Koperasi Berkembang Dengan Pelbagai Aktiviti Sosioekonomi dan Perniagaan

0
31

Sejarah awal penubuhan koperasi di Malaysia lebih menjurus kepada aktiviti pinjam meminjam, berbeza dengan aktiviti koperasi pada hari ini yang telah berkembang maju dengan kepelbagaian aktiviti sosioekonomi dan perniagaan.

Koperasi kini lebih berani dan agresif dalam menceburi sektor perladangan, pertanian, pemborongan peruncitan dan pelaburan hartanah.

Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Sarawak telah diadakan di Dewan Masyarakat Serian pada 19 hingga 21 Jun 2022
Pelbagai produk dijual sempena sambutan Hari Koperasi yang diadakan di Dewan Masyarakat Serian

Sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Serian pada 19 hingga 21 Jun, RAKAN Sarawak berkesempatan menemu bual tiga pengurus koperasi untuk mendapatkan pandangan mereka tentang matlamat dan masa depan koperasi masing-masing.

Pengurus Koperasi Bangun Boyan Berhad (KOBBB), En Muhammad bin Sabli dari Kampung Boyan memberitahu RAKAN Sarawak bahawa KOBBB telah ditubuhkan hasil perjumpaan (reunion) dengan beberapa orang penduduk kampung Boyan.

Pengurus Koperasi Bangun Boyan Berhad (KOBBB), Encik Muhammad bin Sabli

Semasa perjumpaan tersebut, mereka telah berbincang untuk menubuhkan satu badan atau persatuan yang dapat membantu penduduk-penduduk kampung Boyan menjana pendapatan mereka,

Hasrat mereka itu akhirnya direalisasikan apabila tertubuhnya KOBBB pada 2019 dan kini telah mempunyai ahli dalam lingkungan 180 orang.

Menurut beliau, KOBBB memberi fokus kepada empat bidang utama iaitu Pemborong dan Peruncitan; Pelancongan; Kelestarian Kampung; dan Pertanian Bandar.

Setakat ini, bidang yang paling berpotensi menjana pendapatan yang tinggi untuk ahli-ahli KOBBB ialah bidang pemborongan dan peruncitan, justeru beliau dan ahli-ahli yang lain komited untuk terus mencari strategi bagi memperkasakan bidang pemborongan dan peruncitan ini.

Buat masa ini, kebanyakan ahli-ahli KOBBB memproses produk-produk mereka seperti kerepek, biskut, tart, sos dan sebagainya di rumah masing-masing, kemudian dibawa ke koperasi untuk dijual kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa KOBBB akan membuka cawangan baharu di Jalan Haji Taha, dengan memperkenalkan konsep pasar segar (fresh mart).

Selama negara kita berdepan dengan pandemik Covid-19, pendapatan KOBBB agak menurun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun demikian, KOBBB masih mampu menjana pendapatan kerana adanya kerja keras di kalangan ahli-ahli.

Harapan beliau adalah untuk melihat KOBBB terus berkembang maju serta menguntungkan ahli-ahli, sekali gus akan meningkatkan taraf hidup masyarakat di kampung Boyan.

Sementara itu, Pengurus Koperasi Tahang Darud Silabur Serian Berhad, Encik Benedik Yos memberitahu, koperasi mereka telah ditubuhkanpada 2015 yang bermatlamat untuk meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk kampung Lobang Batu.

Pengurus Koperasi Tahang Darud Silabur Serian Berhad, Encik Benedik Yos

Menurut beliau, koperasi mereka yang berkonsepkan ekopelancongan kini mempunyai lebih kurang 400 orang ahli.

Kampung Lobang Batu sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan kerana terdapat sebuah gua yang sangat terkenal di Bahagian Serian iaitu Gua Silabur.

Bagi menjana pendapatan ahli-ahli yang terdiri daripada penduduk kampung, koperasi mereka menawarkan aktiviti mendaki ke Gua Silabur dan meredah hutan (jungle trekking) dengan mengenakan yuran masuk sebanyak RM20 untuk warga tempatan dan RM30 untuk pelawat dari luar negara.

Pelancong juga perlu membayar upah kepada pemandu pelancong sebanyak RM80 untuk satu kumpulan yang terdiri daripada lima (5) orang pelawat.

Kebanyakan pelancong dari luar negara yang datang ke kampung mereka untuk pergi ke gua Silabur berasal dari Sweden, Finland, Korea, Singapore dan sebagainya.

