Bengkel Program Rakan Sarawak Destiny Movers (RSDM) 2026 merupakan satu inisiatif pembangunan komuniti yang menekankan kesejahteraan mental, pembangunan diri, dan kemahiran insaniah.
Program ini memanfaatkan pendekatan penceritaan, pembelajaran, dan penglibatan aktif peserta untuk memperkukuh kesedaran serta kemahiran dalam kehidupan seharian.
Program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta terhadap isu utama iaitu kesihatan mental, sebuah topik yang kini semakin relevan dalam kehidupan seharian.
Bengkel ini bertujuan membantu masyarakat memahami dan menangani cabaran emosi, memberi pendedahan kepada kaedah pengurusan tekanan, serta menanamkan nilai empati dan kemahiran sokongan asas yang berguna dalam membantu individu di sekeliling secara selamat dan tidak menghakimi.
Selain itu, program ini turut menekankan kepentingan pencegahan bunuh diri melalui perkongsian maklumat yang beretika dan bertanggungjawab.
Pada pertengahan Februari 2026, bengkel yang penuh makna ini telah berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, Miri dengan mengumpulkan komuniti untuk memahami lebih mendalam tentang kesedihan, pencegahan bunuh diri, dan peranan kita sebagai sahabat yang sentiasa hadir di saat memerlukan.
Program ini menampilkan empat penceramah berpengalaman yang membawakan perspektif berbeza tetapi saling melengkapi.
Encik Mohamad Nazwan Mohamad Taufik, Pengasas Bersama Yayasan Dee Hati dan Pendidik Kesedihan Bertauliah, membawakan sesi bertajuk “Beyond Goodbye: Exploring the Grief Experience”;
Dr. Ravivarma Rao Panirselvam, Pakar Psikiatri Hospital Miri dan Pegawai Perhubungan Awam serta Pendidikan Mental Health Association Sarawak (MHAS) Miri, membentangkan topik “Suicide Prevention: Scaling Hope”;
Puan Nooridaly Irwanna, sukarelawan MHAS Miri, berkongsi pengalaman melalui sesi “Jadilah Sahabat Yang Tetap Ada”;
Manakala Puan Jesynthia Wong, Managing Partner Teduh Jiwa Counselling and Consultancy, turut menyumbang perspektif dan panduan praktikal dalam bengkel tersebut.
Gabungan keempat-empat sesi ini membentuk satu naratif yang kuat bahawa kesihatan mental bukan isu individu semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama.
Dalam sesi Beyond Goodbye, Encik Mohamad Nazwan menekankan bahawa kesedihan adalah tindak balas semula jadi terhadap kehilangan, bukan kelemahan atau penyakit, dan tidak perlu dipercepatkan.

Beliau membezakan antara grief, pengalaman dalaman kehilangan, dan mourning, ekspresi luaran kesedihan, sambil menekankan bahawa setiap individu berduka dengan cara yang unik dimana ada yang menangis, ada yang berdiam diri, malah ada yang kelihatan kuat tetapi rapuh di dalam.
Salah satu mesej paling mendalam yang dikongsikan beliau ialah bahawa kesedihan tidak memerlukan penyelesaian, sebaliknya ia memerlukan kehadiran, atau dalam bahasa Inggeris, “Grief does not need solutions. It needs presence.”

Beliau turut menekankan bahawa kesedihan tidak hanya berkaitan dengan kematian, sebaliknya kehilangan pekerjaan, perceraian, penyakit kronik, trauma, atau impian yang musnah juga boleh mencetuskan kesedihan yang mendalam.
Lebih menyedihkan lagi, sesetengah kesedihan tidak diiktiraf masyarakat sehingga menimbulkan rasa sepi dan terasing.
Apa yang dikongsikan oleh beliau membuka mata peserta bahawa kesedihan adalah satu proses dan bukan satu peristiwa, tiada garis masa tetap untuk “pulih”, dan sokongan terbaik bukanlah memberi nasihat, tetapi hadir sebagai saksi kepada kesedihan seseorang.
Dr. Ravivarma Rao pula membawakan sesi bertajuk “Pencegahan Bunuh Diri: Memperluas Harapan” dimana beliau berkongsi realiti global mengenai ratusan ribu nyawa yang terkorban akibat bunuh diri setiap tahun, dengan golongan muda antara yang paling berisiko.
Mesej utama beliau bukan sekadar statistik, tetapi menekankan harapan dalam menghadapi isu bunuh diri, sambil menjelaskan bahawa tingkah laku bunuh diri adalah kompleks dan dipengaruhi faktor biologi, psikologi, sosial, serta persekitaran.
Sehubungan itu, individu yang menunjukkan tanda-tanda serius seperti rasa putus asa melampau, mengasingkan diri, perubahan emosi mendadak dan sebagainya perlu diberi perhatian segera.
Cara kita bercakap tentang bunuh diri juga amat penting, kerana bahasa yang salah boleh meningkatkan stigma, manakala komunikasi yang selamat mampu menyelamatkan nyawa.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan kesihatan awam dan kerjasama masyarakat adalah kunci dalam pencegahan bunuh diri, dan mengubah cara kita bercakap mengenai isu ini membuka ruang untuk seseorang mencari bantuan.
Puan Nooridaly Irwanna menekankan aspek praktikal yang dekat dengan kehidupan harian peserta melalui senario “Mesej Tengah Malam”, di mana seseorang menghantar mesej seperti, “Aku rasa macam nak give up.”
Persoalannya adalah bagaimana kita bertindak? Adakah kita hanya membaca mesej itu atau hadir secara nyata untuk menyokong.
Melalui pendekatan D.U.D.U.K, beliau menggariskan langkah praktikal untuk mendampingi individu yang sedang berdepan krisis iaitu;
D – Diam dan dengar
U – Ungkapkan empati
D – Don’t ask direct question (Jangan Tanya Soalan Secara Terus Terang)
U – Usaha cari bantuan
K – Kekal bersama
Beliau menekankan bahawa menyelamatkan nyawa lebih penting daripada menyimpan rahsia, dan kadangkala seseorang mampu bertahan kerana ada seorang sahabat yang memilih untuk tetap ada di sisi.
Secara keseluruhannya, bengkel ini bukan sekadar program kesedaran, tetapi juga ruang refleksi yang mengajar peserta bahawa kesedihan perlu disaksikan, bukan dinilai;
Individu yang bergelut bukan lemah tetapi sedang bertahan; dan bahawa bahasa, sikap, serta kehadiran kita boleh menjadi faktor pelindung.
Kesihatan mental bukan isu yang boleh disembunyikan di sebalik stigma dan diam, tetapi perlu dibicarakan dengan empati, difahami melalui ilmu, dan ditangani dengan tindakan kolektif.
Mesej bengkel ini dapat dirumuskan dalam satu ayat yang paling menyentuh hati iaitu, kadangkala seseorang masih hidup hari ini kerana ada seseorang yang memilih untuk tetap ada.
Semoga perkongsian ini terus menyemai kesedaran dalam masyarakat bahawa harapan sentiasa boleh dibina selagi kita memilih untuk peduli.







