Membangunkan Kapasiti Inovasi

0
16

Bajet 2022 mengandungi pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan bagi membangunkan kapasiti inovasi negara sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi.

Bagi melaksanakannya, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM423 juta kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, peruntukan tersebut bertujuan untuk mempergiat aktiviti kajian dan pembangunan (R&D) ke arah mengaplikasikan pembaharuan yang selari dengan perkembangan sains dan teknologi.

Bajet 2022 berusaha mempergiat aktiviti R&D bagi mengaplikasi pembaharuan selari dengan perkembangan sains dan teknologi

Beliau yang membentangkan Bajet 2022 pada Oktober lalu mengulas lanjut, peruntukan tersebut termasuklah RM295 juta kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.

Peruntukan RM12 juta secara geran padanan juga disediakan melalui Collaborative Research in Engineering, Science and Technology dalam bidang seperti Gallium Nitride untuk diaplikasikan dalam LED dan kenderaan elektrik.

Kerajaan memperuntukkan RM12 juta dalam bentuk geran padanan melalui kajian kolaboratif dalam bidang teknologi seperti pembangunan kenderaan elektrik

Selain itu, sejumlah RM30 juta akan disediakan untuk melaksanakan hab inovasi di bawah Taman Teknologi Malaysia sebagai persediaan negara melayari Revolusi Industri Keempat yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk ekosistem inovasi dengan pembangunan kluster teknologi baharu muncul seperti dron, robotik dan kenderaan berautonomi.

Kerajaan menjangkakan hab inovasi berkenaan akan memberi manfaat dan pendedahan kepada kira-kira 10,000 bakal usahawan tempatan.

Bagi menggalakkan penubuhan syarikat pemula (startup), RM20 juta diperuntukkan kepada sebuah agensi penyelaras ekosistem startup, iaitu Cradle Fund sebagai usaha memulihkan dan membina daya tahan ekonomi startup.

Inisiatif membangunkan inovasi di bawah Bajet 2022 turut fokus pada usaha merancakkan ekosistem syarikat pemula atau startup

Usaha penggalakan startup turut melibatkan pelaksanaan strategi MyStartup selari dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL secara berfasa untuk memberi manfaat kepada lebih 2,500 syarikat dan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM45 juta sebagai galakan transformasi teknologi ke arah revolusi industri keempat atau Industry4WRD dalam komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga syarikat pertengahan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Tambah beliau, usaha kerajaan untuk merancakkan lagi inovasi termasuklah mempergiatkan National Regulatory Sandbox di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), iaitu FUTURISE untuk menjalankan kajian industri dan mengesyorkan langkah melancarkan inovasi dalam masyarakat dan ‘ease of doing business’.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]