SEDC Peroleh ABMS MS ISO 37001:2016

0
56

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melangkah maju lagi terutama dalam amalan tadbir urus organisasi berkenaan apabila menerima Persijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016 daripada pihak SIRIM pada 8 November 2022.

Majlis Penyerahan Persijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah MS ISO 37001:2016 (ABMS) tersebut diadakan serentak selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara SIRIM Berhad dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC)

SEDC melakarkan kejayaan menerima Persijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016 dalam usahanya mencapai standard piawaian yang paling tinggi dalam aspek pengurusan dan tadbir urus

Kejayaan SEDC tersebut juga membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan integriti dalam kalangan kakitangan awam.

Pengerusi SEDC, YBhg Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz Bin Dato Haji Husain ketika ditanya RAKAN Sarawak dalam sidang media menyifatkan ia adalah satu pencapaian yang membanggakan menjadi organisasi yang terawal yang telah diberikan persijilan tersebut.

Beliau berterima kasih kepada pihak SIRIM atas pengiktirafan tersebut dan berharap banyak lagi organisasi selepas ini mendapat persijilan tersebut.

SEDC jelas beliau telah meletakkan satu contoh bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai dan kita boleh lakukan apa sahaja sekiranya seluruh organisasi komited untuk mencapainya.

Penyerahan Persijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016 diserahkan Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin yang mewakili SIRIM manakala SEDC diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir

Mengulas mengenai Memorandum Persefahaman antara SIRIM Berhad dan SEDC jelas beliau, ia akan melibatkan beberapa bidang berkaitan membangunkan usahawan di bawah naungan SEDC selain menyediakan platform bagi latihan dan perundingan.

Pada perkara berkaitan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad turut menjelaskan kepada RAKAN Sarawak bahawa beberapa agensi dan jabatan kerajaan di Sarawak sedang berusaha dan dalam proses untuk mendapatkan persijilan ABMS.

Jelas beliau lagi, Jabatan Premier Sarawak telah menjadi pendorong kuat usaha persijilan berkenaan di Sarawak apabila menggalakkan semua Kementerian di Sarawak mendapatkan persijilan ABMS.

Beliau menjangkakan lebih banyak Kementerian dan agensi kerajaan mendapat persijilan ini daripada pihak SIRIM tahun hadapan.

Ini menurut beliau lagi adalah sejajar dengan keperluan terkini semua organisasi dan syarikat untuk mendapatkan persijilan berkenaan bagi melindungi organisasi mereka, melaksanakan amalan tadbir urus terbaik di samping berpegang kepada piawaian paling tinggi.

Sidang Media yang dipengerusikan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi Bin Narawi

Info Tambahan

  • Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) MS ISO 37001 : 2016 adalah lanjutan daripada Pekeliling Integriti Sarawak Bil. 3 Tahun 2019 – Garis Panduan Pelaksanaan MS ISO 37001:2016 ABMS dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak yang dikeluarkan Kerajaan Sarawak pada 16 Mei 2019.
  • Pekeliling tersebut selari dengan inisiatif 2.1.3 dalam Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP) iaitu memperkenalkan persijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) dalam semua Agensi-agensi kerajaan.
  • Ia juga merupakan komitmen untuk merealisasikan arahan Perdana Menteri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 14 pada 19 April 2021 bahawa persijilan MS ISO 37001:2016 ABMS perlu dilaksanakan untuk kementerian dan jabatan kerajaan negeri.

Standard piawaian MSISO 37001:2016 ABMS ini telah dilancarkan pada Oktober 2016 dan merupakan inisiatif yang terbaik dalam mengukuhkan integriti korporat

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]