- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Lahirkan Modal Insan Berkualiti

Must read

Kewujudan institusi-institusi pengajian tinggi berasaskan kemahiran teknikal, dilihat semakin penting pada hadapan disebabkan keperluan mendesak negara yang memerlukan lebih ramai pakar-pakar jurutera dan tenaga separa professional tempatan bagi menyokong pembangunan negara.

Sejajar dengan itu, kerajaan membelanjakan sejumlah besar wang serta menyediakan prasarana yang lengkap bagi memenuhi keperluan tersebut.

Begitu juga, dengan kewujudan beberapa buah politeknik sehinggakan kerajaan merancang untuk membina tujuh buah (politeknik) baru dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) bagi menambah 20 buah politeknik yang sedia ada.

Politeknik Mukah, antara Politeknik yang siap dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), memikul tanggungjawab besar dalam melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti serta berdedikasi disamping kedudukannya sekarang dalam Bahagian Mukah (sebuah bahagian baru) banyak menuntut kepada usaha proses penghasilan graduan yang mampu menyumbang secara tidak langsung kepada pembangunan Bahagian tersebut.

Apa yang membezakan politeknik dengan institusi pengajian lain ialah ia lebih memberi penekanan terhadap kemahiran, tanpa mengenepikan aspek ilmu pengetahuan.

Sudah semestinya, kita perlu bergantung kepada kepakaran tempatan dan ini dapat dicapai dengan melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai kemahiran teknikal

Perkara ini turut disokong oleh Pengarah Politeknik Mukah, Tuan Haji Mordin Bin Mohammad yang berkata ini secara tidak langsung boleh menyokong ke arah pembangunan modal insan berkualiti kerana mereka diajar untuk menguasai pelbagai kemahiran.

Katanya, graduan politeknik bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu pengetahuan secara teori malah mampu melaksanakan secara praktikal yang dipelajari.

“Kita akan pasti setiap graduan yang keluar akan memiliki kemahiran dan menjadi multi-skill”,jelasnya

Mengambil kira kedudukan Politeknik Mukah, kerajaan menurutnya membuat keputusan tepat menempatkan politeknik di Mukah yang juga terletak dalam wilayah tengah yang bakal dimanfaatkan kebanyakan pelajar dari kawasan berhampiran seperti Sibu, Bintulu dan Sarikei.

Kewujudan politeknik turut memberi banyak peluang kepada pelajar tempatan khasnya untuk mengikuti pengajian di sini.

Dengan kelengkapan dan kemudahan yanbg disediakan, Politeknik Mukah Sarawak adalah antara politeknik yang serba lengkap atau tercanggih di Malaysia.

Mengenai kemudahan teknologi maklumat (IT), kebanyakan kawasan politeknik ini turut mempunyai liputan “wireless” bagi memudahkan mereka mengakseskan internet.

Reka cipta politeknik juga mengambil kira keperluan masa hadapan, yang mampu menampung sehingga 4,000 orang pelajar dalam satu-satu masa. Setakat ini, seramai 3,200 orang pelajar yang menggunakan kemudahan Kamsis untuk tujuan tersebut.

Ia turut dilengkapi yang kemudahan sukan yang terkini antaranya seperti tujuh (7) buah padang permainan untuk sukan Hoki, Futsal, Bola Sepak, Rugbi, Bola Jaring, Bola Tampar dan Sukan Takraw. Ia juga mempunyai sebuah gimnasium dan tiga (3) buah gelanggang sukan untuk Tenis, Squasy dan Badminton

Setelah setahun (beroperasi di tapak baru pada 26 Julai 2005),sehingga kini (2006) terdapat seramai 619 orang pelajar sedang mengikuti pengajian di sini.

Setakat ini, antara kursus yang mendapat sambutan yang menggalakkan ialah Kursus Kejuruteraan Awam (Peringkat Sijil) dengan 178 orang pelajar manakala Teknologi Maklumat, dengan 168 orang pelajar.

Selebihnya dengan Sijil Pengurusan Perniagaan (143 orang pelajar), Sijil Kejuruteraan Mekanikal (45), Diploma Kejuruteraan Awam (45) dan Diploma Teknologi Maklumat (Pemprosesan).

Namun jumlah kapasiti pelajar dijangka meningkat sepenuhnya pada tahun 2010 apabila pelbagai kursus lain ditawarkan yang dibuka secara berperingkat-peringkat.

Setakat Julai 2006, pengajian yang ditawarkan pada peringkat sijil ialah Sijil Kejuruteraan Awam ( SKA ), Sijil Kejuruteraan Mekanikal ( SKM ), Sijil Pengurusan Perniagaan (SPP) dan Sijil Teknologi Maklumat ( SIT ). Manakala peringkat diploma pula, ia menawarkan Diploma Kejuruteraan Awam ( DKA) dan Diploma Teknologi Maklumat ( DIT )

Kelebihan itu turut mendorong Pelajar Pengajian Teknologi Maklumat, Farida Bte Jaafar, 21, berasal dari Membakut, Sabah memilih untuk meneruskan pengajiannya di Politeknik Mukah.

Jelasnya walaupun berjauhan dengan ibu-bapa di Sabah, namun dia percaya bidang yang dipilihnya adalah tepat memandangkan dia memasang cita-cita untuk membuka perniagaan berasaskan IT apabila keluar kelak.

Nora afisa Bt Omar, Pelajar Pengajian Pengurusan Perniagaan bagaimanapun bersyukur kerana peluang untuk mendapatkan pendidikan dalam bidang kemahiran tercapai.
Dia yang berasal dari Sibu, Sarawak berharap lepasan sekolah agar tidak melepaskan peluang yang telah disediakan oleh kerajaan.

Politeknik Mukah, menjadi antara institusi pendidikan kedua selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM Sarawak, Cawangan Mukah) yang terletak di bahagian berkenaan.

Politeknik Mukah terletak 10.5 km dari Bandar Baru Mukah serta dibina di tapak seluas 100 ekar. Sebelum berpindah ke Mukah, ia telah pun mula beroperasi pada 1 Ogos 2004 dengan membuka satu pejabat operasi di Sekolah Menengah Teknik Sibu, Jalan Deshon Sibu Sarawak.

Di Kampus Politeknik di Mukah, ia mula menjalankan pengambilan pelajar bagi sesi pertama pada 26 Julai 2005, dengan menerima kehadiran seramai 161 orang pelajar dengan hanya tiga bidang pengajian (ketika itu) dikendalikan iaitu Teknologi Maklumat (ICT), Perdagangan dan Kejuruteraan Awam.

Politeknik Mukah menjadi politeknik yang ke 20 di Malaysia serta kedua (2) di Sarawak. Projek yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM298 juta itu turut menempatkan beberapa bidang pengajian antaranya Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Jabatan Pengajian Am, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrikal Awam, Jabatan Pengajian Perniagaan, Latihan dan Lanjutan.

Info

Kajian mendapati 49.78% pelajar lepasan Politeknik bekerja dalam sektor ekonomi Perlombongan dan Pengkuarian, Pembuatan, Bekalan Elektrik, Gas dan Air dan Pembinaan.

Manakala 32.95% bekerja dalam sektor ekonomi yang lain seperti perdagangan Jual Borong & Jual runcit, pembaikan kenderaan serta pengantara kewangan, Aktiviti Hartanah, penyewaan dan perniagaan.

(Sumber : KPTM, Bahagian Pengurusan Politeknik – Kajian Pengesanan Graduan Politeknik bagi tahun 2005).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article