Adat Resam dan Pantang Larang Suku Tagal di Sarawak

0
47

Masyarakat Tagal (Tahol) di Sarawak merupakan etnik minoriti dan disebabkan itu, etnik ini kurang dikenali dan tidak menonjol seperti masyarakat Murut Tahol yang terdapat di Sabah.

Selain itu, penempatan masyarakat Tagal yang berada di pedalaman juga menyebabkan suku ini kurang dikenali oleh orang luar bahkan di kalangan masyarakat Sarawak sendiri.

Masyarakat Tagal di Sarawak kebanyakannya tinggal di Zon Utara (Lawas) terutama di kawasan yang berhampiran dengan sempadan Sabah (Merapok dan Sindumin).

Walau bagaimanapun, ada juga kaum Tagal yang tinggal di kawasan batang sungai Trusan, Lawas seperti di Long Tengoa, Long Ibau dan Tang Sango B yang dikenali sebagai Tagal Kolor.

Sebutan dan loghat bahasa suku Tagal Kolor berlainan dengan orang-orang Tagal di Ulu Merapok yang tinggal berdekatan dengan Sindumin, Sipitang tetapi dari aspek budaya dan adat istiadat mereka adalah masih sama.

Masyarakat Tagal menuai padi

Setelah masyarakat Tagal memeluk agama Kristian, tidak banyak lagi pantang larang dari nenek moyang mereka diamalkan.

Namun begitu, masih ada yang mengamalkan pantang larang di dalam kehidupan mereka terutamanya pantang larang berkaitan Kematian, Berkahwin Dengan Sepupu Pertama, Semasa Wanita Mengandung dan Semasa Berladang.

Pantang Larang Apabila Ada Kematian

Apabila ada kematian di dalam kampung, semua penduduk kampung akan bekerjasama membantu keluarga yang ditimpa duka itu dan bantuan yang diberikan bukan saja dari segi tenaga, bahkan dari segi makanan dan kewangan.

Kaum wanita akan datang untuk memasak manakala kaum lelaki pula membantu memasang khemah, mencari kayu api dan ada yang akan membantu menggali lubang kubur untuk si mati.

Apabila berlakunya kematian, penduduk kampung yang keluar berburu di hutan perlu segera pulang ke rumah kerana jika tidak, dia tidak akan mendapat apa-apa hasil buruan.

Selain itu, orang-orang kampung juga tidak dibenarkan untuk mengadakan majlis keramaian di dalam kampung dan sekiranya sudah dirancang, ia perlu ditunda bagi menghormati keluarga yang menghadapi musibah tersebut.

Berkahwin Dengan Sepupu Pertama (Terdekat)

Menurut nenek moyang suku Tagal, seseorang itu adalah tidak dibenarkan berkahwin dengan sepupu pertamanya, adik-beradiknya dan anak saudaranya kerana ia akan mengundang bala di dalam kehidupan kedua-dua belah pihak keluarga.

Sekiranya pantang larang ini dilanggar dan tidak ditaati, salah seorang daripada ahli keluarga yang melanggar pantang larang ini tidak akan panjang umurnya.

Bagi menolak bala tersebut, keluarga pihak lelaki harus menunaikan semua permintaan (berian) dari pihak keluarga perempuan supaya kesusahan tidak menimpa kepada kedua-dua belah pihak keluarga yang telah melanggar pantang larang ini.

Semasa Wanita Mengandung

Orang tua kaum Tagal tidak membenarkan anak atau menantu perempuan mereka yang sarat mengandung memukul paku di dinding ataupun di lantai.

Jika pantang larang ini tidak dipatuhi, maka bayi di dalam kandungannya akan mengalami kesukaran untuk dilahirkan semasa perempuan itu hendak bersalin.

Pantang Larang Berladang

Apabila seseorang sedang dalam perjalanan menuju ke ladang lalu ternampak burung sanchat (sebutan dalam Bahasa Tagal), maka orang itu harus segera pulang ke rumahnya.

Peralatan yang lazim digunakan untuk berladang
Wanita Tagal menyediakan peralatan berladang

Menurut kepercayaan nenek moyang mereka, melihat burung sanchat ini sewaktu dalam perjalanan ke ladang membawa maksud orang itu akan mengalami kecelakaan atau masalah (ada kesusahan terjadi).

Memasak di Dapur

Sewaktu si gadis memasak di dapur, dia tidak digalakkan untuk menyanyi kerana menurut kepercayaan kaum Tagal, anak gadis yang bernyanyi semasa memasak mungkin akan berkahwin dengan orang tua dan ibu bapa mereka tidak mahu perkara ini terjadi kepada anak gadis mereka.

Pelangi di Langit

Ketika ada Pelangi di langit, ibu bapa masyarakat Tagal melarang anak-anak mereka menunjuk Pelangi di langit menggunakan jari telunjuk.

Menurut kepercayaan orang tua, jari telunjuk anak mereka itu akan putus dan sehingga kini, kepercayaan ini masih menguasai akal fikiran anak-anak kaum Tagal.

Terdapat banyak lagi pantang larang yang diamalkan oleh kaum Tagal, khususnya mereka yang masih kuat berpegang kepada adat istiadat dan budaya kehidupan Tagal.

Peralatan yang lazim digunakan untuk berladang
Peralatan yang lazim digunakan untuk berladang
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]