31 C
Kuching
Sunday, February 28, 2021

BKSS 5.0 “Meringankan Beban Rakyat”

YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak

YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak telah memutuskan untuk membantu rakyat pada keseluruhannya menerusi beberapa pendekatan penting bagi meringankan beban rakyat dalam meneruskan kehidupan seharian akibat penularan COVID-19 yang sedang melanda negara.

Ketua Menteri berkata demikian dalam siding media khas Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 pada Khamis, 21 Januari 2021 di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia.

BKSS 5.0 melibatkan peruntukan berjumlah RM405 juta dengan 11 inisiatif yang meliputi pemberian diskaun, pengecualian dan penangguhan pembayaran lesen, premium tanah dan pinjaman industri kecil dan sederhana.

“Seperti dahulu beberapa bantuan dipanjangkan lagi bagi tempoh enam (6) bulan mulai Januari 2021 hingga Jun 2021,” tambah Ketua Menteri.

BKSS 5.0 ini melibatkan pemberian diskaun bil elektrik bulanan di antara lima (5) peratus dan 25 peratus yang akan memanfaatkan kira-kira 642,000 isi rumah di Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM166.2 juta.

Selain diskaun bil air bulanan di antara 10 peratus dan 25 peratus untuk lebih 568,000 isi rumah dengan kos keseluruhan diskaun bil air ini berjumlah RM31.5 juta.

Kerajaan Sarawak juga memberi diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai untuk enam (6) bulan mulai Januari hingga Jun 2021. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di samping itu, Kerajaan Sarawak juga mengecualikan bayaran permit dan lesen perniagaan kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu.

Pengecualian bayaran ini akan mengurangkan beban para peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Sarawak. Inisiatif ini akan melibatkan kos RM8.3 juta.

Turut mendapat manfaat ialah kira-kira 40. 000  pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-badan Berkanun dan syarikat-syarikat GLC Negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), yang mana Kerajaan Sarawak akan meneruskan pengecualian bayaran sewa bagi tempoh 6 bulan mulai Januari hingga Jun 2021.

Diskaun 25 peratus turut akan diberi kepada taksiran Kadar Cukai Pintu tahunan melebihi RM400 untuk premis kediaman, komersil, industri dan premis pegangan khas mulai Januari hingga Jun 2021.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 185,000 premis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sekaligus meringankan beban rakyat dan peniaga di Sarawak. Keseluruhan kos diskaun ini yang dianggarkan berjumlah RM74.6 juta.

YAB Ketua Menteri juga memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak memberi diskaun 50 peratus ke atas sewa Skim Perumahan HDC akan dilaksanakan mulai Januari hingga Jun 2021.

Usaha ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 penyewa Skim Perumahan HDC di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun ini dianggarkan melebihi RM3.0 juta.

Turut diberi diskaun ialah bayaran cukai tanah. Kerajaan Sarawak memberi diskaun 30 peratus untuk pembayaran cukai tanah bagi tahun 2021 yang akan memberi manfaat kepada lebih 52,400 tempat kediaman, pusat komersial dan industri, perladangan skala besar dan lain-lain kemudahan awam.

Langkah ini akan mengurangkan beban rakyat dan akan melibatkan kos berjumlah RM11.8 juta.

BKSS 5.0 juga menawarkan pengecualian pembayaran lesen hotel secara one-off atau sekali kepada 17,300 bilik hotel di seluruh Sarawak tahun 2021.

Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 340 pengusaha hotel dan rumah tumpangan. Ia akan melibatkan kos kepada Kerajaan Sarawak sebanyak RM400,000.00

Pengumuman Ketua Menteri tentang penangguhan pembayaran Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) selama enam (6) bulan mulai Januari hingga Jun 2021 pastinya membolehkan 174 peminjam SPIKS menarik nafas lega yang dapat membantu aliran tunai dan mengurangkan beban kewangan mereka. Langkah ini melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak berjumlah RM0.9 juta.

“Kerajaan Negeri berharap Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 yang berjumlah RM405 ini akan membantu meringankan beban seluruh rakyat Sarawak hingga ke bulan Jun dan kita juga berharap dan berdoa agar dengan adanya vaksin, penularan COVID-19 dapat diatasi selepas Jun 2021,” kata Ketua Menteri.

Bantuan Khas Sarawakku Sayang
 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

943FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles