KIK MYSED Pro Max Hasilkan Inovasi ‘VolYouth Care’

0
49

Projek VolYouth Care telah berjaya menjulang Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MYSED Pro Max sebagai johan Mini Konvensyen ICC Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) yang julung kali diadakan dari 10 hingga 11 Ogos 2022.

KIK MYSED Pro Max yang dianggotai lapan (8) orang ahli mempertandingkan projek tersebut di bawah kategori Inovasi Penciptaan dengan tajuk ‘Kesukaran Mencari Sukarelawan Untuk Program Kesukarelawanan Di Sarawak’ sebagai punca masalah yang seterusnya mencetuskan idea penghasilan projek VolYouth Care.

VolYouth Care adalah nama singkatan untuk ‘Volunteers Connection of Sarawak’ yang merupakan sebuah aplikasi pencarian sukarelawan serta maklumat program-program kemasyarakatan dan kesukarelawanan anjuran agensi-agensi kerajaan secara dalam talian.

Kumpulan MYSED Pro Max ketika membuat pembentangan projek KIK di Mini Konvensyen MYSED

Menurut penerangan projek daripada KIK MYSED Pro Max, kesukarelawanan adalah satu daripada lima (5) domain di dalam Global Youth Index.

Pada masa kini, apatah lagi dalam fasa endemik COVID-19, para sukarelawan amat berminat untuk menyertai program-program kesukarelawanan.

Demikian juga halnya kepada agensi-agensi yang memerlukan sukarelawan untuk menjayakan projek komuniti mereka.

Namun, kesukaran dan ketiadaan platform atau pusat sehenti (one stop centre) untuk sukarelawan mencari program dan untuk agensi-agensi mempromosi program komuniti mereka telah mencetuskan idea kepada KIK MYSED Pro Max membangunkan aplikasi VolYouth Care.

Menerusi aplikasi tersebut, sukarelawan boleh mendaftar diri di bawah MYSED selain membolehkan persatuan-persatuan belia mempromosi persatuan masing-masing dan aktiviti-aktiviti komuniti yang dianjurkan.

VolYouth Care dibangunkan dengan menggunakan sistem figma dan android studio. Terdapat empat (4) butang komponen dipaparkan di muka depan aplikasi, iaitu Volunteer, Events, NGO Profile dan Journey.

Paparan muka depan aplikasi VolYouth Care yang dibangunkan oleh KIK MYSED Pro Max

Butang Volunteer memaparkan program-program anjuran agensi-agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO). Keterangan secara terperinci berkenaan program yang dipaparkan juga terdapat di butang ini.

Menerusi butang Events, pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti berkaitan pengurusan sukarelawanan seperti kursus motivasi.

Butang NGO Profile memaparkan senarai NGO di seluruh Sarawak yang dibahagikan mengikut Bahagian masing-masing termasuk senarai aktiviti yang akan dilaksanakan.

Komponen keempat, iaitu butang Journey memaparkan aktiviti-aktiviti yang telah disertai oleh peserta termasuk jumlah jam dan jumlah program yang disertai. Maklum balas mengenai pemberian sijil oleh pihak penganjur juga terdapat pada butang ini.

Dari segi keberhasilan projek di peringkat nasional, kumpulan MYSED Pro Max percaya bahawa aplikasi VolYouth Care merupakan inovasi pertama seadanya diperkenalkan di Malaysia yang memberi manfaat kepada 14.9 juta belia di seluruh negara dan 1.2 juta belia di Sarawak.

Di peringkat global, aplikasi tersebut setaraf dengan negara membangun seperti Singapura yang memperkenalkan sistem SG Care.

Menerusi projek inovatif VolYouth Care, Malaysia menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang mempunyai sistem pengurusan sukarelawanan yang diyakini mampu menyumbang kepada kedudukan (ranking) semasa Malaysia dalam World Giving Index dari tempat ke-29 ke kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan.

Paparan komponen dan menu yang terdapat pada aplikasi VolYouth Care

Kumpulan MYSED Pro Max juga telah menerangkan keberhasilan projek VolYouth Care yang memberi impak terhadap empat (4) aspek pemantapan merangkumi aspek Pemantapan Kepimpinan Organisasi, Pengurusan Sumber Manusia, Pemasaran Kesukarelawan dan Pengurusan Penghargaan di peringkat Sarawak.

Menerusi VolYouth Care, MYSED secara rasmi telah menjadi agensi peneraju dalam pengurusan kesukarelawanan dalam aspek Pemantapan Kepimpinan Organisasi di Sarawak.

Dari aspek Pemantapan Pengurusan Sumber Manusia, VolYouth Care membolehkan tempoh mencari sukarelawan menjadi singkat kepada hanya tiga (3) hari berbanding dengan 14 hari sebelum aplikasi berkenaan dihasilkan.

Selain itu, aplikasi tersebut mampu menarik seramai lebih kurang 320 orang sukarelawan dan pada masa yang sama meningkatkan penyertaan sukarelawan pada kadar 35%.

Antara lain, hebahan berstruktur menerusi VolYouth Care juga mampu meningkatkan motivasi dalam penyertaan sukarelawan dalam aspek Pemantapan Pemasaran Kesukarelawan.

Dari aspek Pemantapan Pengurusan Penghargaan, penghargaan berbentuk kewangan dan bukan kewangan ditawarkan secara berstruktur kepada sukarelawan dan persatuan belia di Sarawak.

Sehubungan dengan itu, kumpulan MYSED Pro Max yakin bahawa inovasi tersebut sememangnya memperkukuhkan inklusiviti sukarelawan ke arah belia bertaraf dunia yang prihatin. MYSED Pro Max dianggotai oleh Mohd Rezza bin Ali selaku Ketua Kumpulan, Melanie Stephanie Woon, Cornelius Gilbert Yaman, Mohamad Adib Zulhusini bin Alet, Josephine Farrah anak Salleh, Diana anak Sandin, Shahrul Azizi bin Japar dan Siti Norain binti Kadir.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MYSED Pro Max memperagakan piala yang dimenangi selepas diumum sebagai johan Mini Konvensyen MYSED pada Ogos 2022
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]