CENTEXS Commercial Media Dilancarkan

0
165

Usahawan tempatan kini boleh memasarkan dan mempromosi produk mereka melalui CENTEXS Commercial Media atau ringkasannya CCM.

CCM merupakan platform pemasaran digital atau dalam talian yang dikelolakan oleh CENTEXS Commercial dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED).

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) YBhg Datu Dr. Sabariah Putit, CCM akan mewujudkan ekosistem untuk memastikan pasaran produk-produk komuniti diperluaskan di samping mengetengahkan usahawan tempatan.

Selain itu, CCM yang lebih bersifat dinamik dan berpusat juga memainkan peranan dalam mempromosi produk-produk tempatan melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube.

Mengulas lanjut, idea penubuhan CCM menurut YBhg Datu Dr. Sabariah bermula pada Mei 2021 setelah melihat kejayaan CENTEXS Commercial dalam mempromosi produk keluaran komuniti tempatan sejak ditubuhkan pada 2019.

YBhg Datu Dr. Sabariah menyampaikan ucapan

Dalam tempoh dua (2) tahun penubuhannya, peranan CENTEXS Commercial menjadi semakin luas apabila turut membantu komuniti Sarawak, terutamanya para usahawan tempatan memasarkan produk keluaran mereka sama ada dalam bentuk produk warisan mahupun produk berbentuk digital ke seluruh Sarawak dan Malaysia.

Lebih daripada itu, CENTEXS Commercial juga berperanan membangunkan ekosistem pemasaran yang lebih dinamik serta pada masa yang sama mengekalkan warisan yang bernilai menggunakan kelebihan kemajuan teknologi yang sedang membangun pada masa kini.

CENTEXS Commercial telah memasarkan produk-produk warisan Sarawak di banyak lokasi terpilih di seluruh negeri termasuk di kedai-kedai serbaneka termasuk platform pasaran dalam talian seperti Shopee, GrabMart dan PandaMart sebagai usaha memperluaskan pasaran digital.

YBhg Datu Dr. Sabariah serta tetamu kehormat yang lain mengiringi YB Datuk Amar Haji Awang Tengah melawat gerai pameran produk warisan Sarawak selesai majlis pelancaran CENTEXS Commercial Media

Beliau yang merangkap Ahli Lembaga Pengarah CENTEXS memaklumkan perkara tersebut pada Majlis Pelancaran CENTEXS Commercial Media yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan di Kampus CENTEXS Kuching pada 11 November 2021.

CCM menurut beliau lagi telah menjalinkan kerjasama dengan lapan orang ‘influencer’ media sosial dari Sarawak yang popular bagi membantu mempromosi produk usahawan tempatan melalui video promosi di akaun media sosial mereka.

Sesi bergambar para tetamu kehormat bersama beberapa orang influencer tempatan yang akan mempromosi produk usahawan tempatan melalui CENTEXS Commercial Media di platform media sosial mereka

Beliau percaya bahawa kolaborasi berkenaan akan memberi keyakinan kepada komuniti dan usahawan tempatan, seterusnya membantu mereka menjana pendapatan dan menjadikan produk mereka lebih dikenali oleh orang ramai.

Majlis pelancaran CCM turut dihadiri oleh Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, YB Datuk Haji Mohd Naroden bin Haji Majais, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Tuan Haji Syeed Mohd Hussien bin Wan Abd Rahman dan Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Mohamad Shahren bin Yusri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]