ICT bagi memodenkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran.
Antara projek signifikan yang menerima peruntukan tertinggi di bawah subsektor pelajaran dan latihan adalah pembinaan pusat pembelajaran Imersif dan Kemajuan Teknologi Pertanian untuk Keterjaminan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Usaha tersebut membuktikan komitmen Kerajaan dalam mengurus isu keterjaminan makanan menerusi pengaplikasian teknologi dengan menjadikan institusi pengajian tinggi tempatan sebagai rakan strategik.
Di peringkat pendidikan sekolah rendah dan menengah, usaha meningkatkan prasarana sekolah kekal dijadikan keutamaan.
Pendidikan adalah agen sosialisasi yang mengangkat keadilan sosial dan menjadi penggerak utama dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Isu sekolah daif misalnya bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana untuk mencapai akses pendidikan berkualiti, infrastruktur pengajaran dan pembelajaran perlulah berada pada tahap yang memuaskan selaras dengan Strategi Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti.
Sehubungan itu, hampir RM2 bilion disediakan untuk menaik taraf lebih 500 buah sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak selain kerja baik pulih dan penyelenggaraan semua jenis sekolah termasuklah pembinaan 38 buah sekolah baharu.
Subsektor kesihatan juga tidak kurang mendapat perhatian apabila diperuntukkan sebanyak RM7 bilion di bawah perbelanjaan pembangunan.
Melalui peruntukan itu, objektifnya jelas, iaitu untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan penjagaan kesihatan selain menaik taraf peralatan perubatan dan bukan perubatan.
Sejumlah RM46.5 bilion secara keseluruhan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melaksanakan pelbagai program dan projek.
Antaranya adalah naik taraf infrastruktur kesihatan bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam, mengurus keterjaminan bekalan ubat-ubatan, urusan kebajikan petugas kesihatan dan pengambilan doktor perubatan.
Tuntasnya, Belanjawan 2026 mencerminkan usaha dalam mengimbangi perbelanjaan awam dengan kesejahteraan sosial rakyat.
Strategi perbelanjaan yang dirangka bukan hanya sekadar dokumen fiskal, malah melambangkan pernyataan dasar dan wawasan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan yang terangkum.
Untuk berdepan ekonomi moden yang serba mencabar, kejayaan negara perlu diiringi ketersediaan dan keterbukaan rakyat memanfaatkan peluang ekonomi yang direncana jika mahu memajukan diri.
Belanjawan 2026 telah meletakkan asas yang kukuh supaya Kerajaan dan rakyat sama-sama bergerak membina ekonomi negara yang maju dan berdaya saing.
Rujukan:
1. https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/ucapan/touchpoint-budget-bm.pdf
2. https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/hasil/tinjauan_fiskal_2026.pdf






