Makmal Pengujian Dapur Gas SIRIM di Sarawak

0
33

SIRIM Berhad peneraju penyelesaian teknologi dan kualiti pada 8 November 2022 telah melancarkan Makmal Pengujian Dapur Gas Domestik bagi membantu kerajaan negeri merancakkan pembangunan industri gas dan melindungi keselamatan pengguna di Sarawak.

Makmal pengujian yang terletak di Demak Laut, di sini, telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Julaihi Bin Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

Simbolik Perasmian Makmal Gas Domestik

Makmal pengujian dapur gas domestik ini dikendalikan oleh SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad yang telah dilantik oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sebagai badan kawal selia yang mengendalikan ujian dapur gas domestik di negeri berkenaan.

Menurut Datuk Haji Julaihi Bin Haji Narawi, pembangunan makmal ini dapat memastikan setiap peralatan diuji dan dinilai oleh SIRIM QAS International sebelum ia dipasarkan dan digunakan oleh rakyat di negeri Sarawak.

Menurut Datuk Haji Julaihi Bin Haji Narawi, pembangunan makmal ini dapat memastikan setiap peralatan diuji dan dinilai sebelum ia dipasarkan dan digunakan oleh rakyat di negeri Sarawak

Beliau menyarankan para penggiat industri di negeri ini, terutama pengimport barangan Dapur Gas Domestik agar terus melaksanakan pengujian ke atas produk mereka yang kini boleh dilaksanakan di Kuching, Sarawak tanpa perlu menghantar ke Semenanjung Malaysia.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan SIRIM terus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi di Sarawak dan bekerjasama dengan Agensi dan Kerajaan Negeri untuk merancakkan semua sektor industri di negeri berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, SIRIM memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan pelanggan sebagai pengguna akhir yang menggunakan dapur gas domestik.

Menurut beliau, aspek keselamatan amat penting kerana perkakas gas yang rosak atau salah dipasang boleh menyebabkan kebakaran, kebocoran gas dan juga letupan. Semua peralatan gas yang dipasarkan di negara ini wajib menjalani ujian untuk memastikan keselamatan penggunaannya kepada pengguna.

Peralatan Pengujian yang terdapat di Makmal Gas Domestik
Penggunaan teknologi digital mampu memberikan keputusan yang tepat

Tambah beliau, mengikut Akta Bekalan Gas, Peraturan 2017 juga menghendaki semua peralatan gas domestik yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) dilekatkan label SIRIM sebelum dipasarkan.

SIRIM, sebagai badan kawal selia yang mengendalikan pengujian dapur gas domestik memainkan peranan penting dalam memastikan semua dapur gas domestik di pasaran adalah selamat.

Hanya melalui pengujian Makmal sahaja dapat memastikan tahap keselamatan sesuatu peralatan
Salah satu peralatan terdapat di makmal

Sementara itu, SIRIM dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan usahawan di bawah naungan SEDC, serta menyediakan platform bagi latihan dan perundingan. MoU ini juga berhasrat untuk membangunkan persijilan bagi perkhidmatan produk dan pembangunan insan

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin yang mewakili SIRIM manakala SEDC diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.

Datuk Haji Julaihi Bin Haji Narawi sempat meninjau pameran yang diadakan bersempena dengan majlis tersebut
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]