- Advertisement -
5,243
published news
and counting

Meningkatkan Kesedaran, Mengubah Stigma Terhadap Kesihatan Mental

Must read

Tekanan kerja, kehilangan pekerjaan, masalah hubungan, perceraian, masalah kewangan dan pemergian orang tersayang adalah antara faktor yang boleh menjejaskan kesihatan mental.

Jika tidak ditangani dengan baik, masalah-masalah ini boleh menyebabkan kemurungan, stres dan kebimbangan melampau hingga hilang pertimbangan bahkan timbul keinginan untuk melakukan perkara yang luar dari kewarasan.

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan kira-kira setengah juta atau 2.3 peratus orang dewasa di Malaysia menghadapi masalah kemurungan.

Lebih membimbangkan, 424,000 kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 15 tahun turut menghadapi masalah kesihatan mental.

Peningkatan kes berkaitan kesihatan mental menjadikan penyakit ini menjadi penyakit kedua terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

Hal ini wajar ditangani kerana masalah kemurungan bukan hanya melibatkan perubahan emosi dan tingkah laku, tetapi juga boleh menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang lain seperti kanser dan diabetes.

Penyakit mental bukan sahaja memberi kesan buruk kepada penghidapnya, malah juga memberi kesan kepada produktiviti ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Lebih memburukkan keadaan adalah stigma masyarakat yang melekat terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

Situasi ini menyebabkan pesakit mental cenderung untuk mendiamkan diri dan mengasingkan diri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan kerana mereka merasakan tiada sesiapa pun yang ambil peduli masalah yang mereka hadapi.

Kecenderungan sedemikian boleh menimbulkan rasa diri tidak berguna dan tidak dihargai sehinggalah mendorong perilaku luar kawalan yang lebih serius seperti mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Menyedari hal ini, Persatuan Kesihatan Mental Sarawak (MHAS) Cawangan Miri telah bersama-sama menjayakan Bengkel Kesihatan Mental RAKAN Sarawak Destiny Movers: HOPE (Healing, Outreach, Prevention, Empowerment) di Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada 14 Februari 2026.

Bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif RAKAN Sarawak Destiny Movers (RSDM) yang lebih luas, iaitu satu siri aktiviti penglibatan komuniti yang dilaksanakan oleh syarikat Faradale Media-M yang memanfaatkan kuasa penceritaan untuk menyatukan komuniti.

Dua sesi ceramah telah disampaikan oleh ahli-ahli MHAS Miri. Ceramah pertama bertajuk ‘Suicide Prevention: Scaling Hope’ disampaikan oleh pakar psikiatri dari Hospital Miri yang juga Penyelidik Pencegahan Bunuh Diri dan Pegawai Perhubungan Awam dan Pendidikan MHAS Miri, Dr. Ravivarma Rao Panirselvam.

Ceramah beliau membicarakan tentang kepentingan meningkatkan kesedaran dan pencegahan bunuh diri dalam kalangan masyarakat.

Antara inti pati perkongsian beliau adalah menyentuh tentang stigma, mitos dan tanda amaran awal kecenderungan membunuh diri.

Dr. Ravivarma memberi tumpuan kepada usaha intervensi berasaskan komuniti dan pelaporan yang bertanggungjawab dalam mencegah tindakan bunuh diri.

Pada masa yang sama, beliau juga menekankan bahawa individu perlu dilengkapi dengan pengetahuan untuk mengenal pasti dan bertindak balas terhadap faktor risiko lebih awal.

Ceramah kedua disampaikan oleh salah seorang ahli sukarelawan MHAS Miri, iaitu Puan Nooridaly Irwanna binti Embong.

Perkongsian beliau yang menyentuh hati bertajuk ‘Jadilah Sahabat Yang Tetap Ada’ adalah berdasarkan pengalaman hidup beliau sendiri.

Puan Nooridaly membicarakan bagaimana memahami individu yang sedang berjuang dengan sendirinya, mengenal pasti tanda-tanda amaran serta menawarkan sokongan rakan sebaya yang sesuai.

Sesi ceramah beliau juga menekankan perbincangan yang kuat tentang kehadiran yang konsisten sebagai seorang sahabat yang mempunyai kenalan yang bergelut dengan masalah mental.

Dalam situasi ini, seseorang individu perlu menyatakan kesudian untuk mendengar tanpa menghakimi serta menunjukkan belas kasihan kerana tindak balas sedemikian boleh membawa perubahan yang mampu menyelamatkan nyawa.

Puan Nooridaly menegaskan, mereka yang bergelut dengan kesihatan mental sebenarnya mahu didengari, difahami dan tidak mahu dibebani dengan kecelaruan fikiran yang mendorong mereka melakukan tindakan yang boleh menyakiti diri sendiri.

- Advertisement -
Puan Nooridaly sedang berinteraksi dengan salah seorang peserta bengkel

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MHAS secara sukarela bergerak aktif di seluruh Sarawak dalam meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.

MHAS ditubuhkan dengan objektif menggalakkan penjagaan kesihatan mental yang baik melalui pendidikan, sokongan dan khidmat masyarakat kepada mereka yang terjejas oleh masalah kesihatan mental.

Khidmat masyarakat yang ditawarkan memberi perhatian kepada pesakit dan penjaga. MHAS juga bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, pihak swasta dan organisasi-organisasi lain yang berkaitan.

Matlamat utama MHAS adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit yang berkait dengan kesihatan mental dan memastikan semua orang mendapat bantuan yang sewajarnya.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article