- Advertisement -
5,201
published news
and counting

Kesejahteraan Rakyat Terjamin Dalam Tekad Belanjawan 2026

Must read

Pertumbuhan ekonomi global yang diunjurkan perlahan pada tahun 2026 memaksa kerajaan sesebuah negara termasuk Malaysia mengurus fiskal dan kewangan awam dengan bijak dan berhemat.

Walaupun ekonomi negara tetap berdaya tahan dengan Kadar Dalam Negeri Kasar (KDNK) dicatatkan bertumbuh 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, KDNK negara bagaimanapun diunjurkan perlahan pada 2026.

Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan ekonomi global seperti konflik geopolitik yang berlanjutan dan ketegangan perdagangan berkaitan tarif import Amerika Syarikat.

Untuk berdepan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu, langkah pembaharuan dalam tanggungjawab fiskal dan kewangan awam penting untuk dilaksanakan.

Oleh itu, strategi seperti menurunkan defisit fiskal di samping langkah pengimbangan yang teliti dalam mengutamakan sokongan bersasar dan daya tahan jangka masa panjang akan membina semula ruang fiskal negara.

Inilah tekad Belanjawan 2026 yang menyasarkan penurunan defisit fiskal sekitar 3.5 peratus pada tahun 2026, seterusnya di bawah 3 peratus menjelang tahun 2030 selari dengan aspirasi Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi.

Kebelakangan ini, prestasi pengurusan defisit fiskal negara adalah terkawal, iaitu daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5 peratus pada 2023, menurun ke 4.1 peratus pada 2024 dan 3.8 peratus disasarkan untuk diturunkan pada 2025.

Walau bagaimanapun, pemahaman mengenai penurunan defisit fiskal perlu sampai ke pengetahuan masyarakat.

Hal tersebut dikatakan demikian kerana langkah pengawalan defisit sangat berhubung kait dengan hutang negara, cukai dan subsidi kerajaan yang turut mempunyai implikasi terhadap kehidupan rakyat.

Untuk lebih mudah difahami, defisit fiskal bermaksud situasi apabila jumlah perbelanjaan kerajaan melebihi jumlah pendapatan.

Sekiranya situasi ini berlaku, kerajaan perlu membuat pilihan sama ada untuk mengurangkan perbelanjaan ataupun membuat pinjaman.

Pinjaman yang dibuat adalah untuk membiayai projek pembangunan strategik dan dalam masa yang sama memastikan kestabilan makroekonomi.

Hutang negara pula ialah jumlah terkumpul pinjaman untuk membayar defisit. Secara ringkasnya, defisit fiskal ialah kadar hutang terkumpul manakala hutang negara pula ialah jumlah keseluruhan yang tertunggak.

Pinjaman kerajaan memainkan peranan penting bagi menyokong pembangunan negara dan terdapat peruntukan perundangan yang membenarkan kerajaan membuat pinjaman untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan pembiayaan semula hutang sedia ada.

Dalam hal berkaitan cukai dari perspektif rakyat, pengurangan cukai di samping peningkatan subsidi oleh kerajaan adalah sesuatu yang sangat diidamkan.

Hakikatnya, situasi ini tidak mudah untuk direalisasikan. Secara dasarnya, cukai merupakan sumber utama hasil kerajaan dan subsidi ialah antara komponen besar dalam perbelanjaan mengurus kerajaan selain daripada emolumen.

Segala bentuk subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat adalah bersumberkan hasil negara, terutama melalui kutipan cukai langsung ataupun tidak langsung.

Oleh hal yang demikian, untuk meningkatkan subsidi, hasil pendapatan negara juga perlu ditambah yang mana pengenaan cukai tambahan adalah langkah yang lazimnya diambil oleh kerajaan.

Sebaliknya, dalam perihal perbelanjaan Kerajaan Persekutuan, langkah memperbaiki tadbir urus termasuk melaksanakan subsidi bersasar adalah jalan terbaik yang diambil dalam melaksanakan tanggungjawab fiskal.

Kedua-dua strategi ini diyakini berkesan dalam membanteras rasuah dan mengekang aktiviti penyeludupan barangan keperluan bersubsidi yang boleh menyebabkan kerugian hasil pendapatan negara.

