Delta Sarawak Diiktiraf Sebagai Geopark Kebangsaan

0
24

Delta Sarawak telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan yang diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan yang mengumumkan mengenai perkara berkenaan menerusi satu kenyataan pada 23 Jun 2022 menjelaskan, pengiktirafan tersebut telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2022 pada 20 Jun lepas.

Geopark Delta Sarawak meliputi kawasan Santubong, Taman Negara Bako hingga ke Bau, Padawan dan Siburan

Geopark berkenaan yang kini dinamakan sebagai ‘Geopark Kebangsaan Delta Sarawak’ berkeluasan 3,112 kilometer (km) persegi kaya dengan keunikan landskap batuan (28 geotapak), kepelbagaian biologi (12 biotapak) dan budaya (14 tapak budaya).

Dalam keseluruhan 28 geotapak tersebut, 12 daripadanya bertaraf antarabangsa, lapan (8) bertaraf kebangsaan dan lapan (8) bertaraf tempatan.

Kenyataan rasmi KeTSA itu turut menerangkan, formasi rupa bumi Delta Sarawak didasari oleh pelbagai jenis unit yang berusia, merangkumi karbon hingga resen serta memiliki kepelbagaian biodiversiti dengan spesies endemik di Borneo seperti Orang Utan, Orang Belanda (Proboscis Monkey) dan Cicak Batu Fairy (Fairy Rock Gecko) dan kekayaan warisan budaya dari seni bina, peralatan muzik, senjata sehingga kepada makanan yang terhasil daripada kewujudan masyarakat berbilang kaum.

Menurut Datuk Seri Takiyuddin, pengiktirafan tersebut merupakan satu lagi pencapaian kepada negara, khususnya kepada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pemeliharaan alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pihak kementerian percaya bahawa kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dapat memastikan Geopark Kebangsaan diurus dengan baik.

Tambah beliau, usaha berterusan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat khususnya di dalam kawasan dan sekitar wilayah Geopark Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui penglibatan masyarakat tempatan dalam pelbagai aktiviti dan program pembangunan geopark.

Pembangunan geopark meliputi aspek pemeliharaan dan pemuliharaan warisan termasuk ekonomi dan pembangunan komuniti dengan mengintegrasikan alam semula jadi dan pemuliharaan warisan budaya sebagai satu entiti yang seimbang

Geopark di Malaysia

•            Langkawi UNESCO Global Geopark, Pulau Langkawi, Kedah

Geopark Kebangsaan

•            Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah

•            Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Perak

•            Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah

•            Labuan Geopark, Wilayah Persekutuan Labuan

•            Geopark Kebangsaan Lenggong, Kedah

•            Geopark Kebangsaan Sarawak Delta, Sarawak

https://en.unesco.org/global-geoparks

Geopark Delta Sarawak dilancarkan oleh Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada April 2021 dalam usaha Kerajaan Sarawak mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan.

Jabatan Hutan Sarawak (JHS) merupakan agensi yang menerajui inisiatif tersebut dan Kerajaan Sarawak juga mempunyai hala tuju untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, iaitu di bawah UNESCO Global Geopark.

Secara kronologi, inisiatif Geopark Delta Sarawak yang meliputi kawasan Santubong, Taman negara Bako hingga ke Bau, Padawan dan Siburan telah bermula sejak tahun 2004.

Seterusnya pada 2009, cadangan dibentangkan buat pertama kali oleh wakil dari Kumpulan Pakar UNESCO Global Geoparks (UGGPs), Dr. Patrick McKeever.

Kemudian, setelah Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bersetuju untuk membangunkan Geopark Delta Sarawak pada 2016, Jawatankuasa Saintifik yang membantu membangunkan geopark berkenaan pula diwujudkan sehinggalah Kerajaan Sarawak meluluskan cadangan tersebut pada November 2019.

Setelah dilancarkan pada April tahun lepas, Geopark Delta Sarawak telah melalui proses penilaian bagi mendapat pengiktirafan kebangsaan dari 19 hingga 21 Januari 2022.

Sesi penilaian dijalankan oleh pakar geologi, iaitu Profesor Dr. Felix Tongkul dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama dengan pakar biologi, Profesor Datuk Dr. Mohammad Tahuddin bin Abdullah dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Dalam membangunkan Geopark Delta Sarawak, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan warisan termasuk pembangunan ekonomi dan pembangunan komuniti ditekankan dengan mengintegrasikan alam semula jadi dan pemuliharaan warisan budaya sebagai satu entiti yang seimbang.

Antara ciri-ciri menarik yang terdapat di Geopark Kebangsaan Delta Sarawak adalah ruang bawah tanah Sundaland yang merupakan antara sedimen terawal dalam evolusi geologi rantau Asia berusia 355 juta tahun selain daripada kawasan berkenaan yang ada kaitannya dengan pembentukan batu Tuang, pembentukan Sejingkat, pembentukan gunung berapi Serian, pembentukan batu kapur Bau dan pembentukan batu pasir Kayan.

Geopark Kebangsaan Delta Sarawak menjadi geopark kebangsaan keenam yang diiktiraf selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta dan Geopark Kebangsaan Lenggong, Perak, Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah, Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah dan Geopark Kebangsaan Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

Setakat ini, Langkawi UNESCO Global Geopark merupakan satu-satunya geopark di Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di bawah UNESCO.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]