Konflik geopolitik yang berterusan, perubahan iklim yang semakin meruncing ditambah dengan asakan tarif import oleh kuasa ekonomi dunia telah mengeruhkan lagi ketidaktentuan ekonomi global, lantas menekan negara-negara yang sedang membangun seperti Malaysia.
Namun begitu, di tengah-tengah cabaran ini, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) tampil dengan pembaharuan agenda pembangunan sosioekonomi yang bersifat transformatif, terangkum dan mampan.
Pelan lima (5) tahun mendatang itu juga adalah anjakan untuk negara bangkit daripada kemelut pasca pandemik yang telah menyusutkan purata pertumbuhan ekonomi dan pelaburan asing.
Selama beberapa dekad, ekonomi Malaysia bergantung pada sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan.
Selain itu, peralihan ekonomi yang perlahan, kekurangan tenaga kerja mahir, pasaran buruh yang kurang kompetitif, peningkatan kos sara hidup, ketidaksamaan sosioekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah turut membelenggu pertumbuhan negara.
Mengambil kira hal ini, RMKe-13 meletakkan peralihan ke ekonomi berasaskan penciptaan nilai sebagai tunjang pelaksanaan agenda untuk tempoh dari 2026 hingga 2030.
Matlamat utamanya adalah untuk mengangkat Malaysia di kedudukan 10 ekonomi terbesar di dunia, seterusnya mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Ke arah mencapai matlamat ini, usaha dipergiat untuk meningkatkan kerencaman ekonomi, melonjakkan pertumbuhan yang terangkum dan mampan, meningkatkan keseimbangan kemajuan wilayah dan luar bandar serta memperluas jaringan perdagangan di peringkat global.
Di bawah peruntukan keseluruhan sebanyak RM611 bilion, sejumlah RM430 bilion disalurkan untuk pembangunan yang mana lebih separuh daripada peruntukan ini, iaitu sebanyak RM227 bilion disalurkan ke sektor ekonomi.
Sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM133 bilion merangkumi agihan untuk sektor pendidikan sebanyak RM67 bilion manakala sektor kesihatan pula sebanyak RM40 bilion.
Dasar, strategi dan inisiatif RMKe-13 yang memberi penekanan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus memberi gambaran tentang pelbagai manfaat, khususnya dari sudut ekonomi dan sosial yang bakal dinikmati oleh rakyat, industri dan negara secara keseluruhannya.
Lihat saja usaha penstrukturan semula ekonomi semasa ke ekonomi berasaskan penciptaan nilai dan berimpak tinggi.
Tumpuan terarah ke usaha melonjakkan industri pertumbuhan tinggi nilai tinggi (HGHV) seperti industri semikonduktor, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI) termasuklah teknologi termaju dan digital.
Dalam industri semikonduktor misalnya, Malaysia boleh berbangga apabila muncul sebagai pengeksport keenam terbesar semikonduktor dunia pada masa ini.
Hasilnya, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) negara telah mencecah lebih RM600 bilion pada 2024.
Menyedari pentingnya momentum ini untuk dioptimumkan, projek Flagship Industri Semikonduktor High Value-High Technology akan dilaksanakan dengan menetapkan sasaran nilai eksport produk E&E hampir RM1 trilion menjelang 2030.
Pada masa yang sama, Strategi Semikonduktor Nasional memberi tumpuan dalam pembangunan reka bentuk litar bersepadu, peralatan pembuatan semikonduktor, pembungkusan termaju dan proses hadapan.
Bagi menggalakkan penglibatan GLC dalam rantaian nilai industri yang strategik ini, pelaburan bagi penskalaan syarikat tempatan yang berpotensi juga akan dipertingkat.
Manfaat yang diperolehi daripada usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan lebih banyak syarikat tempatan malah juga menggalakkan persaingan dan penyumberan bakat tempatan dalam sektor semikonduktor.
Lebih meyakinkan, tahun ini telah menyaksikan kejayaan negara mengikat kerjasama strategik bernilai USD250 juta dengan ARM Holdings, sebuah syarikat gergasi semikonduktor dan reka bentuk perisian dari Britain.
