Sunday, June 13, 2021

spot_img

Meningkatkan Pengeluaran Padi Menjelang 2030

Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport makanan (Net Export of Food) menjelang tahun 2030.

Bagi mencapai sasaran tersebut, pengeluaran makanan bagi menjamin bekalan dan keselamatan makanan perlu dipertingkatkan.

Salah satu sektor utama yang diberi perhatian ialah sektor pengeluaran padi dan beras.

Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawwak, Encik Edwin anak Abit

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) telah menggariskan beberapa objektif strategik termasuklah meningkatkan Tahap Sara Diri atau SSL (Self-sufficient Level) pengeluaran padi daripada 51 peratus kepada 70 peratus menjelang 2030.

Menurut Setiausaha Tetap MANRED, Encik Edwin anak Abit dalam sesi temu bual bersama RAKAN Sarawak baru-baru ini, sektor pengeluaran padi di Sarawak telah menyumbang sebanyak RM1.23 juta nilai eksport dalam tempoh empat (4) tahun (2016-2019) berbanding dengan sektor-sektor pertanian yang lain.

Nilai Eksport Berdasarkan Sektor:

Di peringkat jabatan, usaha meningkatkan pengeluaran padi dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) yang bernaung di bawah MANRED dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Pada tahun 2020, DOA memulakan program pengeluaran benih padi MR269 di Bahagian Sri Aman yang telah menghasilkan tuaian sebanyak 100 metrik tan varieti biji padi MR269 di Tanjung Bijat, Stumbin dan Pantu.

Kawasan tanaman padi di Kampung Limau, Pantu, Sri Aman

Benih-benih padi berkenaan diedarkan secara percuma kepada petani di pelbagai kawasan penanaman padi seperti di Tanjung Purun dalam Bahagian Kuching dan Skuduk-Chupak dalam Bahagian Serian.

Selain itu, kerajaan juga merancang untuk memperkenalkan varieti benih padi MR297 baharu kepada petani di samping melaksanakan program pensijilan benih dan pengukuhan rantaian bekalan melalui penglibatan sektor swasta dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terpilih.

Imbas kembali, usaha meningkatkan pengeluaran padi pernah dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2018.

Sehubungan dengan itu, MANRED menyediakan pelan induk untuk industri padi Sarawak yang akan menjadi arah pembangunan serta mengenal pasti tindakan yang perlu dalam membolehkan negeri ini mencapai sasaran SSL.

Pembangunan padi dalam pelan induk berkenaan melibatkan beberapa buah kawasan, iaitu Kampung Kupang, Jelupang, Kampung Sessang dan Nyiar.

Usaha peningkatan pengeluaran padi juga dilakukan dengan membina dan menaik taraf jalan ladang, perparitan dan tebing ban pada 2020 dengan peruntukan sebanyak RM19.8 juta.

Dalam merealisasikan visi menjadikan Sarawak pengeksport makanan, MANRED turut bertanggungjawab menerajui pembangunan komuniti pertanian dan luar bandar Sarawak dengan membawa misi untuk mentransformasikan dan melestari ekonomi pertanian dan pembangunan luar bandar.

Kementerian ini juga mempunyai visi dan aspirasi dalam sektor pertanian yang digerakkan melalui teknologi yang akan memastikan jaminan bekalan dan keselamatan makanan selain meningkatkan pendapatan komuniti asas tani melalui pelbagai program pembangunan dan latihan.

RAKAN SARAWAK
Author: RAKAN SARAWAK

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

1,012FansLike
1,807FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]