Tindakan tegas badan-badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah berjaya memperoleh hasil rampasan termasuk kutipan penalti hampir RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, peruntukan RM700 juta bagi mempertingkat keupayaan badan-badan penguatkuasaan menerusi latihan dan perolehan aset mencerminkan iltizam kerajaan dalam perang melawan rasuah, ketirisan dan salah laku dalam tadbir urus dan kewangan awam.

Turut akan diperkenalkan ialah setem cukai digital dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi membendung pemalsuan serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui pelaksanaan Centralised Screening Complex CCTV oleh JKDM.

Penggunaan teknologi dalam sistem percukaian adalah antara satu lagi langkah yang mampu meningkatkan hasil negara secara langsung selain dapat meningkatkan kecekapan dan memperkukuh pentadbiran cukai.

Sehubungan itu, Belanjawan 2026 turut membayangkan pelaksanaan e-invois secara menyeluruh sebagai langkah dalam pembaharuan fiskal seterusnya bagi mengatasi ketirisan hasil cukai.

Selain menambah baik tadbir urus, pelaksanaan subsidi bersasar juga tidak kurang memberi kesan positif kepada imbangan fiskal kerajaan.

Kaedah ini juga berupaya menangani ketirisan hasil pendapatan negara selain penjimatan. Namun, cabaran utama dalam melaksanakan subsidi bersasar adalah memastikan golongan yang benar-benar berhak mendapat manfaat dalam situasi ruang fiskal yang mengecil.

Program penstrukturan semula subsidi petrol RON95 yang dinamakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersepadu adalah antara inisiatif subsidi bersasar yang telah dilaksanakan.

Belanjawan 2026 akan meneruskan pelaksanaan subsidi bersasar dalam memastikan hanya golongan yang berhak mendapat manfaat dalam situasi ruang fiskal yang mengecil (Foto Freepik)

Inisiatif tersebut adalah langkah awal pembaharuan fiskal dalam usaha menstruktur semula perbelanjaan negara supaya lebih cekap, bersasar dan berimpak tinggi.

Selama ini, pemberian subsidi petrol dan diesel secara pukal mempunyai kelemahan, terutama dalam menentukan kumpulan sasar untuk memastikan hanya golongan yang berhak menikmati subsidi.

Sebagai contoh, sebelum pelaksanaan program BUDI95, warga asing yang memandu kenderaan yang didaftarkan di negara mereka turut menikmati pembelian petrol RON95 pada harga subsidi yang sewajarnya hanya layak dinikmati oleh warganegara Malaysia.

Program yang mula dilaksanakan pada September 2025 membolehkan rakyat menikmati petrol pada harga RM1.99 atau 0.60 sen lebih murah berbanding dengan harga tanpa subsidi.

Menariknya, impak positif penjimatan yang terhasil daripada penyasaran subsidi bahan api boleh dilihat melalui saluran bantuan tunai seperti Budi MADANI dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selain dapat disalurkan untuk menambah baik kemudahan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur asas.

Strategi subsidi bersasar bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat malah juga menjimatkan kos perbelanjaan negara dalam jumlah yang besar, iaitu antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Penjimatan yang diperolehi juga berupaya mengurangkan beban fiskal kerajaan dan yang lebih signifikan, menyumbang secara langsung dalam penurunan defisit fiskal negara ke paras yang lebih sihat.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan fasa pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang bakal menyaksikan unjuran hasil Kerajaan Persekutuan untuk 2026 meningkat kepada RM343.1 bilion berbanding RM334.1 bilion unjuran pada tahun lepas.

Dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan oleh Kementerian Kewangan (MOF), peningkatan hasil kerajaan banyak disumbangkan oleh hasil cukai yang dianggar sebanyak RM270.4 bilion, merangkumi 78.8 peratus daripada jumlah hasil atau 12.7 peratus daripada KDNK.

Hasil bukan cukai pula dianggar sebanyak RM72.7 bilion atau 3.4 peratus daripada KDNK, disokong oleh pendapatan pelaburan dan sumber sedia ada yang lain seperti lesen dan permit.