Kerjasama dalam reka bentuk cip itu akan mengangkat negara daripada sekadar menjadi hab pengeluar kepada peneraju dalam aktiviti semikonduktor bernilai tinggi.

Selama ini, Malaysia dikenali sebagai pemain utama segmen pemasangan dan ujian semikonduktor (back-end) yang hanya menyumbang lima (5) hingga 10 peratus daripada nilai keseluruhan industri.
Jalinan kerjasama dengan ARM Holdings bukan saja mengangkat negara ke kedudukan lebih tinggi dalam rantaian nilai global, tetapi juga membuka peluang lebih luas dalam pembangunan teknologi serta pertumbuhan ekonomi.
Mengiringi usaha ini adalah pengukuhan sinergi syarikat tempatan dengan syarikat semikonduktor global seperti Amazon Web Services, Google dan Infineon Technologies di sepanjang rantaian nilai.
Objektifnya adalah bagi mempercepat peralihan industri kepada pengeluaran produk semikonduktor yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.
Selain industri semikonduktor, peralihan kepada tenaga boleh baharu akan membuka peluang pelaburan dan pertumbuhan yang lebih luas kepada pemain industri tenaga.
Satu perkara yang signifikan dalam segmen ini adalah inisiatif memperkenalkan sistem pasaran tenaga elektrik yang lebih inovatif berdasarkan kos sebenar perolehan penjanaan tenaga termasuk tenaga boleh baharu.
Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada lebih ramai pemain industri tenaga untuk terlibat dan bersaing secara lebih sihat dan telus.
Sementara itu, rakyat juga boleh menjana tenaga boleh baharu di bawah konsep akses grid terbuka melalui Program CREAM (Community Renewable Energy Aggregation Mechanism).
Menerusi inisiatif Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara serta Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat, pelaburan dalam tenaga hijau dapat dipercepat selain memperkukuh keseluruhan rantaian nilai tenaga mampan nasional.
Selaras dengan penekanan kepada HGHV dan teknologi termaju, RMKe-13 menyasarkan pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital.
Strategi ini menyasarkan pengambilan pekerja tempatan dalam pasaran industri teknologi serta mengurangkan kebergantungan pada bakat dan tenaga kerja asing.
Langkah ini turut disokong oleh Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan Dana Latihan TVET selain perluasan program TVET kepada pelajar tahfiz untuk melahirkan huffaz yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal.
RMKe-13 juga menyaksikan strategi penambahbaikan pasaran buruh akan dilaksanakan dengan mempercepat penyelarasan gaji secara menyeluruh bagi memastikan perkongsian ekonomi yang lebih adil dan saksama.
Untuk memastikan kesaksamaan sosioekonomi, langkah pembaharuan sektor pendidikan dan kesihatan juga dijunjung menjadi agenda utama pembangunan sosial dalam RMKe-13.
Dalam sektor pendidikan, penyediaan kemudahan pembelajaran seperti bangunan sekolah merupakan perkara asas paling kritikal yang tidak harus dipandang ringan bagi memastikan akses pendidikan dapat dicapai oleh semua lapisan masyarakat.
Isu sekolah daif misalnya, boleh dikatakan isu yang tiada berpenghujung, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak yang sukar diakses.
Penempatan terpencil dengan topografi yang mencabar turut menyukarkan pergerakan logistik selain kos pengangkutan bahan binaan yang tinggi.
Situasi ini tidak dinafikan telah memperlahan proses naik taraf mahupun bina baharu bangunan-bangunan sekolah yang jauh dari bandar.
Sungguhpun begitu, peruntukan RM67 bilion sektor pendidikan akan menyaksikan lebih banyak usaha menaik taraf sekolah termasuk tadika KEMAS serta pembinaan sekolah baharu akan dilaksanakan di seluruh negara.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada reformasi sektor pendidikan yang bukan sahaja berupaya meningkatkan akses pendidikan berkualiti malah juga satu cerminan ikatan keadilan sosial di antara kerajaan dengan rakyat yang terus dipelihara.
