Sarawak Sasar Capai 1:400 Doktor Perubatan Menjelang Tahun 2027

0
19

Dalam ucapan Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg semasa Majlis Penyerahan biasiswa kepada 40 orang pelajar pertama yang mengikuti program pada 19 September 2017, menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak menyasarkan 200 orang doktor perubatan menjelang tahun 2027.

Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak telah menyediakan RM100 Juta untuk keseluruhan program ini dengan Yayasan Sarawak telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini bagi meningkatkan bilangan doktor perubatan di Sarawak di samping menyediakan perkhidmatan perubatan yang berkualiti kepada rakyat.

Inisiatif ini pada awalnya diambil memandangkan negeri Sarawak berhadapan dengan kekurangan doktor perubatan, terutama sekali di luar bandar dan pada masa yang sama berusaha untuk mengecilkan nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Negeri Sarawak.

Antara penerima Biasiswa Khas Program Perubatan UNIMAS Foto : Ihsan Yayasan Sarawak

Mengikut statistik Pejabat Kesihatan Negeri Sarawak, nisbah doktor kepada penduduk pada tahun 2015 adalah 1:1,104 dan Kerajaan Sarawak berazam untuk mencapai nisbah 1:400 doktor perubatan menjelang tahun 2027.

“Walaupun pelaksanaan program fasa pertama ini telah berakhir, namun, sebagai usaha berterusan sehingga negeri kita mempunyai bilangan doktor yang lebih banyak dalam kalangan orang Sarawak, maka Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program untuk Fasa Ke-2 mulai tahun 2022.”

Pengarah Yayasan Sarawak, Haji Mersal bin Abang Rosli berkata demikian ketika diminta RAKAN Sarawak mengulas mengenai sejauh mana program ini dapat merapatkan jurang bilangan doktor dan bidang pelbagai disiplin dalam perubatan berkaitan di Sarawak

Jelas beliau, kini terdapat hanya lebih kurang 70 peratus daripada 3,282 pegawai perubatan yang berkhidmat di Sarawak adalah orang tempatan (mengikut statistik daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada tahun 2017) dan keadaan menjadi parah lagi apabila pegawai perubatan yang berasal dari Semenanjung berpindah balik ke Semenanjung setelah berkhidmat secara singkat di Sarawak.

Hakikatnya jurang bilangan doktor adalah besar dan tidak memuaskan. Sehingga 1 Januari 2020, nisbah doktor kepada penduduk secara purata adalah seorang (1) doktor (termasuk doktor pakar) kepada 1,086 penduduk (atau 1:1086) dengan nisbah tersebut lebih kecil bagi kawasan bandar utama seperti Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri.

Walau bagaimanapun, menurut beliau lagi, “kita berharap Sarawak akan satu masa nanti mempunyai bilangan doktor perubatan yang memenuhi standard Organisasi Kesihatan Sedunia (World Health Organisation, iaitu 1: 400.”

Mengenai Pembiayaan Biasiswa Khas bagi Program Perubatan Fasa Pertama, menurut beliau melibatkan lima (5) kohort telah bermula pada tahun 2017 dengan pengambilan pertama seramai 40 pelajar tahun pertama mengikuti ijazah Sarjana Muda Program Perubatan di UNIMAS dan tamat pada tahun 2021 dan selepas itu  mereka akan diberi penempatan untuk dua tahun mengikuti latihan (housemanship) mulai tahun 2022.

Manakala, Kohort ke-5 (terakhir bagi fasa pertama ini) pula jelas beliau telah pun bermula pada tahun 2021 dan akan tamat pengajian pada tahun 2025.

Mengenai penajaan 40 pelajar sesuatu kohort selama lima (5) tahun, Yayasan Sarawak menurut beliau memperuntukkan RM20 Juta, iaitu RM4.0 Juta setahun.

Antara syarat-syarat selepas menamatkan pengajian pelajar yang berjaya menamatkan pengajian adalah dikehendaki, seperti mana dinyatakan dalam perjanjian kontrak, berkhidmat di Sarawak selama sepuluh (10) tahun.

Selain itu, pelajar-pelajar dibiayai di bawah skim biasiswa khas, mereka tidak perlu membayar balik setelah mereka lulus dan tamat pengajian tetapi sekiranya mereka gagal atau tidak menamatkan pengajian atau diberhentikan, maka mereka dikehendaki untuk membayar secara sekali gus keseluruhan bantuan yang telah disalurkan.

Pelajar-pelajar adalah dilarang untuk berhijrah ke luar negara sepanjang tempoh berkuat kuasanya perjanjian ikatan dengan Kerajaan Sarawak.

Tambah beliau lagi, dengan program ini diteruskan dan masuk ke fasa ke-2, akan memanjangkan penempatan doktor perubatan di klinik-klinik kesihatan luar bandar yang mana sebelum in hanya terdapat Pembantu Kesihatan (Hospital Assistant) atau Pembantu Perubatan (Medical Assistant).

Pada perkara berkaitan ketika ditanya selain UNIMAS, adakah Yayasan Sarawak turut menaja dan membiayai pengajian perubatan di Universiti Tempatan dan Swasta di Malaysia, beliau menjelaskan bagi tempoh tujuh (7) tahun yang lalu (2016-2022) Yayasan Sarawak telah membiayai 185 orang pelajar.

Jumlah tersebut termasuk pelajar yang mengikuti jurusan doktor perubatan di universiti tempatan (iaitu di IPTA dan IPTS) dan universiti luar negara dengan sejumlah 32 orang dibiayai melalui penganugerahan biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib (BYSTT) dan sejumlah 153 orang pelajar dibiayai di bawah Skim Pinjaman Pelajaran Dalam dan Luar Negara sejak tahun 2018.

Antara penerima Biasiswa Khas Program Perubatan UNIMAS Foto : Ihsan Yayasan Sarawak
Kumpulan Penerima Biasiswa Khas Program Perubatan UNIMAS Foto : Ihsan Yayasan Sarawak
Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]