- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 8:43pm

Bangunkan Polisi Berteraskan Rakyat

Must read

Perkhidmatan Awam Sarawak terutamanya ketua-ketua jabatan akan “turun padang” lebih kerap dalam usahanya mendekatkan diri dengan rakyat.

Jaminan dan pendirian ini disuarakan Setiausaha Kerajaan Sarawak YB Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana YAB Perdana Sarawak 2023 yang berlangsung di Borneo Convention Centre, Kuching pada 12 Januari 2023.

Menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak, ini (turun padang) penting untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan akar umbi (rakyat) bagi membolehkan penjawat awam negeri ini membangunkan polisi yang bersesuaian dengan keperluan semasa dan berteraskan kepentingan bersama.

Setiausaha Kerajaan Sarawak semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana YAB Perdana Sarawak 2023 yang berlangsung di Borneo Convention Centre, Kuching pada 12 Januari 2023

Bagi mencapainya, tambah beliau, perkhidmatan awam Sarawak akan memastikan gabungan pelbagai latar belakang kemahiran yang ada dioptimumkan bagi boleh memudah cara dan menggalakkan penglibatan yang berkesan dengan pihak berkepentingan dan rakyat.

Untuk itu penjawat awam Sarawak perlu menjadi pendengar yang berkesan selain empati, bertanggungjawab dan sentiasa terbuka kepada kolaboratif yang bermanfaat.

Berkaitan dengan majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Sarawak memberikan keyakinan perkhidmatan awam Sarawak sebagai jentera kerajaan akan meningkatkan kapasiti bersama-sama Premier Sarawak dalam memikirkan cara dan pendekatan baharu agar sumber dan aset Sarawak dapat dimanfaat dengan sebaiknya demi generasi akan datang.

Sudah pastinya, menurut beliau lagi, perkhidmatan awam Sarawak perlulah lebih proaktif, lebih pantas dan cekap mengadaptasi dan menerima pakai pendekatan baharu dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Bagi menyokong jentera pentadbiran Kerajaan Sarawak, beliau turut menggariskan beberapa keutamaan perkhidmatan awam pada tahun ini (2023) antaranya meningkatkan keupayaan dan kapasiti,

Selain itu, perkhidmatan awam Sarawak perlu mempunyai tenaga kerja yang seimbang dengan kepakaran yang tinggi, sentiasa inovatif, yang mampu beroperasi dalam persekitaran yang mencabar dan kompleks.

Tumpuan juga akan diberikan kepada peningkatan kemahiran penjawat awam secara berkala dan memudah cara pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat.

Semua ini perlu digabungkan dengan berkesan supaya pada akhirnya penjawat awam Sarawak akan mampu dan mempunyai momentum sepantas Premier Sarawak memajukan dan mencapai wawasan untuk Sarawak.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article