CENTEXS Anjur Simposium Antarabangsa Transformasi Digital Pertama  

0
28

Buat pertama kalinya, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) menganjurkan International Symposium on Digital Transformation 2022 yang telah dilancarkan pada 7 Jun bertempat di Kampus CENTEXS Kuching.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Menurut Pengerusi CENTEXS, YBhg Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani, simposium berkenaan diadakan bertujuan menyediakan platform bagi membangunkan sains dan teknologi ke arah transformasi industri digital.

Majlis pelancaran Karnival Digital CENTEXS dan Simposium Antarabangsa Transformasi Digital 2022 yang dirasmikan oleh Premier Sarawak

Penganjurannya juga bermatlamat untuk merangsang rangkaian dan perbincangan di antara pemain industri yang berkaitan, pihak kerajaan, penyelidik, graduan, pembangun teknologi dan sebagainya.

Dalam ucapan aluan sempena majlis pelancaran simposium antarabangsa tersebut, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi memaklumkan, gabungan industri, manusia dan teknologi digital amat penting ke arah transformasi industri.

Premier Sarawak diiringi Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS melawat makmal 5G CENTEXS

Selain mengubah kehidupan manusia, inovasi teknologi juga membantu organisasi mengakses kelebihan operasi dan produktiviti dalam memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dan bersaing dengan lebih baik dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah sebagai tindak balas terhadap evolusi teknologi.

Beliau menambah, penyelesaian melalui inovasi dan peralihan ke arah model perniagaan baharu bukan sahaja akan memberi rangsangan segera yang membolehkan sesuatu projek bergerak dengan lebih pantas, lebih berkesan dan lebih cekap, malah juga, bakat dan keupayaan digital adalah kunci kepada transformasi digital.

Karnival Digital CENTEXS turut mempamerkan teknologi yang terdapat di Kampus CENTEXS Kuching

Simposium tersebut yang diadakan selama dua (2) hari merupakan sebahagian daripada acara utama Karnival Digital CENTEXS 2022 yang telah bermula dari 27 Mei hingga 20 Jun sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa (IDECS) Ke-5 yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Jun depan.

Beberapa orang penceramah daripada rakan industri global terkemuka dan tempatan CENTEXS dijemput menjayakan simposium berkenaan yang terdiri daripada Huawei, EON Reality Inc., Keysight Technologies, Bosch Rexroth, Next Schlumberger, IBM, Sarawak Energy Berhad (SEB), Sarawak PETCHEM dan Sarawak Metro.

Simposium Antarabangsa Transformasi Digital 2022 menampilkan beberapa penceramah daripada rakan kongsi industri global dan tempatan CENTEXS

Selain simposium, karnival turut diisi dengan program-program lain merangkumi CENTEXS National Digital Industry Transformation Hackathons, Bringing Immersive Technologies to Foster STEM Take-up, CENTEXS Digital Academy with Industries dan CENTEXS Digital Academy with Communities.

Premier Sarawak mencuba sendiri permainan video di makmal E-Sport CENTEXS

Majlis pelancaran karnival dan simposium tersebut juga menyaksikan Premier Sarawak melancarkan Makmal 5G, Makmal Teknologi Universal, Makmal E-Sport, Makmal Internet Kebendaan (IoT), Makmal Revolusi Perindustrian 4.0 (41R), Bangunan Pintar dan Makmal Elektrikal.

Beliau kemudiannya dibawa melawat pameran teknologi dan paparan projek yang terdapat di Kampus CENTEXS Kuching.

Beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU) turut diadakan di antara CENTEXS dengan Universiti Sains Komputer dan Kejuruteraan Malaysia (UNIMY), Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Pustaka negeri Sarawak dan Sarawak Housing and Real Estate Developers Association (SHEDA).

Majlis pertukaran MoU di antara CENTEXS dengan rakan kongsi industri

MoU dimeterai sebagai usaha jalinan kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi melalui latihan, perkongsian kemudahan, penyelidikan, inovasi dan lain-lain kerjasama berkaitan yang boleh menarik minat kedua belah pihak.

Majlis pelancaran turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, YB Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, YB Datuk Roland Sagah Wee dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Tuan Haji Syeed Mohd Hussein bin Wan Abdul Rahman.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]