Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menandakan satu pengiktirafan dan permulaan era baharu bagi UPMS untuk menjadi peneraju dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan.
Pengarah UPMS, Prof. Dr. Shahrul Razid bin Sarbini memaklumkan, objektif penubuhan UPMS pada awalnya adalah untuk mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi di Sarawak.

Sejarah penubuhan UPMS bermula pada 10 Ogos 1974 di kampus sementara yang ditempatkan di Natural Resource Training Centre, Semenggok, Kuching yang kini dinamakan Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok (ARC).
Pada Jun 1987, kampus cawangan tersebut berpindah ke Bintulu dan dinamakan sebagai UPMKB. Di awal penubuhan, tiga (3) pusat pengajian diwujudkan, iaitu Pusat Pengajian Sains Gunaan, Pusat Sains Asasi dan Pusat Pengajian Sains Sosial dan Pengurusan.
Program-program yang ditawarkan bermula di peringkat diploma, iaitu Diploma Pertanian, Diploma Perhutanan dan Diploma Perniagaan Tani serta satu (1) program pendahuluan.
Menurut Dr. Shahrul, bidang tumpuan UPM pada masa itu yang masih dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia adalah pertanian dan perhutanan.
Memandangkan Sarawak kaya dengan sumber semula jadi, maka atas faktor itu jugalah kampus cawangan UPM ditubuhkan di Sarawak yang mana aktiviti pertanian dan perhutanan merupakan penggerak ekonomi utama negeri pada era 70-an.
Tambah beliau, penubuhan UPMS ketika itu juga bertujuan untuk meningkatkan integrasi nasional di antara penduduk Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di negeri ini.
Melahirkan Modal Insan Yang Berilmu
Secara dasarnya, penubuhan sesebuah institusi pengajian tinggi seperti UPMS adalah bermatlamat untuk merangka masa depan negeri dan negara.
Dr. Shahrul berpandangan, pelaburan dalam pendidikan memberi makna yang sesebuah negara sebenarnya sedang membuat pelaburan untuk masa depan masyarakat dan negara.
Lebih daripada itu, masyarakat yang berpendidikan bukan semata-mata menguasai akademik, malah juga mempunyai keterampilan, sahsiah dan kemahiran insani yang dapat menjamin masa depan.
Beliau menekankan, pendidikan adalah tunjang yang amat penting untuk kemajuan dan kemampanan sesebuah negara.
Dalam perspektif UPMS, penubuhannya sudah pasti untuk melahirkan modal insan yang berilmu, terutama dalam kalangan rakyat Sarawak.
Beliau percaya bahawa insan yang berilmu akan memberi manfaat kepada masyarakat dan kemajuan negara secara keseluruhan.
Bertepatan dengan slogan UPM, ‘Berilmu Berbakti,’ UPMS mendukung slogan tersebut yang diterjemahkan melalui penyelidikan berimpak tinggi yang akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya di Sarawak.
Antara bidang-bidang fokus utama yang dijalankan UPMS pada masa ini adalah penyelidikan pertanian selain pengurusan hutan mampan dan tenaga diperbaharui.
Melalui usaha yang dijalankan, UPMS akan terus menyumbang dalam menangani isu penting seperti isu keterjaminan makanan menerusi penyelidikan pertanian dan amalan pertanian pintar.
Kepakaran yang dimiliki UPMS akan membantu kerajaan mengurus cabaran dalam isu keterjaminan makanan supaya berdaya tahan serta berupaya menampung keperluan makanan nasional pada masa akan datang.
Sepanjang kewujudannya, UPMS telah melahirkan ramai profesional dalam bidang pertanian dan perhutanan yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri dan persekutuan.
Menurut Dr. Shahrul, ramai dalam kalangan lulusan UPMS mahupun UPM kini berkhidmat di Jabatan Pertanian Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak selain tidak kurang juga yang berkhidmat dalam sektor swasta dalam bidang pertanian dan perhutanan.
Mendepani Isu Keterjaminan Makanan
Bagi mencapai visi maju menjelang 2030, Sarawak mengorak langkah menjadi pengeksport makanan utama serantau seperti yang digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Usaha untuk mencapai visi tersebut tertumpu pada inisiatif mendepani cabaran berkaitan keterjaminan makanan.
Sejak lima (5) tahun kebelakangan ini, UPM telah menjajarkan fokus utama bidang pertanian yang lebih signifikan, terutama dalam pengurusan isu keterjaminan makanan.
Di peringkat induk, UPM telah melancarkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM. Bagi menyokong aspirasi keterjaminan makanan Sarawak, inisiatif di bawah blueprint berkenaan disesuaikan dengan PCDS 2030.
