- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Amalan Kerja Berpasukan ‘Wajib’ Dalam Perkhidmatan Awam

Must read

Penjawat awam diingatkan supaya bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira kedudukan dan sebagainya.

Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, tiada sesiapa pun di dalam mana-mana organisasi boleh mencapai kejayaan hasil daripada usaha yang dijalankan secara bersendirian.

YB Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar menyampaikan amanat

Oleh sebab itulah beliau mengingatkan supaya seluruh anggota perkhidmatan awam memainkan peranan masing-masing sebagai satu pasukan.

Sebagai anggota perkhidmatan awam, sikap seperti merasakan diri sendiri lebih baik daripada orang lain, sikap tinggi diri dengan merasakan dirinya mempunyai kuasa oleh kerana berkhidmat dalam jabatan yang lebih berkuasa atau memperkecil dan memandang rendah jabatan-jabatan lain tidak seharusnya wujud dalam perkhidmatan awam.

Beliau menegaskan, semangat kerja berpasukan ‘wajib’ dijadikan amalan, nilai dan budaya kerja dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

Tanpa amalan sedemikian, rencana perkhidmatan awam dalam meneruskan agenda pembangunan Sarawak akan longgar.

Bagi meneruskan agenda pembangunan negeri ini yang berteraskan data dan ekonomi digital, beliau menekankan betapa perlunya modul yang betul dan berkesan dalam pentadbiran dan pengurusan sektor awam.

Bukan itu sahaja, bahkan juga, kompetensi pegawai dalam perkhidmatan awam perlu sentiasa dipertingkatkan kerana elemen tersebut sangat membantu dalam menjayakan agenda perkhidmatan awam negeri selepas ini yang selari dengan agenda pembangunan di bawah kepimpinan negeri.

Menurut Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar, pegawai kerajaan yang kompeten akan dapat menganalisis isu dan masalah pelanggan dan rakyat secara holistik, seterusnya berupaya mencadangkan intervensi yang lebih berkesan, praktikal serta dekat di hati rakyat.

Apabila diberi tanggungjawab dan menyelesaikan masalah, seseorang pegawai perlu mengambil tindakan segera seperti turun padang tanpa terlalu berharap dengan pegawai di peringkat bahagian atau daerah.

Dalam hal ini, rakyat sangat mengharapkan perkhidmatan daripada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab, tegas beliau.

Perkara tersebut merupakan antara intipati penting yang beliau tekankan ketika berucap pada majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak Bersama Pegawai Pengurusan dan Profesional Sektor Perkhidmatan Awam Sarawak dan Badan Berkanun Negeri Bahagian Bintulu dan Miri di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) pada 11 Ogos 2022.

Ketibaan Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki disambut oleh pegawai dan kakitangan awam di perkarangan Wisma Bintulu pada majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Sarawak Bersama Pegawai Pengurusan dan Profesional Sektor Perkhidmatan Awam Sarawak dan Badan Berkanun Negeri Bahagian Bintulu dan Miri di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) pada 11 Ogos 2022

Majlis diadakan sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Bahagian Bintulu selepas beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak, menggantikan Datuk Amar Jaul Samion yang bersara wajib pada Jun lepas.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Residen Bahagian Bintulu, YBhg Datu Jack Aman Luat, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli (MUDeNR), YBhg Datu Sr. Zaidi bin Haji Mahdi, Pengurus Besar BDA, YBhg Datu Haji Muhamad Yakup bin Kari dan Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak (UPSM), YBhg Datu Haji Ismail bin Haji Mohamad Hanis.

Dato Sri Haji Mohamad Abu Bakar (duduk, tengah) bergambar bersama penjawat-penjawat awam yang hadir. Turut kelihatan YBhg Datu Haji Ismail (duduk, kiri), YBhg Datu Jack Aman (duduk, dua kiri), YBhg Datu Haji Muhamad Yakup (duduk, dua kanan) dan YBhg Datu Sr. Zaidi (duduk, kanan)
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article