MAMPU Rancang dan Teraju Agenda Pemodenan Sektor Awam

0
38

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Cawangan Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 1957, pada mulanya dikenali sebagai Bahagian Pengaturcara (Organization and Method Division) di Pejabat Ketua Menteri dan Ketua Setiausaha Sarawak.

Kemudian, pada 1964, Bahagian Pengaturcara ini telah diserapkan ke dalam Bahagian Pengaturcara, Perbendaharaan Malaysia dan seterusnya pada 1967, Bahagian ini telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri di bawah Unit Pentadbiran Pembangunan (DAU).

Pada tahun 1972, ia telah diletakkan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan & Pembangunan Tadbiran (ICDAU) apabila DAU digabungkan dengan ICU.

Berikutan dengan penubuhan MAMPU pada 25 Mei 1977, maka Bahagian Pengaturcara ini dibubarkan dan digantikan dengan MAMPU Cawangan Sarawak.

Dengan visi sebagai “Peneraju Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan Awam”, MAMPU Cawangan Sarawak komited untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi dan pendigitalan ke arah perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan.

MAMPU Sarawak bermatlamat untuk menjadi sebuah agensi pusat ke arah pemodenan pentadbiran dan transformasi sistem penyampaian Perkhidmatan Awam di negeri Sarawak.

Program turun padang (outreach program)

Justeru, MAMPU Sarawak berperanan sebagai:-

  1. Pemimpin modenisasi perkhidmatan awam yang menjadi penggerak dan peneraju pemodenan pentadbiran dan pengurusan bagi perkhidmatan awam.
  2. Pemimpin pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sektor awam, dalam kata lain, adalah sebagai perancang dan peneraju dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi perkhidmatan awam.
  3. Perunding sektor awam untuk pengurusan dan ICT iaitu menjadi pakar runding dalam pengurusan organisasi dan ICT perkhidmatan awam.
  4. Fasilitator pemodenan dan transformasi perkhidmatan awam yang bertindak sebagai pemudah cara bagi pelaksanaan pemodenan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
  5. Penyelidikan perkhidmatan awam dalam perancangan pemodenan dan pengurusan (Penyelidik pemodenan tadbiran dan perancangan pengurusan perkhidmatan awam).
  6. Mempromosi perkhidmatan awam (Pelaksana promosi sistem penyampaian perkhidmatan awam).
  7. Memperkukuhkan budaya organisasi berprestasi tinggi dan inovatif dalam kalangan agensi-agensi sektor awam melalui penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai yang menjadi amalan seluruh warga agensi sektor awam melalui pelaksanaan Ekosistem Konduksif Sektor Awam.
  8. Melaksanakan pemantauan ke atas agensi dan jabatan kerajaan dalam melaksanakan arahan-arahan dan pekeliling-pekeliling kerajaan bagi memastikan usaha-usaha pembaharuan yang berterusan dilaksanakan demi melahirkan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti.
Sesi Latihan Sistem Perkhidmatan Prasarana Kunci Awam Kerajaan (GPKI)
Bengkel Flutter Google
Lawatan Penandaarasan di Majlis Bandaraya Miri

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah MAMPU Sarawak, Encik Mohamad Anuardi bin Hajani ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Sehubungan itu, dalam usaha penerapan dan peningkatan nilai-nilai murni dan integriti di MAMPU Sarawak, beliau memberitahu pelbagai program telah dilaksanakan secara berkala antaranya;

  1. Mesyuarat Pengurusan MAMPU Sarawak yang diadakan untuk menyalurkan hala tuju organisasi kepada semua pegawai di organisasi.
  2. Mesyuarat Pegawai dan Kakitangan sebagai platform kepada Pengurusan Organisasi untuk berinteraksi dan menyalurkan nilai-nilai murni dengan semua warga organisasi.
  3. Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan yang berperanan dan bertanggungjawab untuk memastikan pengurusan aset dilaksanakan secara cekap, teratur dan berkesan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.
  4. Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) yang berperanan dan bertanggungjawab terhadap semua agensi Kerajaan dengan menetapkan format penyediaan laporan JPKA untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan akauntabiliti di semua peringkat Kementerian melalui penekanan ke atas tadbir urus yang baik (good governance) dan nilai faedah yang terbaik (best value for money) dalam pengurusan kewangan, risiko, prestasi perkhidmatan awam dan memastikan penggunaan sumber secara optimum.
  5. Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) MAMPU Sarawak adalah salah satu mekanisme untuk Pengurusan Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Kebangsaan.
  6. Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sebagai salah satu inisiatif pembudayaan dan pengurusan persekitaran pejabat sehingga semua warga sektor awam dapat bekerja dalam persekitaran tempat kerja yang sistematik, selesa dan kondusif.
Lawatan Kualiti di PLBN Badau

Walau bagaimanapun, MAMPU Sarawak tidak terkecuali dalam berdepan dengan cabaran utama bagi memenuhi peranan dan fungsi organisasi bagi mencapai dasar-dasar Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak antaranya keperluan perundangan berkenaan digital dan ICT; Perubahan pantas teknologi digital; Keperluan mengaplikasikan norma baharu dalam kehidupan; dan Perubahan persekitaran yang kerap, cepat dan signifikan berlaku dalam suatu tempoh masa yang tidak dijangka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]