Peningkatan jumlah keseluruhan hasil yang lebih tinggi ini mencerminkan peningkatan kecekapan kutipan cukai serta impak ketara daripada pembaharuan fiskal yang berterusan.

Dari perspektif yang lebih luas, Malaysia sedang melaksanakan pelan konsolidasi fiskal secara berperingkat melalui langkah pembaharuan yang jelas dan berwibawa.

Usaha ini dibuktikan melalui pengenalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 atau Akta 850 sebagai langkah perundangan bagi memperkukuh pengurusan fiskal negara melalui amalan tadbir urus yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.

Akta ini yang diwartakan pada 27 Disember 2023 dan telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024 terpakai kepada Kerajaan Persekutuan dan entiti kerajaan yang menerima atau menguruskan dana awam.

Akta 850 diperkenalkan dengan objektif menyokong kemampanan fiskal dan kestabilan makroekonomi, memastikan pengurusan hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang dilaksanakan secara berhemat dan memastikan keadilan fiskal kekal dari generasi ke generasi.

Keutamaan perbelanjaan yang telah disusun semula kepada program dan projek berimpak tinggi termasuk pemberian subsidi, bantuan bersasar dan pembaharuan fiskal secara keseluruhannya adalah berpandukan pada Akta 850.

Dari sudut makroekonomi, penurunan defisit bermaksud jumlah hutang baharu sesebuah negara juga menurun dan terkawal.

Pembentangan Belanjawan 2026 memperlihatkan hutang negara berjaya dikurangkan daripada RM92 bilion pada 2023 kepada RM77 bilion pada 2024.

Namun pada 2025, hutang negara masih mencecah sekitar RM77 bilion, menunjukkan angka yang hampir tidak berubah biarpun Akta 850 telah dikuatkuasakan setahun yang lalu.

Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), kedudukan hutang negara masih tinggi apabila nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK mencecah 64.7 peratus setakat akhir Jun 2025.

Sungguh pun demikian, hala tuju kerajaan seterusnya adalah mencapai matlamat mengurangkan defisit dan pinjaman keseluruhan secara beransur-ansur selari dengan sasaran di bawah Akta 850 dalam usaha memastikan kemampanan pengurusan hutang negara.

Usaha ini mampu dicapai melalui pendekatan serampang dua mata, iaitu mengukuhkan kutipan dan dalam masa yang sama mengoptimumkan perbelanjaan.

Pendekatan ini akan disusuli dengan pengukuhan pentadbiran dan pematuhan cukai termasuk memberi keutamaan kepada perbelanjaan bagi projek berimpak tinggi yang bertujuan mengurangkan kebergantungan pada pembiayaan defisit dan membina penampan terhadap kejutan ekonomi pada masa akan datang.

Antara lain, ekosistem kewangan yang lebih menyeluruh akan dimanfaatkan menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menggalakkan pelaburan awam, seterusnya mengurangkan kebergantungan pembiayaan oleh kerajaan.

Dalam hal ini, Malaysia berupaya mewujudkan model pembiayaan yang lebih mampan untuk meningkatkan potensi ekonomi dan mengukuhkan daya tahan fiskal melalui penjajaran prestasi GLIC dan GLC kepada objektif pembangunan negara.

- Advertisement -

Secara keseluruhan, pengurusan defisit fiskal adalah bahagian penting dalam tanggungjawab fiskal dan kewangan awam.

Melalui pendekatan strategik dan berhemat, perbelanjaan pembangunan dan penyasaran subsidi dapat diimbangi tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Langkah pembaharuan fiskal yang berterusan di samping tadbir urus yang diperkukuhkan mencerminkan disiplin dalam tanggungjawab fiskal yang kekal mudah suai dengan keperluan agenda pembangunan nasional.

Rujukan:

  1. https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/ucapan/ub26.pdf
  2. https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2026/hasil/tinjauan_fiskal_2026.pdf
  3. https://www.ideas.org.my/ideas-belanjawan-2026-berhemah-dalam-imbangi-tekanan-namun-kurang-reformasi-fiskal/#:~:text=Kedudukan%20hutang%20negara%20juga%20kekal,masa%20hadapan.%20Nisbah%20hutang%20kerajaan
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article