Arkib Pustaka Negeri Sarawak Signifikan Kepada Pemeliharaan Maklumat

0
36

Projek pembinaan Bangunan Arkib Pustaka Negeri Sarawak (PNS) yang diluluskan dua tahun lalu telah pun bermula dan dijadualkan siap menjelang 2024.

Bangunan arkib yang berkeluasan 26,805 meter persegi dengan ketinggian dua tingkat setengah dibina di tapak seluas 17.6 ekar bersebelahan dengan bangunan PNS sedia ada.

Sebahagian besar ruang bangunan tersebut akan dikhaskan untuk menyimpan rekod dan bahan arkib Kerajaan Negeri.

Manakala kawasan penyimpanan yang berukuran 10,000 meter persegi pula akan dilengkapi dengan kemudahan Automated Storage and Retrieval System (ASRS) bagi tujuan penyimpanan, pengesanan dan pengambilan rekod arkib dan dokumen-dokumen lain.

Sistem berkenaan akan memudahkan pengumpulan koleksi dengan kaedah yang selamat, pengendalian yang teratur, penyimpanan dan penyusunan yang sistematik bagi mengelakkan kehilangan dan kerosakan.

Kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di bangunan tersebut termasuk sebuah bilik khas untuk menyimpan bahan-bahan yang memerlukan persekitaran terkawal selain ruang pameran, pusat latihan dan pendidikan, ruang kuliah, makmal eksperimen, auditorium, ruang penyelidikan serta kemudahan teknologi maklumat dan digital.

Pada 7 Disember lepas, Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah melawat ke tapak projek berkenaan.

Projek pembinaan Bangunan Arkib Pustaka Negeri Sarawak dibina di tapak seluas 17.6 ekar dan dijangka siap pada 2024
Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari diberi penerangan oleh pihak kontraktor ketika melawat tapak projek Bangunan Arkib Pustaka Negeri Sarawak

Menurut beliau, sudah tiba masanya Sarawak memiliki arkib sedemikian yang begitu penting kerana negeri ini mempunyai sejarah yang begitu lama.

Bahan maklumat arkeologi Niah dan artifak misalnya jelas Ketua Menteri boleh disimpan di Bangunan Arkib PNS.

Pada pandangan beliau, pihak arkib PNS juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Muzium Sarawak untuk menyimpan sebahagian daripada maklumat pameran di muzium disimpan dan dipelihara di arkib berkenaan.

Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari diiringi Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak YBhg Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Hamid bin Bugo meneliti model pelan Bangunan Arkib Pustaka Negeri Sarawak

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh PNS sempena lawatan Ketua Menteri ke tapak projek tersebut, Bangunan Arkib PNS dibina bertujuan untuk memelihara dokumen warisan dan sejarah penting Sarawak daripada terus hilang serta membolehkan kajian yang lebih intensif dijalankan.

Selain itu, kemudahan arkib tersebut juga penting untuk memastikan pelbagai rekod kekal mudah untuk didapati pada masa hadapan, disimpan untuk memastikan kegunaan, keaslian dan pemeliharaannya selama mana diperlukan.

Kemudahan arkib tersebut juga penting untuk membantu dalam pelaksanaan amalan pengurusan rekod berkualiti agensi perkhidmatan awam negeri dengan menyediakan garis panduan, manual dan latihan.

Model replika Bangunan Arkib Pustaka Negeri Sarawak

Dari segi rekaan seni bina, bangunan tersebut mempunyai ciri-ciri hijau dan mesra alam dengan dikelilingi tanaman dan tumbuhan semula jadi yang cantik. Pembinaan Bangunan Arkib PNS yang berfungsi utama sebagai pusat penyimpanan maklumat penting yang signifikan kepada Sarawak turut mencerminkan keutamaan kepada pemeliharaan sejarah, pentadbiran dan maklumat sosial di negeri ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]