Lain daripada itu, RMKe-13 turut menekankan peningkatan keberhasilan pendidikan negara. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah mewajibkan kemasukan prasekolah untuk kanak-kanak bermula umur lima (5) tahun.
Dalam pada itu, kemudahan prasekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan ditingkatkan di kawasan luar bandar.
Dari segi pembangunan modal insan, pengukuhan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), literasi digital termasuk pengenalan asas AI akan diperkukuh.
Langkah ini perlu dilaksanakan bermula dari sekarang sebagai persediaan melengkapkan generasi muda untuk memenuhi keperluan pasaran kerja masa depan yang bernilai tinggi.
Pada masa yang sama, sistem pendidikan negara akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif terhadap cabaran masa depan.
Menyedari dunia hari ini berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan badai teknologi, usaha ini akan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat manfaat pendidikan.
Hal tersebut dikatakan demikian kerana ilmu pengetahuan yang diperolehi daripada sistem pendidikan yang sistematik dan mampan adalah bekalan penting untuk generasi pewaris negara mendepani gelombang pemodenan dan cabaran masa depan yang lebih kompleks.
Seperti mana pentingnya pendidikan, demikan juga halnya dengan kesihatan. Inflasi perubatan dan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah antara isu utama yang membebani perkhidmatan kesihatan negara.
Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan negara menanggung kos RM64 bilion setahun akibat NCD termasuk kos rawatan langsung dan kehilangan produktiviti pekerja.
Data ini menunjukkan peningkatan NCD seperti kencing manis, serangan jantung, kanser, strok, kanser dan tekanan darah tinggi adalah penyebab utama kematian pramatang di negara ini.
Oleh hal yang demikian, reformasi kesihatan dalam tempoh RMKe-13 adalah iltizam penting kerajaan dalam memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan capaian penjagaan kesihatan yang lebih meluas serta terangkum.
Apabila terlaksananya usaha ini, pilihan perkhidmatan kesihatan kepada pengguna dapat diperluas, seterusnya memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan.
Langkah tegas RMKe-13 dalam menangani risiko kesihatan dapat dilihat melalui pengenalan cukai pro-kesihatan yang akan diperluas daripada gula kepada produk tembakau, vape dan alkohol.
Usaha tersebut bukan sekadar untuk meningkatkan pendapatan hasil cukai negara, tetapi juga mendorong perubahan tingkah laku masyarakat bagi membendung peningkatan NCD.
Berkaitan dengan peruntukan RM40 bilion sektor kesihatan, lebih banyak projek pembinaan dan naik taraf hospital dan klinik kerajaan termasuk yang berstatus daif akan dilaksanakan.
Antara projek yang dilaksanakan ialah Hospital Tuanku Ja’afar 2, Seremban, Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Pusat Kanser Wilayah Utara, Sungai Petani, Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu dan Pusat Kanser Sarawak.
Pembinaan lebih banyak kemudahan perkhidmatan kesihatan perlu untuk dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan hospital kerajaan selain menambah baik kemudahan kesihatan di luar bandar yang serba kekurangan.
Secara keseluruhannya, tempoh pelaksanaan RMKe-13 bakal menyaksikan pembaharuan agenda pembangunan negara yang berdaya tahan, meliputi pelbagai aspek sosioekonomi serta bersedia menghadapi cabaran mendatang.
Lebih bermakna sekiranya semua ini tercapai, manfaatnya jelas, iaitu pendapatan rakyat lebih tinggi merentasi sektor ekonomi.
Selain itu, kehidupan rakyat juga menjadi lebih sejahtera dan berkualiti di samping pasaran yang lebih luas serta industri yang berdaya saing dan produktiviti tinggi.
Rujukan:
- https://RMKe-13.ekonomi.gov.my/RMKe-13-ucapan-pembentangan/
- https://www.moe.gov.my/
- https://www.moh.gov.my/
- https://www.malaysiasme.com.my/the-13th-malaysia-plan-reshaping-development-across-sectors-and-regions/





