Komitmen Tinggi Sumbang Kejayaan Besar SFC

0
24

Pelbagai pengiktirafan dan anugerah telah diberikan kepada PHLS dalam tempoh empat (4) tahun kebelakangan ini antaranya, Anugerah Emas bagi Kategori Pusat Pemulihan Hidupan Liar Terbaik sempena Anugerah Majlis Pelancongan Malaysia 2019.

Pada tahun yang sama, Pusat Hidupan Liar Semenggoh juga turut menerima Anugerah Pelancongan Burung Enggang Sarawak Ke-8 2019 bagi kategori Tarikan dan Acara Pelancongan Cemerlang (Destinasi Semula Jadi).

SFC telah menerima Pengiktirafan Emas dan Perak bagi Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 15 September 2022
SFC Terima Pengiktirafan Emas dan Perak MyTQA bagi Taman Negera Mulu dan Taman Negara Bukit Lambi

Pada tahun 2020, Pusat Hidupan Liar Semenggoh telah menerima Anugerah Pelancongan Kecemerlangan Dunia 2020 di ITB Berlin, Jerman bagi kategori Program Pelancongan Lestari Terbaik.

Penerimaan anugerah ini sekali gus membuktikan bahawa dunia telah memberi satu pengiktirafan terhadap usaha Sarawak dalam memelihara dan memulihara alam sekitarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Tuan Haji Zolkipli Mohamad Aton menunjukkan Anugerah Pelancongan Kecemerlangan Dunia 2020 di ITB Berlin, Jerman yang diraih bagi kategori Program Pelancongan Lestari Terbaik

Sudah tentu, pengiktirafan ini akan menjadi penanda aras dalam penjagaan khazanah rimba di peringkat antarabangsa selain bakal merancakkan lagi industri pelancongan di Bumi Kenyalang.

Dengan anugerah seperti ini, pelancong-pelancong atau sesiapa sahaja yang berminat boleh berkunjung ke negeri Sarawak untuk melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana Kerajaan Sarawak menerusi SFC menjaga khazanah-khazanah hutan dan sebagainya.

Pada Januari 2022 sempena Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022, SFC telah menerima Anugerah Gangsa bagi Kecemerlangan Penguatkuasaan.

Trofi Anugerah Gangsa bagi Kecemerlangan Penguatkuasaan yang diterima pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022
Unit Penguatkuasa SFC giat melakukan operasi penguatkuasaan membanteras pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar di Sarawak

Penganugerahan itu wajar diberikan kerana SFC begitu komited dalam memperhebatkan aktiviti pemantauan untuk membanteras pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar di Sarawak.

Ke arah usaha tersebut, SFC telah bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk mengesan pemburu dan penyeludup yang melanggar Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Selain itu, kakitangan SFC dari pejabat-pejabat wilayah, pejabat-pejabat tapak (OSCC) dan Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) juga terus giat menjalankan operasi dan melakukan serbuan secara mingguan di pasar-pasar di seluruh Sarawak untuk membendung perdagangan hidupan liar.

Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Tuan Haji Zolkipli Mohamad Aton ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Dalam perkembangan terbaharu, beliau memberitahu bahawa PHLS telah memperkenalkan inisiatif baharu dengan menggunakan Perkhidmatan Kereta Kecil Elektrik (EBS) atau buggy untuk membawa para pengunjung bersiar di sekitar PHLS.

Perkhidmatan EBS yang bersifat teknologi hijau adalah satu usaha bagi menyokong kehidupan mesra alam dengan menggabungkan penggunaan kenderaan elektrik sebagai komponen utama yang menyumbang ke arah kelestarian dan pemuliharaan biodiversiti.

Selain itu, ia secara langsung dapat mempraktikkan pengangkutan alternatif hijau dan bersih usaha dalam menambah baik kualiti udara dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) selain sebagai tarikan pelancongan terbaharu.

Inisiatif EBS ini merupakan bukti sokongan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menuju ke arah teknologi hijau dan mengurangkan pelepasan karbon di kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA) di mana ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negeri neutral karbon pada akhir tahun 2022.

Menurut beliau, mana-mana kenderaan persendirian tidak dibenarkan memasuki PHLS berkuat kuasa pada 1 September 2022 sebaliknya mereka hanya diberi kebenaran untuk melawat dengan menggunakan perkhidmatan EBS, berbasikal atau berjalan kaki sahaja.

Antara kejayaan lain ialah, SFC telah menerima peruntukan daripada Dana Amanah Pemuliharaan Negara berjumlah RM1.5 juta untuk melaksanakan tujuh (7) projek penyelidikan dan pemuliharaan pada 2021 hingga 2022.

Selain itu, SFC turut bekerjasama dengan tujuh (7) pihak berkepentingan/penderma untuk menanam sehingga 20,000 anak benih dalam empat TPA terdegradasi antara 2021 hingga akhir 2022.

Kadar kemandirian anak benih dalam plot sampel di Sama Jaya menunjukkan kadar kemandirian anak benih sebanyak 89%.

Sejak 2019 hingga 2022, SFC kini sudah menanam sejumlah 16,800 terumbu karang jenis Reefball yang mesra alam dari Tanjung Datu ke Lawas, yang meliputi kawasan seluas 1,000-kilometer untuk memulihara hidupan marin.

Dengan adanya projek itu, ia menjana ekonomi lumayan masyarakat khususnya golongan nelayan di kawasan pesisir selain turut membantu meningkatkan sumber perikanan.

Pada 2021, SFC telah berjaya mewartakan Taman Negara Bukit Sarang (Bintulu) seluas 4,968 hektar dan ini menjadikan keseluruhan keluasan tanah untuk TPA kepada 872,386.4 hektar.

SFC telah memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Perkhidmatan Kereta Kecil Elektrik (EBS) atau buggy untuk membawa pengunjung bersiar di Pusat Hidupan Liar Semenggoh
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]