Menyokong Strategi Ekonomi Digital Sarawak

0
34

Selaras dengan perkembangan era digital dan Revolusi Industri 4.0, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) giat menjalankan kajian dalam pertanian seperti pembangunan penderia, teknologi pertanian tepat padi, sistem kilang tanaman, pembangunan agrorobotik dan pembangunan sistem data besar.

Kebanyakan teknologi yang dibangunkan menggunakan aplikasi penderia yang digabungkan dengan sistem perolehan data secara ‘real-time’ dan maya serta sistem membuat keputusan yang membolehkan keputusan yang tepat dan cepat bagi aplikasi di ladang.

Sistem yang dibangunkan boleh disokong oleh sistem Internet Kebendaan (IoT) bagi membolehkan pemantauan dan perlaksanaan aktiviti dibuat melalui peranti mudah alih dari lokasi berlainan.

Pengarah MARDI Sarawak, Encik Mohammad Noor Adros Yahya

Manakala, Kecerdasan Buatan (AI) dibangunkan bagi membolehkan sistem automasi digunakan sepenuhnya dan usaha ini sudah tentunya memerlukan kajian lanjutan di samping keperluan teknikal yang spesifik kepada teknologi AI.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah MARDI Sarawak, Encik Mohammad Noor Adros Yahya yang ditemu ramah RAKAN Sarawak secara dalam talian baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, penggunaan teknologi pertanian tepat dapat meningkat dan menggalakkan operasi komersial berskala besar dalam bentuk sistem perladangan berkelompok atau estet.

Tambah beliau, ciri utama dalam teknologi pertanian tepat memerlukan petani dan pengusaha menggunakan input yang optimum, mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berlebihan serta mengurus nutrien di kawasan yang bermasalah dengan baik.

Mekanisasi dan automasi pada pelbagai peringkat teknologi juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh, lebih mesra alam, dengan jangkaan faedah melalui keuntungan yang optimum melalui pengurangan input ladang dan penjimatan kos operasi.

Contoh teknologi yang dimaksudkan oleh beliau ialah, Sistem perataan tanah dan penaburan benih secara kadar boleh ubah; Sistem pembajaan secara kadar boleh ubah; Sistem amaran awal perosak (benah perang); dan Sistem pemantauan hasil.

Selain itu, MARDI juga giat menjalankan kajian dalam sistem kilang tanaman iaitu sistem pengeluaran sayuran dalam bangunan.

Sistem pertanian moden yang dibangunkan boleh disokong oleh sistem Internet Kebendaan (IoT)

Elemen-elemen yang diperlukan dalam sistem kilang tanaman adalah seperti cahaya, suhu, gas rumah hijau iaitu gas karbon dioksida (CO2) dan kelembapan yang dikawal secara tiruan dengan sokongan sistem kawalan pembajaan serta pengairan secara mekanisasi juga automasi.

Menurut beliau, teknologi ini mampu mengurangkan sisa racun kimia, pencemaran air dan tanah, malah sayuran yang di tanam menerusi kaedah ini juga tidak terbantut pembesarannya ekoran perubahan cuaca ataupun penyusutan kawasan pertanian.

MARDI menerapkan penggunaan teknologi pertanian tepat

Selain itu, isu kekurangan tanah pertanian yang sesuai juga telah dapat diatasi selain dapat mengelak daripada berlakunya bencana alam.

Melalui kaedah penanaman kilang tanaman, ia mampu menghasilkan sayuran bernilai tinggi yang segar, bernutrisi dan bebas daripada semburan racun kimia.

Sistem kilang tanaman

Kilang tanaman mampu menghasilkan produktiviti sebanyak empat kali ganda atau lebih berbanding kaedah konvensional kerana konsep baharu tersebut tidak dipengaruhi oleh persekitaran dan perubahan cuaca.

Bukan itu sahaja, kaedah ini juga dapat membantu petani generasi baharu menjana pendapatan lumayan bahkan menerusi teknologi kilang tanaman ini juga, ia dapat memberi keperluan kepada jaminan dan keselamatan makanan.

Dalam hal lain, MARDI juga telah memperkenalkan penggunaan teknologi digital sebagai langkah untuk memodenkan sektor pertanian dengan menggalakkan penggunaan aplikasi mudah alih pada telefon pintar, iPad dan lain-lain.

MARDI telah berjaya menghasilkan 21 aplikasi mudah alih

Pembangunan sistem aplikasi mudah alih di MARDIApps telah bermula sejak tahun 2014 dan sehingga kini MARDI telah berjaya menghasilkan 21 aplikasi mudah alih yang digunakan sebagai panduan dan alat bantuan kepada petani dalam usaha memodenkan pertanian negara dan meningkatkan produktiviti.

Pembangunan sistem aplikasi mudah alih boleh membantu warga tani untuk mendapatkan maklumat ketika melaksanakan proses kerja semasa di lapangan.

Aplikasi mudah alih merupakan salah satu media yang boleh digunakan untuk tujuan perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi.

Antara aplikasi yang telah dibangunkan ialah, MARDI Cendawan Tiram Kelabu; MARDI Direktori Usahawan; MARDI Doktor Cili; MARDI Fertigasi Cili; MARDI Fertigasi Melon; MARDI Fertigasi Tomato; MARDI Green Pharmacy; MARDI Hidroponik Salad; MARDI Lembu Brakmas; MARDI MyJagung;

MARDI MyJagungManager; MARDI MyKompos; MARDI MyOnFarmFruits; MARDI MyPerosakPadi; MARDI OPF; MARDI Padi Aerob; MARDI Penanaman Cendawan Tiram; MARDI Penternakan Ayam Kampong; MARDI Teknologi Kambing Pedaging; MARDI Manual Lebah Kelulut; dan MARDI Teknovasi.

Kesemua aplikasi ini boleh dicapai dengan membuat carian melalui AppsStore (iOS) atau Google Play Store (Android) dan boleh dimuat turun secara percuma. Encik Mohammad Noor Adros Yahya menyifatkan, Pertanian 4.0 akan dapat mentransformasikan pertanian menjadi sebuah sektor yang moden dan kompetitif sehingga memberi pulangan lumayan kepada petani dan pengusaha yang terlibat secara aktif dalam industri pertanian dan agromakanan.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]