Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-9

0
7

Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak (CMEA) Ke-9 bagi sesi 2019/2020 telah diadakan pada 13 September 2021 di salah sebuah hotel di bandar raya Kuching.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Anugerah Emas dimenangi oleh Majlis Bandaraya Miri bagi Kategori Kerajaan Tempatan dan Estet Kelapa Sawit SALCRA Sedarat/Memaloi bagi Kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Wakil daripada Majlis Bandaraya Miri menerima Anugerah Emas CMEA Ke-9

Manakala Anugerah Juara pula dimenangi oleh Outright Coffee, Sibu, AP Mega Jaya Sdn Bhd, Miri serta The Bikalan, Bau bagi Kategori Perusahaan Kedai Makan.

Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Sibu juga memenangi Anugerah Juara bagi Kategori Kerajaan Tempatan.

Anugerah Merit dimenangi oleh Estet Kelapa Sawit SALCRA Mongkos dan F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd, Kuching Plant bagi Kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana).

Penganjuran CMEA pada kali ini telah mencatat sebanyak 106 penyertaan.

Sementara itu, Ketua Menteri dalam ucapan perasmian beliau memaklumkan, Sarawak akan terus memberi penekanan terhadap kelestarian alam sekitar bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam usaha mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Usaha sedemikian menurut beliau akan mewujudkan penyelesaian bersama di antara semua pihak serta akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan lestari yang akan memacu ekonomi secara berterusan.

Pembangunan lestari sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak dan komitmen dalam mencapai keseimbangan di antara keperluan dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat juga akan terus dilaksanakan.

CMEA yang diadakan dua tahun sekali merupakan kolaborasi di antara Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) bersama Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).

Objektif penganjuran anugerah berkenaan ialah bagi menggalakkan sektor perniagaan, perindustrian, sektor awam serta swasta di Sarawak agar mencapai kemajuan di samping mengutamakan pengurusan alam sekitar yang baik.

Penganjuran CMEA kali ini yang bertemakan ‘Enhancing Environmental Stewardship’ turut diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Haji Abdul Karim bin Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Pengerusi NREB YB Datu Haji Len Talif bin Salleh dan Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Peggy Ronin Edin.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]