- Advertisement -
5,291
published news
and counting

Sarawak Sasar Pengiktirafan Global Sebagai Hab Vaksin Dan Farmaseutikal Halal

Must read

Laporan State of the Global Islamic Economy Report 2024/2025 menganggarkan bahawa lebih 2 bilion umat Islam di seluruh dunia telah membelanjakan sekitar US$2.43 trilion pada tahun 2023 merangkumi sektor utama seperti makanan halal, farmaseutikal, kosmetik, fesyen sopan, pelancongan, serta media dan rekreasi, semuanya dipengaruhi oleh prinsip Syariah dan pertimbangan etika Islam.

Dalam konteks ini, sektor farmaseutikal halal menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Perbelanjaan pengguna Muslim bagi produk farmaseutikal mencecah US$107.1 bilion pada tahun 2023 dan meningkat sedikit daripada US$106.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Türkiye kekal sebagai pasaran terbesar, diikuti Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

Lebih signifikan, sektor ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6.8%, dengan nilai pasaran diunjurkan mencapai US$149 bilion menjelang 2028.

Angka ini bukan sekadar mencerminkan permintaan yang tinggi, tetapi juga menandakan keyakinan pengguna terhadap produk farmaseutikal yang mematuhi prinsip halal dan tayyiban.

Seiring dengan perkembangan ini, inovasi dalam pengeluaran farmaseutikal halal turut berkembang.

Indonesia, misalnya, telah melancarkan insulin halal pertama yang dihasilkan secara tempatan, dikenali sebagai Ezelin, manakala Arab Saudi menyasarkan untuk memenuhi lebih separuh keperluan insulin domestiknya menjelang 2027 melalui kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa.

Perkembangan ini memperlihatkan satu anjakan penting ke arah penghasilan ubat yang bukan sahaja berkesan, tetapi juga mematuhi prinsip agama.

Kesedaran terhadap konsep halalan tayyiban kini semakin meluas dalam kalangan umat Islam.

Jika dahulu konsep halal sering dikaitkan semata-mata dengan makanan, hari ini ia merangkumi spektrum yang lebih luas termasuk ubat-ubatan, vaksin, suplemen kesihatan, kosmetik, serta keseluruhan rantaian bekalan daripada sumber bahan mentah hingga ke proses pengilangan dan pengedaran.

Konsep tayyiban pula menekankan aspek keselamatan, kebersihan, kualiti, dan keberkesanan menjadikan produk halal bukan sahaja patuh Syariah, tetapi juga diyakini dari sudut kesihatan.

Perbelanjaan pengguna Muslim bagi produk farmaseutikal mencecah US$107.1 bilion pada tahun 2023 dan meningkat sedikit daripada US$106.9 bilion pada tahun sebelumnya Kredit Gambar : Utusan Malaysia

Malaysia berada di barisan hadapan dalam pembangunan industri ini apabila menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan piawaian khusus bagi farmaseutikal halal melalui Malaysian StandardMS 2424.

Piawaian ini menyediakan garis panduan komprehensif yang merangkumi aspek teknikal dan Syariah dalam penghasilan produk farmaseutikal.

Dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pelaksanaan standard ini telah mengangkat Malaysia sebagai rujukan global dalam pensijilan halal bagi sektor farmaseutikal.

Sejak 2013, produk farmaseutikal berdaftar seperti ubat tanpa preskripsi (OTC), ubatan herba, dan rawatan tradisional telah dibenarkan menggunakan logo halal yang diiktiraf JAKIM.

Malah, pada tahun 2017, Malaysia mencipta sejarah dengan memperkenalkan pensijilan halal pertama di dunia bagi ubat preskripsi.

Ini membuka ruang kepada pesakit untuk berbincang dengan doktor mengenai status halal ubat yang diberikan, sekaligus memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap sistem penjagaan kesihatan.

Namun, di sebalik pencapaian nasional ini, Sarawak masih belum memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam industri farmaseutikal halal.

Berdasarkan Halal Portal Malaysia dan Halal Direktori Khidmat Islam Sarawak, tiada rekod produk farmaseutikal halal yang didaftarkan dari negeri ini, walaupun Sarawak memiliki antara biodiversiti terkaya di dunia.

Hutan hujan tropika yang luas, meliputi kira-kira 46 peratus kawasan hutan hujan Malaysia, menyimpan ribuan spesies tumbuhan, herba, kulat, dan mikroorganisma yang berpotensi tinggi untuk penyelidikan perubatan malah banyak daripadanya masih belum diterokai secara saintifik.

