Pengurusan Pelabuhan-Pelabuhan di Sarawak Perlu Lebih Moden

0
118

– dipetik dan disesuaikan daripada keluaran RAKAN Sarawak Januari-Mac 2022 –

Pelabuhan-pelabuhan di Sarawak memainkan peranan penting dalam menyediakan kemudahan infrastruktur pendaratan, penyimpanan, pemprosesan, pemasaran dan bekalan input yang moden, berteknologi tinggi dan efisien bagi menyokong pembangunan industri perikanan dan sebagainya.

Perkembangan pesat sektor pelabuhan serta perkapalan ini telah mendorong para pelabur sama ada dari dalam dan luar negara untuk membuat pelaburan terutama dalam menyediakan infrastruktur pelabuhan yang berteknologi tinggi.

Pandangan udara sekitar Pelabuhan Senari Kuching

Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengadakan lawatan ke Pelabuhan Senari Kuching pada 8 Januari 2022 berkata, menjelang 2030, pengurusan pelabuhan Sarawak perlu bersedia ke arah pemodenan, inovasi dan menerima pakai teknologi baharu.

Hal ini kerana menurut beliau, pelabuhan di Sarawak mempunyai potensi yang besar dan boleh bersaing dengan pelabuhan-pelabuhan lain di rantau ini.

Lawatan beliau ke Pelabuhan Senari Kuching itu merupakan lawatan pertama beliau ke sebuah pelabuhan selepas dilantik sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam kabinet baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang proses pemodenan, yang dimaksudkan oleh beliau adalah dari aspek gaya pengurusan baharu dan menambah baik atau mempertingkatkan kesemua fasiliti penting di setiap pelabuhan.

Selaras dengan hasrat Sarawak untuk melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi pada tahun 2030, beliau menegaskan bahawa pelabuhan-pelabuhan di negeri ini perlu memainkan peranan yang penting bagi mencapai hasrat Kerajaan Sarawak itu.

Kerja-kerja penerimaan, pengeluaran dan pengasingan kargo di pelabuhan

Menjelang tahun 2030, peranan pelabuhan akan semakin meningkat, bahkan Sarawak merancang untuk mengeksport lebih banyak produk makanan menjelang tahun berkenaan, sekali gus menjadikan pelabuhan-pelabuhan ini sebagai komponen penting dalam agenda pembangunan negeri.

Dengan melihat kepada model pelabuhan di seluruh dunia, beliau memberitahu bahawa Sarawak akan menetapkan penanda aras pada model pelabuhan yang berjaya.

Sehubungan itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak mereka di Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan akan lebih proaktif untuk memastikan pelaksanaan ke arah pemodenan pelabuhan di negeri ini dilaksanakan.

Susunan penyimpanan kargo di pelabuhan

Mengenai Pelabuhan Senari yang dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA), beliau menyatakan bahawa pelabuhan itu perlu mencari jalan untuk meningkatkan produktivitinya dan dalam masa yang sama, pelabuhan itu juga mesti membuat perancangan untuk menghadapi cabaran baharu.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut ditemani Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan YB Dato Majang Anak Renggi dan Ir. Aidel Lariwoo serta Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan YBhg Datu Haji Safri bin Haji Zainudin.

Sesi bergambar sempena lawatan YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Pelabuhan Senari Kuching

Turut hadir semasa lawatan ialah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching YBhg Dato’ Awang Bemee bin Haji Pengiran Ali Basah, Pengurus Besar KPA Encik Robert Lau Hong Thiam yang memberi taklimat mengenai aktiviti pelabuhan dan program pembesarannya.

RAKAN 1Q2022-9
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]