Sunday, June 13, 2021

spot_img

MANRED Membangunkan Modal Insan Luar Bandar

Modal insan merupakan aset yang sangat penting untuk kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat di sesebuah kawasan, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Namun demikian, pembangunan modal insan bergantung pada proses pendidikan dan latihan. Nilai diri seseorang insan akan meningkat jika dia memanfaatkan perkembangan teknologi dan perkembangan baharu yang diperoleh selepas mendapatkan latihan.

Selaras dengan visi menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, pembangunan modal insan dalam pelbagai bidang dijadikan agenda utama dalam mencapai visi berkenaan.

Di sinilah Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) memainkan peranannya yang tidak kurang penting dalam membangunkan modal insan luar bandar melalui Program Latihan Pembangunan Modal Insan Luar Bandar.

Menurut Setiausaha Tetap MANRED, iaitu Encik Edwin anak Abit, sebanyak 10 program latihan ICT khusus untuk luar bandar dengan 148 siri kursus yang melibatkan seramai 1,885 orang peserta telah dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Luar Bandar kementerian berkenaan.

Fokus latihan ialah pengenalan kepada penggunaan ICT dengan melatih dan memberi tunjuk ajar para peserta bagaimana untuk menjual barangan dan produk hasil pertanian secara atas talian, membuat laman sesawang, memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook untuk tujuan pemasaran, pengiklanan dan sebagainya.

Seorang tenaga pelatih dan para peserta ketika menjalani kursus videografi yang dijalankan di Bahagian Bintulu

Daripada segi peruntukan, sejumlah RM5.830 juta diperuntukkan bagi menjayakan program tersebut. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MANRED bakal menyediakan latihan kepada komuniti luar bandar dengan memfokuskan pada pengetahuan dan kemahiran dalam Pertanian Pintar (Smart Farming), kemahiran dalam pemasaran serta mempromosi produk usahawan.

Antara latihan yang bakal dijalankan termasuklah kursus penanaman menggunakan kaedah hidroponik, kursus penyediaan cadangan perniagaan serta kursus fotografi, videografi dan mempromosi produk jualan menerusi Youtube.

Program Latihan Pembangunan Modal Insan Luar Bandar merupakan kesinambungan daripada program yang mula dilaksanakan di bawah RMK-9 hingga RMK-11 yang dulu dikenali sebagai Program Latihan dan ICT Luar Bandar.

Program tersebut dikendalikan selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mengurangkan jurang digital di antara masyarakat bandar dengan masyarakat luar bandar.

Para peserta Program Pembangunan Modal Insan Luar Bandar MANRED bergambar selepas menamatkan kursus di Bahagian Bintulu

Sejak diperkenalkan sepanjang dua dekad yang lalu, Kerajaan Sarawak melalui MANRED telah mengambil langkah lebih ke hadapan berbanding dengan negeri-negeri lain apabila telah mengendalikan pelbagai siri kursus berasaskan ICT di seluruh negeri.

Objektif program adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat luar bandar seperti para usahawan agromakanan, pengusaha kraftangan, agro-pelancongan serta mereka yang mempunyai minat dan sudah memiliki pengetahuan asas dalam ICT untuk dibangunkan supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan.

Antara kursus yang dilaksanakan adalah seperti kursus asas penggunaan Microsoft Word, animasi, videografi, Autocad dan Program Rural ICT Guided Home-Based Technopreneur (RiGHT).

Program RiGHT merupakan Program kerjasama di antara MANRED dengan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS).

Program percuma selama enam bulan ini dikhaskan untuk komuniti luar bandar mendalami pengetahuan dan mengasah kemahiran dalam bidang ICT.

Para peserta diberi pendedahan dalam bidang keusahawanan berasaskan teknologi maklumat dalam usaha memupuk minat mereka untuk melibatkan diri dalam keusahawanan.

Matlamat utama program RiGHT adalah untuk menyokong dan meningkatkan penggunaan ICT dalam kalangan masyarakat luar bandar Sarawak yang seterusnya akan meningkatkan taraf hidup mereka serta memperkasa kemahiran ICT golongan muda luar bandar agar mampu menjadi usahawan teknologi dan usahawan agro. Sejak RMK-9, seramai 20 orang golongan belia dari luar bandar mengikuti program ini setiap tahun.

RAKAN SARAWAK
Author: RAKAN SARAWAK

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
 
An eyewitness to Sarawak’s transformation

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

1,012FansLike
1,807FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]