Penubuhan SADA Lonjakkan Sri Aman Ke Satu Aras Lebih Tinggi

0
66

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah merasmikan bangunan Wisma SADA  (Sri Aman Development Agency) pada 21 Oktober 2021.

Menurut YB Dato Sri Hajah Rohani Binti Abdul Karim ketika berucap pada majlis tersebut berkata, penubuhan SADA telah dicadangkan pada 19 Januari 2020 semasa ‘Randau Pemimpin’ bersama Ketua Menteri, Pihak Pengurusan Tertinggi Kerajaan Sarawak dan Wakil Rakyat Tempatan.

Bangunan Wisma SADA yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri pada 21 Oktober 2021

Susulan itu, semasa ‘Majlis Makan Malam Bersama Rakyat’ yang diadakan pada hari dan tarikh yang sama, Ketua Menteri telah mengumumkan penubuhan SADA secara rasmi seterusnya melantik beliau sebagai Pengerusi SADA.

Pada majlis tersebut juga, Ketua Menteri telah meluluskan satu Kajian Pelan Induk (Master Plan Study) yang akan dijadikan sebagai panduan dalam memacu pembangunan di Bahagian Sri Aman selain menjadi satu inisiatif pertama di bawah SADA.

YB Dato Sri Hajah Rohani Binti Abdul Karim mengiringi Ketua Menteri dan dif-dif kehormat melawat ke Mini Pavillion

Dato Sri Hajah Rohani memaklumkan, setakat ini SADA telah mengadakan beberapa siri bengkel bagi merangka pelan pembangunan melalui penglibatan masyarakat tempatan serta pakar-pakar dari pelbagai bidang.

Selain itu, SADA turut merangka acuan pembangunan bagi memastikan hala tuju yang mampan dan holistik di mana kerangka tersebut telah dijadikan sebagai panduan dalam merencanakan pembangunan dengan persekitaran yang mampan serta didorong oleh kemakmuran ekonomi.

YB Dato Sri Hajah Rohani Binti Abdul Karim mengiringi Ketua Menteri dan dif-dif kehormat melawat ke Mini Pavillion

Pelan pembangunan yang berteraskan kesejahteraan rakyat dan kelestarian ekonomi itu akan memberi penekanan kepada enam (6) fokus strategik dengan matlamat, Sri Aman akan terus menikmati arus dan agenda pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak.

Menurut beliau, Ketua Menteri menghendaki SADA mengoptimumkan industri pertanian dan pelancongan sebagai nadi pembangunan di Bahagian Sri Aman.

Justeru, SADA melalui kaedah model koordinasinya telah mengadakan pelbagai siri perbincangan bagi memperhalusi senarai cadangan projek yang telah dikemukakan untuk memastikan setiap perancangan memberi impak yang tinggi dan mampu membawa Sri Aman ke aras yang lebih kukuh.

Ke arah usaha tersebut, keutamaan akan diberikan kepada pembangunan infrastruktur dalam menghubungkan kawasan-kawasan yang sukar diakses bagi mencipta banyak potensi baru di Bahagian Sri Aman.

Oleh itu, SADA akan terus komited dalam memastikan setiap pelosok di Bahagian Sri Aman tetap menikmati arus pembangunan yang seimbang.

Sidang Media bersama Ketua Menteri selepas sesi lawatan ke Mini Pavillion

Kawasan-kawasan seperti Gunung Lesong, Banting, Seduku dan Batang Ai akan dibangunkan untuk menjadi satu hub eko-pelancongan yang berteraskan komuniti (Community-based Ecotourism) selari dengan agenda global Matlamat Pembangunan Lestari yang beliau perjuangkan.

Pembangunan yang dilaksanakan adalah menitikberatkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta sosioekonomi setempat yang mampan.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa Lubok Antu juga berpotensi besar menjadi salah satu pintu utama ke negara jiran.

Dengan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Tengah, ia akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan ekonomi bukan saja untuk Sri Aman, tetapi Sarawak secara menyeluruh.

Oleh itu, SADA beriltizam untuk menjadikan Daerah Lubok Antu sebagai satu daerah yang berketerampilan dalam sektor pelancongan sempadan.

Kawasan-kawasan seperti Lingga, Pantu, Lachau dan Simanggang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hub pengeluar makanan.

Oleh itu SADA melalui pelan pembangunan pertanian, telah merancang pelbagai projek pertanian komersial yang berimpak tinggi di kawasan ini.

Sehubungan itu, pihak SADA telah meluluskan 48 cadangan projek pembangunan di bawah peruntukan pembiayaan alternatif dengan kos bernilai RM1.18 bilion di mana projek-projek ini dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun 2022. Beliau yakin, dengan penubuhan SADA, ia akan dapat melonjakkan Bahagian Sri Aman ke satu aras yang lebih tinggi seiring dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]