JPVS Komited Tingkatkan Tadbir Urus Yang Baik, Efektif dan Efisien

0
36

Memandangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) adalah sebuah jabatan baharu yang ditubuhkan pada tahun 2017, pelbagai inisiatif dan penambahbaikan telah dibuat bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik, efektif dan efisien.

Salah satu aspek yang sangat diberi perhatian oleh JPVS ialah tadbir urus integriti di bawah Unit Integriti yang baharu saja ditubuhkan pada tahun lepas (2021).

Puan Nur Aqma Syairah Syafiqah Bt Md Zaidi

Pegawai Tadbir JPVS, Puan Nur Aqma Syairah Syafiqah Bt Md Zaidi menjelaskan, Unit Integriti ini ditubuhkan selaras dengan hasrat Ketua Menteri untuk menjadikan Sarawak negeri maju berintegriti dengan meletakkan integriti dan antirasuah sebagai salah satu keutamaan dalam gerak kerja tahunan.

Menurut beliau, Unit Integiriti di JPVS berfungsi sebagi ‘focal point’ kepada pengurusan isu-isu berkaitan di jabatan dengan melaksanakan enam fungsi teras iaitu Tadbir Urus, Pengukuhan Integriti, Pengesanan dan Pengesahan, Pengurusan Aduan, Pematuhan dan Tatatertib.

Cadangan terhadap penambahbaikan serta pembaharuan kepada dasar, sistem dan prosedur kerja serta prosedur dalam organisasi akan dilakukan di bawah fungsi teras pertama iaitu Tadbir Urus.

Teras kedua iaitu Pengukuhan Integriti akan mempergiatkan aktiviti pembudayaan integriti dalam jabatan dan menggalakkan kakitangan di jabatan untuk bekerja secara produktif dan berorientasikan integriti dalam setiap tugas yang dilaksanakan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan di bawah fungsi teras kedua ini ialah, mengadakan kempen kesedaran dan program pengukuhan integriti untuk semua kakitangan di JPVS.

Di bawah fungsi teras ketiga iaitu Pengesanan dan Pengesahan, tugas-tugas mengesan dan mengesahkan aduan salah laku atau pelanggan integriti warga jabatan akan dilakukan bagi menetapkan kategori kesalahan jenayah atau kesalahan bukan jenayah.

Seterusnya, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk membolehkan hasil siasatan disemak semula.

Fungsi teras keempat iaitu Pengurusan Aduan akan menerima dan mengambil tindakan terhadap semua maklumat dan aduan salah laku tatatertib yang dilaporkan melalui sistem talikhidmat, media sosial, surat dan e-mel.

Turut diberi perhatian ialah, memastikan tindakan susulan aduan dan syor siasatan oleh bahagian yang berkaitan, kemudian aduan berkaitan pelanggan integriti akan diselaraskan dan diproses untuk disiasat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Di bawah fungsi teras kelima iaitu Pematuhan adalah berperanan untuk memastikan pematuhan ke atas peraturan pentadbiran dan kewangan yang berkuat kuasa di samping mengenal pasti kelemahan dalam dasar dan peraturan sedia ada.

Seterusnya ialah memastikan kod etika JPVS dipatuhi kemudian mengadakan pemeriksaan berjadual dan tidak berjadual terhadap amalan, sistem atau tatacara pentadbiran dan kewangan agar ia lebih teratur selaras dengan dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Fungsi teras keenam iaitu Tatatertib akan menggariskan inisiatif mengumpul data-data kes tatatertib dan salah laku di setiap Bahagian atau Seksyen atau Unit di JPVS, seterusnya mengurus selia dan melaksanakan prosedur tatatertib di peringkat Jawatankuasa Tatatertib Jabatan.

Salah satu daripada inisiatif di bawah Tadbir Urus Integriti ialah pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), yang merupakan satu dokumen dasar pelan tindakan atau inisiatif bagi memacu pembangunan industri ternakan dan pematuhan kesihatan veterinari dengan penuh integriti dan bebas rasuah.

Pelaksanaan OACP merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah Tadbir Urus Integriti JPVS

OACP ini bertujuan untuk memperkasakan sistem pengurusan dan penguatkuasaan melalui penerapan nilai integriti yang tinggi dan mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

Encik Rovits Regen

Setelah mengenal pasti riskio yang ada di JPVS, enam (6) bidang keutamaan telah berjaya dikenal pasti iaitu Pentadbiran dan Sumber Manusia; Kewangan dan Perolehan; Penguatkuasaan; Pelesenan dan Permit; Pembangunan Industri Ternakan; dan Pengurusan Makmal.

Berhubung dengan Tadbir Urus Kewangan, Encik Rovits Regen dari Bahagian Komersialisasi dan Khidmat Sokongan memaklumkan bahawa JPVS sentiasa berhemah dalam menggunakan peruntukan yang diberikan mengikut arahan Perbendaharaan dan Tatacara Perolehan yang berkuat kuasa.

Hal ini kerana, JPVS banyak belajar dari kesilapan yang lepas dan pihak mereka cuba untuk memperbaiki serta menambah baik sistem pengurusan kewangan di JPVS dan akhirnya ia telah membuahkan hasil yang lebih baik kerana JPVS semakin cekap dalam pengurusan kewangan.

Semasa ditemu ramah RAKAN Sarawak baru-baru ini, beliau memberitahu JPVS turut menganjurkan kursus berkaitan tatacara perolehan sebagai pendedahan kepada pegawai baharu di jabatan tersebut.

Antara inisiatif lain yang turut diadakan ialah, pelaksanaan pengurusan kawalan dalaman iaitu pekeliling dalaman jabatan dikeluarkan seperti pengurusan tuntutan pegawai mewajibkan pelaksanaan kajian pasaran.

JPVS turut mengadakan refresh cource untuk menggalakkan pegawai-pegawai yang lama mengajar pegawai-pegawai yang baharu tentang cara hendak membuat tatacara perolehan.

JPVS mengadakan lawatan dan latihan sambil belajar ke Negeri Sabah

Mesyuarat bulanan juga akan diadakan sebagai langkah untuk memantau kemajuan pelaksanaan perolehan, prestasi perbelanjaan dan juga isu atau kekangan yang dihadapi oleh pejabat Bahagian. JPVS sangat menitikberatkan kursus-kursus yang radikal agar pegawai-pegawai yang baharu atau lama mempelajari sistem baharu untuk memperbaiki atau menambah baik sistem yang sedia ada.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]