Kemudahan Terkini Untuk Dapatkan Perkhidmatan

0
39

Pusat Pentadbiran Daerah Tanjung Manis merupakan pusat sehenti yang beroperasi secara bersepadu bagi masyarakat setempat mendapatkan perkhidmatan kerajaan dan sebagainya.

Pusat Pentadbiran Daerah Tanjung Manis telah dirasmikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 15 November 2022.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari diberi penerangan oleh Pengurus Besar PUSAKA, Datu Haji Hashim mengenai struktur bangunan Pusat Pentadbiran Daerah Tanjung Manis. Turut kelihatan Datuk Haji Len Talif (kanan), Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar (belakang, kanan) serta beberapa orang tetamu kehormat yang lain (Foto Facebook JAPEN Sarawak)

Bangunan setinggi 16 tingkat yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sejak awal 2018 kini menjadi mercu tanda baharu di Tanjung Manis.

Bangunan yang dibina dengan kos lebih RM80 juta itu turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti surau, kemudahan perbankan, pejabat pos, dewan dengan kapasiti 1,200 orang, auditorium dengan kapasiti 2,000 orang dan galeri PUSAKA yang bakal mempromosikan produk-produk tempatan Tanjung Manis.

Antara agensi kerajaan yang ditempatkan di bangunan tersebut ialah PUSAKA, Pejabat Daerah Tanjung Manis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Walaupun telah dirasmikan, kerja-kerja hiasan dalaman bangunan berkenaan masih dijalankan pada ketika ini dan dijangka siap serta beroperasi pada pertengahan tahun 2023.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, YB Datuk Haji Len Talif bin Salleh, perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Pusat Pentadbiran Daerah Tanjung Manis akan memudahkan penduduk sekitar untuk berurusan dengan agensi-agensi kerajaan dan urusan-urusan lain tanpa perlu ke Mukah, Sibu atau Sarikei.

Beliau yakin bahawa mercu tanda baharu tersebut yang turut menandakan pembangunan berterusan di Tanjung Manis juga merupakan ‘game changer’ atau pemangkin kepada pembangunan holistik di Lembah Rejang yang kini sedang membangun bersama-sama Daerah Tanjung Manis.

Datuk Haji Len Talif turut memaklumkan, Kerajaan Sarawak telah dan sedang merancang pelbagai inisiatif pembangunan di Tanjung Manis dan Lembah Rejang yang antaranya ialah pembinaan Jalan yang menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis merentasi Batang Rajang sepanjang 17 kilometer, pembangunan infrastruktur kawasan dalam Pelan Induk Tanjung Manis Economic Growth Area (T-MEGA) dan projek-projek di bawah kendalian Rajang Delta Development Agency (RADDA).

Majlis perasmian Pusat Pentadbiran Daera Tanjung Manis turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki, Pengurus Besar PUSAKA, YBhg Datu Haji Hashim bin Haji Bojet serta beberapa orang tetamu kehormat yang lain.

Bangunan Pusat Pentadbiran Daerah Tanjung Manis yang dilimpahi cahaya pada waktu malam
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]