Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara RMLT di Sarawak

0
30

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) melalui mesyuarat bertarikh 25 Mac 2021 telah meluluskan pelaksanaan Arahan No. 1 iaitu Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara di Negeri Sarawak.

Arahan No. 1 yang telah ditandatangani oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob itu berkaitan mekanisme penyelarasan perancangan, pelaksanaan dan penilaian program atau projek di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) serta inisiatif-inisiatif semasa Kerajaan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah.

Selain itu, ia juga bermatlamat untuk menyokong dan merealisasikan dasar bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama, memberikan nilai yang lebih tinggi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti dan bermaruah.

Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Premier, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2022 (MTPNg) yang telah diadakan pada 10 Jun 2022.

Timbalan Premier, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2022 (MTPNg) pada 10 Jun 2022

Beliau yang juga Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu Dan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut menjelaskan bahawa mekanisme penyelarasan di peringkat Negeri terbahagi kepada tiga (3) forum utama iaitu MTPNg yang dipengerusikan oleh beliau sendiri;

Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) dipengerusikan oleh Setiausaha Persekutuan Sarawak manakala Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Negeri (FGN) dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Di peringkat Bahagian, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Bahagian (JTPB) yang diintegrasikan dengan Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) dipengerusikan oleh Residen bagi Bahagian masing-masing.

Manakala, kumpulan tumpuan (Focus Group) yang diselaraskan di peringkat Daerah dipengerusikan oleh Pegawai-Pegawai Daerah.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa arahan No. 1 telah menetapkan bahawa fungsi MTPNg adalah seperti berikut: –

  1. Memastikan keputusan Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negara (JTPN) dilaksanakan;
  2. Menetapkan strategi dan memantau pelaksanaan pembangunan negeri sejajar dengan dasar-dasar yang berkuat kuasa;
  3. Memantau pelaksanaan program/projek di bawah Badan-Badan Berkanun Negeri selaras dengan objektif penubuhannya; dan
  4. Menentukan dan memperakukan senarai cadangan program/projek RMLT negeri untuk pertimbangan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2022 (MTPNg)

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa salah satu elemen yang sangat ditekankan di dalam pembangunan Negeri Sarawak adalah jaringan jalan raya.

Jaringan jalan raya yang menyeluruh dan berkesan adalah amat penting bagi memastikan pembangunan fizikal, limpahan ekonomi dan perkhidmatan Kerajaan yang lain boleh sampai kepada rakyat.

Menurut beliau, Kerajaan perlu membina 6,000km jalan raya dan menaiktaraf 4,200km jalan raya bagi memastikan jaringan perhubungan ini mencapai 100% di Negeri Sarawak.

Selain daripada jalan-jalan persendirian seperti jalan ladang dan pembalakan, sepanjang 30,650km jalan negeri dan 1,591km jalan persekutuan telah didaftarkan di Negeri Sarawak.

Sehubungan itu, beliau mengambil tahu, semua agensi pemilik dan agensi pelaksana telah sedia maklum bahawa pandemik COVID-19 telah menyebabkan kesukaran dan kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan dan program-program di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Walau bagaimanapun, agensi-agensi pemilik dan pelaksana perlu melipatgandakan usaha dan bekerjasama dengan lebih erat dalam memastikan pelaksanaan projek dan program dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat.

Pada mesyuarat tersebut, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak telah membentangkan status pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan di Negeri Sarawak di bawah RMK-12.

Berkenaan perkara tersebut, beliau memberitahu, bagi Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan Ke-2 sebanyak 938 projek dengan peruntukan tahun 2022 sebanyak RM4.2 bilion telah diluluskan bagi Negeri Sarawak.

Daripada jumlah tersebut, 414 merupakan projek baharu, manakala 524 adalah projek sambungan.

Selain daripada pembentangan oleh PPN Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga turut membentangkan laporan berkenaan status pelaksanaan projek Kementerian masing-masing di Negeri Sarawak. Manakala, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) turut membentangkan kertas kerja bertajuk Perluasan Agenda Perlindungan Sosial Peringkat Negeri.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]