31 C
Kuching
Sunday, February 28, 2021

Bersiap Sedia ke Fasa Seterusnya Pendigitalan Pengurusan Air

JBALB Menuju ke Arah Pendigitalan Perkhidmatan Sepenuhnya Menjelang 2025

Sejajar dengan arus transformasi digitalisasi negeri yang telah digariskan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak dalam ‘Digital Economy Strategy 2018-2022’, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Sarawak (JBALB) telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi memenuhi hasrat pihak berkepentingan dan juga bagi menaiktaraf serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan JBALB kepada pengguna.

Meskipun terdapat pelbagai cabaran dalam pelaksanaan proses pendigitalan ini, namun kekurangan kakitangan dan faktor infrastruktur telekomunikasi kawasan luar bandar bukanlah menjadi penghalang kepada JBALB bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah pendigitalan penuh perkhidmatan bekalan air.

Dalam fasa 2 pendigitalan bekalan air JBALB, JBALB akan memperluaskan lagi liputan pendigitalan fasiliti bekalan air, pendigitalan sistem agihan, penggunaan air, khidmat pelanggan dan pelbagai lagi aspek bekalan air.

Kejayaan JBALB ini juga diterjemahkan hasil kemantapan barisan kakitangan JBALB dalam mendepani arus pendigitalan dan transformasi dan juga sokongan  padu semua pihak dalam merealisasikan misi besar ini.

Dalam fasa 1, JBALB telah membangunkan JBALB Command Centre yang menjadi pusat kepada kerangka induk pendigitalan JBALB.

Kerangka induk pendigitalan JBALB

Ia merangkumi segenap aspek pengurusan bekalan air bukan sahaja dari aspek teknikal tetapi juga dari sudut komunikasi korporat, khidmat pelanggan dan pendigitalan di JBALB secara lebih berpusat dan holistik.

Sebelum proses pendigitalan ini berlaku, JBALB sudah mempunyai beberapa aplikasi mandiri (standalone applications) yang digunakan dalam perkhidmatan JBALB seperti JBALB Water Billing System (WBS) bagi urusan pengebilan, SIFBAS bagi urusan operasi kewangan, MMAS bagi pengurusan aset, Talikhidmat bagi pengurusan aduan dalam talian dan beberapa aplikasi SCADA yang dibangunkan secara tidak seragam, tidak konsisten dan mudah luput (obsolete) yang dilaksanakan di beberapa loji rawatan air seluruh Sarawak.

Ketiadaan satu platform khusus bagi penyelarasan semua rangkaian aplikasi perkhidmatan ini menyebabkan kakitangan JBALB tidak mampu memahami sinergi aplikasi tersebut serta kepentingannya terhadap peningkatan mutu perkhidmatan dan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Oleh itu, satu platform khusus dinamakan JBALB Command Centre telah dirangka bagi tujuan ini melalui pendigitalan bekalan air JBALB fasa 1.

Pendigitalan Operasi Rawatan Air

JBALB Command Centre lebih memfokuskan kepada pendigitalan operasi rawatan air (water production digitalization) dalam fasa pertama pendigitalan JBALB. Ia melibatkan pemasangan SCADA di 14 buah loji rawatan air utama di bawah bidang kuasa JBALB termasuk pemasangan PLC untuk pam air terawat, penganalisis kualiti air (water quality analyzer), skrin paparan interaksi manusia-mesin (human machine interface display panel) yang seterusnya berupaya untuk memaparkan keadaan perawatan air dari muka sauk air mentah (raw water intake), proses-proses rawatan air sehinggalah kepada kualiti air dan pemantauan penggunaan tenaga (energy monitoring).

Perbincangan tentang prototaip HMI yang dipasang di loji sebelum dihantar dan dipasang di loji. Skrin paparan HMI dipasang di loji bagi memudahkan operator loji untuk melihat keadaan dan proses rawatan air di loji, manakala antara muka (interface) yang sama digunakan untuk membuat pemantauan di JBALB Command Centre

Data yang diperolehi dari SCADA ini kemudiannya akan divisualisasi di HMI setiap loji, dan seterusnya akan dihantar menggunakan talian internet ke server yang diperoleh oleh JBALB di SAINS Data Centre.

Data ini kemudiannya dikumpulkan, dianalisis dan dipusatkan dalam satu aplikasi SCADA sehenti yang kemudiannya akan dipaparkan di JBALB Command Centre.

Antara kelebihan pemusatan data produksi air melalui pemusatan SCADA (SCADA centralization) ini ialah aspek pemantauan yang lebih sistematik dan teratur oleh pihak Ibu Pejabat JBALB terhadap keadaan loji rawatan air dan kualiti air yang sentiasa mengikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini juga memberi kemudahan kepada pihak ibu pejabat JBALB  untuk membuat penambahbaikan pada proses-proses rawatan serta mendapat maklumat lebih awal tentang sebarang kemungkinan kerosakan atau gangguan pada proses rawatan air di loji rawatan air.

RAKAN Sarawak merakam penghargaan terima kasih di atas kerjasama Cawangan Komunikasi Korporat dan Pendigitalan, JBALB Sarawak yang membantu menyalurkan maklumat dan foto dalam penghasilan artikel di atas.

 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

943FansLike
1,667FollowersFollow
21SubscribersSubscribe
- Advertisement -

Latest Articles