Strategi Penerapan dan Pemantapan Nilai Murni di JIM Sarawak

0
80

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam usaha menerapkan dan meningkatkan nilai-nilai murni serta integriti di dalam Jabatan tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Imigresen Sarawak, Datu Ken Anak Leben ketika ditemu ramah oleh RAKAN Sarawak.

Antara usaha yang telah dilakukan ialah pelaksanaan Pelan Operasi Latihan (POL) Tahunan berbentuk kursus pemantapan integriti yang diadakan mengikut zon iaitu Zon Selatan, Zon Timur, Zon Tengah dan Zon Utara.

JIM Sarawak komited dalam usaha menerap dan meningkatkan nilai-nilai murni serta integriti di dalam Jabatan

Semasa kursus tersebut, pihak JIM akan menjemput pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menerangkan tentang konsep-konsep integriti kepada pegawai-pegawai di JIM Sarawak.

Selain itu, JIM juga telah mengadakan program “Sempadanku, Maruahku” bersama SPRM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu pada 15 Oktober 2020 bertujuan untuk mengelakkan pembolosan masuk yang tidak teratur di pintu-pintu masuk yang telah diwartakan.

Program “Sempadanku, Maruahku” bersama SPRM di ICQS Tebedu pada 15 Oktober 2020

Risalah-risalah berkaitan integriti diedarkan kepada semua pegawai JIM sewaktu program diadakan agar mereka mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan semasa melaksanakan tugas.

Komuniti-komuniti setempat turut dijemput untuk menyertai program tersebut kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam usaha membendung gejala rasuah kerana rasuah yang berlaku biasanya melibatkan dua pihak iaitu pemberi dan penerima rasuah.

Seterusnya, JIM Sarawak telah menubuhkan mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) yang diadakan tiga kali setahun, Mesyuarat Pengurusan dan Perhimpunan Bulanan di mana isu integriti telah ditetapkan sebagai agenda tetap.

Kemudian, JIM Sarawak turut diberi pendedahan awal tentang Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001:2016 yang telah dilancar dan dilaksanakan di Putrajaya dan menurut Datu Ken, sistem tersebut akan diperluaskan pelaksanaannya di seluruh negeri Sarawak.

Datu Ken anak Laben menunjukkan buku Polisi Anti Rasuah yang menerangkan larangan terhadap sebarang perlakuan berbentuk rasuah

ABMS bertujuan untuk menangani masalah rasuah di kalangan pegawai dan kakitangan JIM dan ia dibangunkan sebagai langkah untuk membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan selaras dengan objektif keimigresenan serta kepentingan negara.

Selain itu, ABMS juga bermatlamat untuk membudayakan sikap benci rasuah di kalangan warga JIM dan seterusnya untuk mengambil tindakan pencegahan awal secara holistik.

JIM turut menekankan tiga polisi iaitu;

  1. Garis Panduan Pemberi Maklumat Di Bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat
Datu Ken Anak Leben buku Garis Panduan Pemberi Maklumat Di Bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

Pemberi maklumat yang mendedahkan kelakuan tidak wajar adalah dilindungi dari segi:

  1. Perlindungan identiti
  2. Kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah
  3. Tindakan yang memudaratkan seperti:

•      Tindakan yang menyebabkan kecederaan, kehilangan atau kerosakan

•      Ugutan atau gangguan

•      Gangguan terhadap pekerjaan sah atau mata pencarian

•      Suatu ancaman yang mengambil mana-mana tindakan yang disebut dalam perenggan

Pemberi Maklumat boleh membuat pelaporan di bawah Akta 711 dengan cara;

•      Hadir sendiri

•      Memberikan Identiti yang lengkap

•      Membuat temu janji di tempat selesa yang dipersetujui

  • Polisi Tolak Hadiah

JIM melarang pegawai dan kakitangan terlibat dalam penerimaan sebarang bentuk hadiah (hamper, diskaun baucar, komisen dan lain-lain) daripada orang persendirian atau pihak pembekal, kontraktor, vendor dan lain-lain yang mempunyai hubungan kerja, urusan rasmi atau kepentingan dengan Jabatan.

Walaupun pada amnya JIM mengamalkan Polisi Tolak Hadiah, terdapat beberapa pengecualian terhadap peraturan am tersebut di mana penerimaan adalah dibenarkan sebagaimana situasi-situasi berikut:

  • Pertukaran hadiah adalah antara JIM dan jabatan lain (hadiah yang ditukar di antara Jabatan sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi atau kunjungan hormat yang mana hadiah itu kemudiannya dikategorikan sebagai harta Jabatan);
  • Hadiah daripada JIM kepada institusi luar atau individu-individu berkaitan fungsi rasmi Jabatan, majlis-majlis dan keraian (cenderahati,cenderamata yang diberikan kepada semua tetamu yang menghadiri majlis tersebut);
  • Hadiah daripada JIM kepada warga dan pengarah atau ahli keluarga mereka berkaitan dengan fungsi JIM yang telah dikenali samada dalaman atau luaran, majlis atau keraian (sebagai pengiktirafan terhadap khidmat warga-warga atau pengarah-pengarah);
  • Hadiah token yang bernilai nominal biasanya mempunyai logo JIM seperti kemeja-T, pen, diari, kalendar, pemacu USB dan lain-lain barangan promosi) yang diberikan secara saksama kepada orang awam, delegasi, pelanggan, rakan niaga dan pemegang taruh utama yang menghadiri majlis-majlis seperti persidangan, pameran, latihan dan lain-lain;
  • dan hadiah kepada pihak luaran yang tidak mempunyai transaksi urusniaga dengan JIM (hadiah kewangan atau hadiah seumpamanya kepada badan amal).
  • Polisi Anti Rasuah

Polisi Anti Rasuah menerangkan dasar JIM mengenai larangan terhadap sebarang perlakuan berbentuk rasuah bagi memastikan ianya selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan lain-lain peruntukan perundangan.

Polisi ini selaras dengan Manual ABMS JIM dan ianya merupakan salah satu alat untuk mencapai objektifnya.

Polisi ini bersesuaian dengan hala tuju JIM yang komited untuk tidak akan bertoleransi terhadap amalan keimigresenan yang tidak mematuhi polisi ini.

JIM Sarawak turut menyediakan saluran aduan berkaitan hal ehwal integriti yang dikenali sebagai SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam) Jabatan Imigresen Malaysia.

SISPAA adalah saluran dalam talian untuk menguruskan maklum balas seperti aduan, penghargaan, pertanyaan serta cadangan daripada orang awam berkenaan perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tempoh siasatan:

a)    Mudah – 5 hari bekerja

b)    Sederhana – 15 hari bekerja

c)    Kompleks – 365 hari bekerja

JIM juga telah menubuhkan Unit Integriti diketuai pegawai dari SPRM yang bertanggungjawab untuk mengurus hal-hal integriti Jabatan dan dia tidak ada pengaruh daripada Pengarah JIM dan sebagainya.

Beliau akan dilibatkan dalam semua jawatankuasa utama jabatan seperti Jawatankuasa Pusingan Kerja, Jawatankuasa Perpindahan Pegawai dan sebagainya.

Bacaan ikrar bersama pegawai-pegawai imigresen di Pejabat Imigresen Perkapalan Tanjung Manis
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]