Koperasi mereka turut menyediakan kemudahan inap desa (homestay) dengan mengenakan caj;

  • RM150 seorang termasuk makanan dan minuman
  • RM80 seorang tidak termasuk makanan dan minuman
  • RM30 bagi tempahan makanan di inap desa

Menurut beliau, sejak negara beralih ke fasa endemik, koperasi mereka mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelancong tempatan, Semenanjung Malaysia dan dari luar negara bahkan mereka mampu menjana pendapatan mencecah sehingga RM50 ribu sebulan.

Pendapatan mereka ini bukan saja daripada aktiviti mendaki dan inap desa, tetapi juga hasil daripada jualan produk-produk kraf tangan yang diperbuat daripada rotan, hasil-hasil tani dan sebagainya.

Tambah beliau, menjelang sambutan Hari Gawai dan Hari Krismas, koperasi mereka akan mengadakan pelbagai aktiviti kebudayaan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke kampung mereka, secara tidak langsung mereka akan membeli pelbagai produk yang dijual oleh orang kampung.

Harapan beliau adalah untuk melihat koperasi mereka berkembang maju lagi dan untuk rancangan akan datang, pelbagai produk akan ditambah bagi meningkatkan ekonomi orang kampung.

Mereka juga akan terus memberi dorongan kepada golongan-golongan muda di kampung Lobang Batu untuk menceburi bidang ekopelancongan kerana ia mampu menjana pendapatan lumayan buat mereka sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Bagi Pengurus Koperasi Keluarga Dayang Aminah dan Mohd Zain Berhad (Koop DAMOZ), Puan Dayang Rubiani Ada Uyah binti Abang Mouhammad Hashim, Koop DAMOZ mula didaftar pada 13 September 2018 dengan jumlah keahlian seramai 20 orang di kalangan ahli keluarga.

Pengurus Koop DAMOZ, Puan Dayang Rubiani Ada Uyah binti Abang Mouhammad Hashim (kanan)

Terdapat tiga objektif penubuhan Koop DAMOZ iaitu yang pertama adalah untuk menjana dana simpanan ahli-ahli; kedua ialah untuk menyedia peluang pekerjaan kepada ahli; dan ketiga ialah  untuk menggalakkan ahli-ahli terlibat dalam bidang keusahawanan.

Menurut beliau, konsep perniagaan Koop DAMOZ adalah bertunjangkan kepada kepuasan pelanggan demi untuk meningkatkan taraf hidup ahli-ahli.

Slogan #DAMOZnangbest dicanang sebagai semboyan semangat ke arah kecemerlangan Koop DAMOZ manakala perkataan “nang” sengaja dipetik dari suku kata Bahasa Melayu Sarawak yang sinonim dengan perkataan “memang” di dalam Bahasa Kebangsaan.

Beliau yakin, Koop DAMOZ akan melangkah lebih jauh lagi apabila mereka menggariskan Strategi lima (5) tahun Koop DAMOZ (2013-2023) untuk mencapai modal perniagaan sehingga RM500 ribu.

Sehubungan itu, Koop DAMOZ telah membangunkan lima (5) teras utama penjana pendapatan iaitu;

  1. Perniagaan produk berasaskan teknologi nano
  2. Pembukaan ladang pertanian dan penternakan
  3. Perkhidmatan teknikal dan kejuruteraan
  4. Penyediaan aplikasi dalam talian dan peranti
  5. Penyuburan pelaburan dan jaringan kolaborasi

Koop DAMOZ kini mempunyai produk baharu penjagaan kulit dan kesihatan (skin care dan wellness) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Produk-produk yang terdapat di Koop DAMOZ terdiri daripada produk nano OEM seperti krim zadam, facial spray, sanitasi, baja tinja kambing dan sebagainya.

Antara produk-produk yang dijual di Koop DAMOZ

Mereka bersyukur dengan pendapatan Koop DAMOZ setakat ini dan sepanjang tempoh pandemik Covid-19, Koop DAMOZ telah mengeluarkan produk sanitasi dan berjaya mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila mampu menjana pendapatan lebih RM10 ribu sebulan.

Kesimpulannya, bidang koperasi ini dilihat mampu memacu perkembangan ekonomi negara khususnya negeri Sarawak ke tahap yang lebih mantap.

Oleh itu, koperasi-koperasi di negeri ini wajar untuk terus memperkasakan diri dan meningkatkan daya saing agar dapat terus maju merebut peluang-peluang ekonomi yang tersedia, bersatu padu, saling bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi negeri Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]