Penerokaan Ekonomi Hijau Sarawak  

0
60

Basikal Buluh Sarawak

Bila disebut basikal buluh, mungkin kebanyakan daripada kita berasa skeptikal, hairan, malah meragui idea tersebut tetapi ia bukan sesuatu yang baharu di seluruh dunia. Semua negara kini melihat kepada produk hijau ini.

Lihat sahaja beberapa negara luar seperti di Afrika, di Ghana yang telah pun membuat basikal buluh sejak tahun 2017. Begitu juga dengan negara Zambia (menamakan basikal tersebut “Zambike” )telah menghasilkan basikal buluh lima (5) tahun yang lepas untuk tujuan eksport ke Eropah.

Bagi kita di Asia, negara Filipina (dengan menamakannya “Bambike”) menghasilkan bagi tujuan eksport. Contoh terdekat kita, negara Indonesia basikal buluh terkenal dengan nama “Spedagi” (berasal daripada perkataan sepeda pagi), speda bermaksud kenderaan beroda dua (2) atau tiga (3) dan sepasang pengayuh yang digerakkan kaki untuk menjalankannya.

Di negara yang tidak mempunyai sumber semula jadi ini turut menghasilkan basikal buluh, seperti di London dan juga di Amerika Syarikat, Kelab Basikal Buluh Brooklyn turut menghasilkan basikal buluh.

Manakala di negara Vietnam, negara tersebut telah menghasilkan beberapa kontena setiap bulan untuk di eksport ke Belanda.  

Bagi kita di Sarawak yang terletak di kawasan tropika yang kaya dengan hasil mahsul dan sumber bahan semula jadi sebenarnya banyak lagi penerokaan kepada ekonomi hijau ini seperti pembangunan tanaman buluh.

Basikal Buluh ini dicipta berbeza mengikut jenis dan tujuan penggunaan

Menyahut cabaran ini, Sarawak melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sedang menuju ke arah tersebut untuk mempelbagai produk berasaskan buluh dan salah satunya adalah Basikal Buluh.

Buat permulaan, PUSAKA  dan Brooke and Breeze, Shanghai, China telah bekerjasama menganjurkan kursus “Bamboo Bike Training the Trainer” selama tiga (3) bulan bermula 20 Jun hingga 23 Ogos 2022 dengan melatih 15 orang anggota PUSAKA menghasilkan basikal buluh.

Brooke and Breeze, adalah pengeluar utama basikal buluh yang beribu pejabat di China dan pihak PUSAKA akan meneruskan kerjasama dengan pihak Brooke and Breeze bagi penghasilan basikal secara komersial selain melatih masyarakat untuk belajar membuat basikal buluh.

Ada empat (4) model prototaip basikal buluh yang dihasilkan 15 orang pelatih iaitu Pandas (Mountain Bike), Crocodiles (Street Bike), Golden Eagles (Road/Leisure Bike) & Panthers (Road Bike)

Selepas menghasilkan empat (4) prototaip basikal buluh, pihaknya merancang untuk menghasilkan sekurang-kurang 15 lagi basikal buluh menjelang akhir tahun 2022.

Menurut Pengurus Besar PUSAKA, Datu Haji Hashim Bin Haji Bojet, projek ini disifatkan sebahagian daripada inisiatif pembangunan produk nilai tambah daripada buluh, selain produk buluh kejuruteraan, arang buluh, bahan makanan, anyaman dan peralatan kosmetik.

Ia juga bertepatan dengan  sebahagian daripada perancangan Pelan Strategik PUSAKA 2030 terutama membangunkan industri berasaskan buluh yang dijangka dapat menyumbang pendapatan eksport bagi negeri Sarawak. 

Projek Basikal Buluh ini dituju khas kepada rakyat di Sarawak, jelas Datu Haji Hashim dengan sasaran selepas ini menggalakkan lebih ramai penyertaan masyarakat dalam penanaman buluh dan memanfaatkan pelatih yang mereka

Rangka Basikal Buluh merupakan asas utama dalam penghasilan basikal buluh

Jelas beliau,  sudah menjadi aspirasi dan impian PUSAKA yang telah pun memulakan projek buluh ini sejak tahun 2018 yang lepas dengan mengusahakan ladang buluh yang terletak di Ladang Sabal, Simunjan.

Berkaitan dengan rakan strategiknya, Brooke and Breeze, pihaknya merancang untuk menjalinkan kerjasama jangka panjang terutama pemindahan teknologi dan melatih lebih ramai lagi rakyat Sarawak di samping mengeluarkan secara komersial basikal buluh pada tahun hadapan.

Berkaitan dengan harganya mengikut pasaran dunia adalah antara 1,000 hingga 2,500 USD dan memang tidak murah kerana mempunyai “nilai sentimental” yang tinggi serta dikaitkan dengan kelestarian alam sekitar di samping pembuatannya berbeza berbanding daripada penggunaan besi, aluminium dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan harganya kini sebab kita masih di peringkat permulaan dan ia turut bergantung kepada penerimaan dan pengeluarannya pada masa akan datang.

Jelasnya lagi, buat masa ini, menjadi keutamaan ialah aspek kualiti dan keselamatan kepada masyarakat sebelum menggunakannya dan perlulah melalui ujian industri dan piawaian daripada pihak SIRIM.

Pada masa sekarang, prototaip tersebut dibuat bagi membolehkan PUSAKA melatih pengusaha dan masyarakat dalam penghasilan basikal, sasaran jualan akan ditentukan setelah kajian ketahanan dilakukan pada masa akan datang.

Berdasarkan kajian, berat basikal buluh ‘lightweight’ yang lengkap adalah antara 9.1 hingga 13kg bergantung dengan kualiti.

Manakala basikal “aluminum road bike” yang lengkap pula adalah antara lapan (8) hingga sembilan (9) kg.

Bagi basikal “high end carbon road bikes” pula adalah seberat 6.8kg  

Berdasarkan kajian juga, penggunaan buluh dalam menghasilkan basikal berbanding sumber besi boleh mengurangkan penggunaan tenaga dan ia adalah lebih “environment friendly”.

Pengurus Besar PUSAKA, Datu Haji Hashim Bin Haji Bojet menunjukkan tanda bagus setelah mencuba prototaip basikal buluh

Setiap basikal dianggarkan dapat mengurangkan sehingga lima (5) kg pelepasan CO2 berbanding model keluli.

Spesies Buluh yang sesuai digunakan untuk penghasilan Basikal Buluh

Info Tambahan

  • Idea untuk membuat basikal dari buluh merupakan salah satu daripada inisiatif PUSAKA berdasarkan “Sarawak Bamboo Industry Development Masterplan” iaitu untuk meningkatkan nilai tambah bagi penggunaan buluh.
  • Industri pembuatan basikal menggunakan buluh dijangka dalam meningkatkan nilai tambah penggunaan buluh samada untuk pihak industri mahupun untuk pihak komuniti. 
  • Untuk menghasilkan basikal buluh, buluh yang akan digunakan perlu dirawat dengan baik agar ia tidak diserang oleh serangga perosak seperti bubuk. Kaedah rawatan “heat treatment”, “boiling”, “pressure treatment” atau rendaman dengan bahan kimia boleh digunakan sebelum ia diproses menjadi basikal .
  • Dalam proses pembuatan, batang buluh tersebut perlu dikeringkan mengikut kadar kelembapan yang sesuai sebelum di sembur dengan bahan kalis air.
  • Berdasarkan kajian, jangka hayat basikal buluh adalah antara 10-20 tahun, jika rangka buluh tersebut dijaga dan dirawat dengan baik. 

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]