Penambahbaikan Pentadbiran Tingkat Kecekapan Sistem Perkhidmatan Awam

0
35

Sejak tiga (3) tahun kebelakangan ini (2019-2021), pelbagai kejayaan telah dicapai oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sarawak dalam usaha meningkatkan penambahbaikan perkhidmatan awam.

Semasa temu bual bersama RAKAN Sarawak, Pengarah MAMPU Sarawak, Encik Mohamad Anuardi bin Hajani telah menceritakan tentang pelbagai inisiatif penambahbaikan pentadbiran dilaksanakan bagi mempertingkatkan kecekapan sistem perkhidmatan awam di negeri ini.

Antaranya ialah, MAMPU Sarawak telah menjalankan tanggungjawab sebagai badan pensijilan bagi Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di seluruh Sarawak.

Menurut beliau, amalan EKSA adalah penting bagi meningkatkan tahap pengurusan persekitaran kerja yang lebih kondusif selain menggalakkan agensi kerajaan menjadi lebih inovatif sekaligus dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam khususnya di negeri Sarawak.

Aktiviti Audit EKSA dijalankan di PPD Sarikei
Aktiviti Audit EKSA dijalankan di SPA Cawangan Sarawak

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa MAMPU Sarawak merupakan agensi yang mempunyai kepakaran (Subject Matter Expert) dalam pemodenan tadbiran dan pengurusan di Sarawak khususnya berkaitan dengan pekeliling yang diterbitkan oleh MAMPU sendiri.  

Justeru, MAMPU sentiasa merancang dan melaksana program khidmat rundingan atau khidmat nasihat kepada agensi Negeri dan Persekutuan di Sarawak bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan Sektor Awam  selaras dengan ekspektasi dan harapan pihak-pihak berkepentingan dan pelanggan.

Lawatan Kualiti

MAMPU Sarawak turut menjalankan pemantauan berkaitan dengan pekeliling atau garis panduan yang diterbitkan oleh MAMPU ke atas agensi-agensi Persekutuan di Sarawak melalui lawatan inspektorat bagi memperkasakan agensi, meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan  Sektor Awam.

Sebagai perancang dan peneraju dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Sektor Awam pula, MAMPU Sarawak berperanan dalam menyampaikan taklimat, sesi bimbingan, bengkel, promosi, hebahan dan pemantauan dalam peluasan sistem aplikasi Kerajaan Persekutuan yang sedia ada atau baharu.

Melihat dari aspek yang lebih luas, MAMPU Sarawak berperanan sebagai pusat rujukan, menjalankan pemantauan, penarafan berkenaan polisi, dasar, pekeliling, surat pekeliling, garis panduan, tatacara berkaitan ICT yang telah ditetapkan oleh MAMPU kepada semua agensi Persekutuan di Sarawak.

Lawatan Kualiti

MAMPU Sarawak turut bertindak sebagai ‘first-level support’ atau sokongan teknikal kepada MAMPU Ibu pejabat dalam mengenal pasti dan memantau permasalahan atau aduan berkaitan produk dan perkhidmatan MAMPU.

Misalnya yang berkaitan dengan perkhidmatan rangkaian berpusat MyGovNet, perkhidmatan komunikasi bersepadu MyGovUC, sistem-sistem aplikasi seperti Digital Document Management System (DDMS), MyMesyuarat dan Sistem GPKI (Pengurusan Token) untuk Sistem iGFMAS.

Selain itu, MAMPU Sarawak juga memainkan peranan penting dalam mengkoordinasikan program pemantapan pembangunan kompetensi anggota Skim F di negeri Sarawak sejajar dengan peranan MAMPU sebagai peneraju teknologi maklumat dan komunikasi Sektor Awam.

Encik Mohamad Anuardi juga memaklumkan bahawa Mampu Sarawak turut melaksanakan program-program turun padang (outreach programme) bagi mempromosikan inisiatif-inisiatif kerajaan kepada kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan juga orang awam.

Aktiviti turung padang (outreach program) 2019

MAMPU Sarawak juga merupakan urus setia bagi Jawatankuasa Pemandu Inovasi (JKPI) Agensi-agensi Persekutuan Sarawak.  

Menurut beliau, JKPI ditubuhkan pada awal tahun 2001 bagi mengenal pasti tahap pelaksanaan usaha-usaha ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang berterusan bagi memastikan Perkhidmatan Awam khususnya di Negeri Sarawak sentiasa efektif, efisien, kompeten dan kekal relevan sepanjang masa.

Jawatankuasa ini turut terlibat dalam beberapa program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di Negeri Sarawak antaranya ialah program Lawatan Kualiti dan Lawatan Penandaarasan.

Lawatan Kualiti merupakan satu program yang dijalankan ke atas sebuah jabatan atau agensi Persekutuan di Sarawak bertujuan untuk memantau keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dari segi kecekapan, responsif serta memenuhi ekspektasi kepuasan hati pelanggan perkhidmatan.

Manakala Lawatan Penandaarasan merupakan satu program yang memberi fokus kepada Jabatan atau Agensi Persekutuan dan Negeri di Negeri Sarawak yang cemerlang dari segi pengurusan organisasi, pengurusan inovasi dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif serta memenuhi ekspektasi pelanggan.

Pelaksanaan program ini membuka peluang kepada ahli-ahli JKPI untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran serta mempelajari ‘best practices’ dalam pengurusan organisasi, pengurusan inovasi dan penyampaian perkhidmatan awam, seterusnya membuat penambahbaikan di jabatan atau agensi masing-masing.

Antara lain, MAMPU Sarawak telah diberi kepercayaan oleh pihak Kerajaan Sarawak di mana Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Pengarah MAMPU Sarawak telah dilantik dalam Jawatankuasa Tertinggi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (AKPANS).

AKPANS merupakan pengiktirafan Perkhidmatan Awam yang terunggul dan berprestij di Negeri Sarawak bagi mengiktiraf keberkesanan tadbir urus, operasi dan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan.

Sehubungan itu, Pengarah dan pegawai MAMPU Sarawak telah dilantik sebagai panel bagi:

  1. Anugerah Ketua Menteri Sarawak (AKMS).
  2. Anugerah Key Focus Activity (AKFA).
  3. Anugerah Pengurusan Pelanggan (APP).
  4. Anugerah Kecemerlangan Penguatkuasaan (AKP).

Pengarah MAMPU Sarawak juga dilantik sebagai Pengerusi bersama dalam Jawatankuasa Auditan AKPANS yang berperanan dalam memantau pelaksanaan program pengauditan AKPANS serta mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan dan rekomendasi kepada peringkat tertinggi.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]