Sehubungan itu, UPMS menyumbang dalam usaha tersebut melalui kerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dalam projek Agrihub@Gedong.
Dr. Shahrul menjelaskan, usaha mendepani cabaran keterjaminan makanan memerlukan satu projek flagship yang benar-benar fokus pada menangani isu tersebut.
Oleh sebab itulah projek Agrihub@Gedong dilaksanakan dengan objektif untuk mentransformasi penanaman padi yang lebih produktif dan mampan berasaskan amalan pertanian moden.
Dalam menjayakan projek tersebut, UPMS berperanan penting dalam menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan benih padi hibrid yang mampu memenuhi 80 peratus keperluan konsumsi rakyat.
Projek yang telah pun dimulakan di Lubok Punggor, Gedong turut dijayakan dengan penglibatan syarikat swasta serta komuniti setempat.
Sasaran utama Sarawak adalah untuk meningkatkan pengeluaran padi sekitar 400,000 tan dalam masa dua (2) tahun di tanah seluas 10,000 hektar.
Kejayaan projek berkenaan yang bakal diperluas ke kawasan-kawasan lain dijangka berupaya membantu Sarawak mengurangkan kebergantungan pada beras import.
Dr. Shahrul berpendapat, dalam mengurus keterjaminan makanan, peningkatan sumber makanan sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran dan penglibatan masyarakat.
Atas faktor itulah beliau menegaskan pentingnya masyarakat dididik dan didedahkan dengan langkah-langkah perlu di samping naratif yang betul mengapa timbulnya isu keterjaminan makanan yang hari ini merupakan satu cabaran global.
Melangkah ke Hadapan
Penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) menerusi kerjasama Kerajaan Sarawak dengan UPMS adalah langkah signifikan dalam menyokong aspirasi keterjaminan makanan di negeri ini.
Inisiatif tersebut juga bermatlamat untuk memenuhi keperluan dalam visi Sarawak menjadi pengeksport makanan utama serantau.
Berdasarkan statistik semasa, Dr. Shahrul memaklumkan Sarawak menghadapi kekurangan tenaga dalam bidang veterinar yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Menurut beliau, sebilangan besar tenaga pakar dalam bidang tersebut lebih berminat untuk mengusahakan klinik haiwan persendirian berbanding berkhidmat untuk agensi kerajaan.
Untuk menjadi pengeluar makanan utama, kesihatan haiwan dalam industri ternakan tidak harus dipandang sepi bagi memastikan kecukupan sumber makanan.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan UPMS akan terus memberi sumbangan dengan kepakaran dalam sektor ternakan dan sains haiwan bagi melahirkan ramai doktor haiwan tempatan.
Beliau mahu melihat perubahan yang mana masyarakat Sarawak bukan sekadar menjadi pengguna, sebaliknya menjadi penyumbang kepakaran dalam bidang veterinar dan industri ternakan.
Dalam melaksanakan projek sekolah veterinar, UPMS akan berperanan utama dalam menyediakan kurikulum menerusi kerjasama di antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dan M-FICORD.
Tambah beliau, inisiatif menubuhkan sekolah veterinar di Sarawak kini sedang dilaksanakan dalam proses akhir dan akan direalisasikan tidak lama lagi.
Sebagai permulaan, lokasi institusi berkenaan dicadang untuk ditempatkan di ARC Semongok, Kuching yang pernah menempatkan kampus pertama UPMS.
Apabila direalisasikan kelak, Sarawak akan menjadi wilayah pertama di kepulauan Borneo yang menubuhkan sekolah veterinar dan sains haiwan.
Pengiktirafan Kepada UPMS
Penjenamaan semula UPMKB kepada UPMS adalah satu langkah strategik yang mengiktiraf kewujudan UPMS di Sarawak, malah juga di Borneo sejak 1974.
Dr. Shahrul menyifatkannya sebagai pencapaian tertinggi UPMS yang hari ini terus relevan dalam memberi sumbangan kepada kemajuan Sarawak menerusi bidang keutamaannya.
Langkah tersebut juga beliau sifatkan sebagai satu pencapaian yang menaikkan peranan UPMS dan menunjukkan bahawa sumbangannya didedikasikan untuk Sarawak, terutama dalam bidang pertanian dan perhutanan.
Setiap universiti awam mempunyai bidang keutamaan masing-masing dan beliau berpendapat bahawa tidak wajar untuk sesebuah universiti dibandingkan dengan universiti-universiti yang lain.
Beliau tidak menolak mungkin ada pandangan umum yang melihat penjenamaan semula UPMS hanya sekadar penjenamaan semula tanpa mengetahui proses di sebalik mendapatkan pengiktirafan tersebut. Sepanjang lebih 50 tahun kewujudan UPMS, Dr. Shahrul menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Kerajaan Sarawak