Dalam industri farmaseutikal moden, sumber semula jadi memainkan peranan penting dalam pembangunan ubat baharu, termasuk antibiotik, rawatan penyakit kronik, dan bahan aktif bagi vaksin.

Justeru, Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan kekayaan ini melalui pembangunan ekosistem bioteknologi yang menyeluruh.

Penubuhan taman bioteknologi yang menggabungkan universiti, institusi penyelidikan, syarikat farmaseutikal, dan pelabur boleh menjadi pemangkin kepada inovasi berasaskan sumber bio tempatan.

Kejayaan syarikat tempatan seperti Duopharma Biotech Bhd yang memperoleh pensijilan halal JAKIM bagi produk onkologi membuktikan bahawa Malaysia mampu menghasilkan produk farmaseutikal halal bertaraf global.

Ini seharusnya menjadi inspirasi kepada Sarawak untuk mengorak langkah yang sama, malah berpotensi lebih besar dengan kekayaan biodiversiti yang dimiliki.

Pasaran global yang semakin berkembang, ditambah dengan populasi umat Islam yang besar, menjadikan industri farmaseutikal halal sebagai sektor berpotensi tinggi.

Lebih-lebih lagi, isu kandungan tidak halal dalam ubat dan vaksin sering menjadi kebimbangan pengguna.

Oleh itu, pembangunan produk farmaseutikal halal bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, tetapi juga meningkatkan keyakinan, penerimaan, dan akses kepada rawatan kesihatan.

Bagi merealisasikan potensi ini, beberapa langkah strategik perlu dilaksanakan dan antaranya termasuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan bioteknologi, memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta, membangunkan rangka kerja peraturan yang kondusif, serta mempergiatkan usaha pemetaan biodiversiti untuk mengenal pasti spesies bernilai tinggi.

Pendekatan bersepadu ini bukan sahaja mampu merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan, tetapi juga memastikan pemeliharaan biodiversiti secara lestari.

Akhirnya, Sarawak tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai wilayah yang kaya dengan sumber semula jadi, tetapi sebagai pusat inovasi masa depan dalam industri farmaseutikal halal.

Dengan strategi yang tepat, Sarawak berpotensi muncul sebagai hab bioteknologi halal bertaraf global menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi, tetapi juga kepada kesejahteraan kesihatan masyarakat dunia.

Rujukan :

360iResearch. (2026). Halal Insulin Market by Product Type (Analogue Insulin, Human Insulin), Patient Type (Gestational, Type 1, Type 2), Route Of Administration, Distribution Channel, End User – Global Forecast 2026-2032. 360iResearch. https://www.360iresearch.com/library/intelligence/halal-insulin

BERNAMA. (2022). Duopharma muncul syarikat pertama terima pensijilan halal produk onkologi. BERNAMA.com. https://bernama.com/bm/news.php?id=2151716

Halal Malaysia Portal. HALAL STATUS VERIFICATION. Halal Malaysia Portal.

Halal4Pharma. How To Verify Halal Pharmaceutical Products. Laman Sesawang Rasmi Halal4Pharma. https://www.halal4pharma.com/how-to-verify-halal-pharmaceutical-products/

Halal4Pharma. What is a Halal Pharmaceutical? Laman Sesawang Rasmi Halal4Pharma. https://www.halal4pharma.com/what-is-halal-pharmaceutical

Johari Ab. Latif. (2019). Implementasi Malaysian Standard (MS) 2424 2012 Halal Pharmaceuticals – General Guidelines Kesan Kepada Pensijilan Halal Malaysia. Vol. 13 (2017): International Journal of Social Policy and Society Volume 13 2017.

Khidmat Islam Sarawak. Data Islam Sarawak – Halal Direktori. https://kiswa.sarawak.gov.my/kiswa/main/share/login/

Sidang Editor Gerbang Borneo (eBorneo). (2017). Fakta Mengenai Sarawak. Portal Gerbang Borneo (EBorneo). https://eborneo.dbp.gov.my/sarawak.html

- Advertisement -

The Malaysian Reserve. (2024). Malaysia to produce halal vaccines by 2027. The Malaysian Reserve. https://themalaysianreserve.com/2024/09/30/malaysia-to-produce-halal-vaccines-by-2027/

Salaam Gateway. “State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2024/25 Report from Crisis

to Catalyst : Evolving Islamic Economic Opportunities.” Salaam Gateway – Global Islamic

Economy Gateway, 2024, salaamgateway.com/specialcoverage/SGIE24.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -
- Advertisement -spot_img

Latest article