- Advertisement -spot_img
4,846
published news
and counting

Usaha Memastikan Pembangunan Mampan Dan Persekitaran Bersih

Must read

Selaras dengan matlamat PCDS 2030, Belanjawan Negeri 2023 telah dirangka merentasi sebelas (11) Teras Strategik bertujuan untuk memacu ekonomi negeri ke arah pertumbuhan yang lebih tinggi dan pembangunan yang dipercepatkan.

Salah satu daripada 11 teras strategik tersebut adalah untuk Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi dengan Kelestarian Alam Sekitar yang menggariskan lima (5) inisiatif iaitu;

Menggalakkan Kelestarian Alam Sekitar; Membangunkan Ekonomi Hidrogen; Menghijaukan Ekonomi; Menggalakkan Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS); dan Membangunkan Ekonomi Biru.

Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi dengan Kelestarian Alam Sekitar merupakan antara teras strategik dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2023

Dalam usaha kerajaan hendak menggalakkan kelestarian alam sekitar, Program Pemulihan Landskap Hutan (FLR) memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan matlamat kelestarian alam sekitar negeri Sarawak dapat dicapai.

Program FLR bertujuan untuk memulihkan integriti ekologi dan meningkatkan produktiviti serta nilai ekonomi landskap hutan yang terdegradasi melalui program seperti penanaman semula pokok.

Sejumlah RM19 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk melaksanakan projek FLR ini, dengan 35 juta pokok disasarkan untuk ditanam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Setakat Ogos 2022, lebih 14.45 juta pokok telah ditanam, justeru Kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM2.3 juta dalam Bajet 2023 untuk meneruskan Program FLR ini.

Pada tahun lepas, Kerajaan Sarawak telah mewajibkan semua pemegang lesen kayu hutan yang meliputi kawasan seluas lebih kurang 3.9 juta hektar untuk mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan (FMC) seiring dengan polisi baharu dalam pengurusan hutan negara.

Sijil ini bertujuan untuk memastikan piawaian pengurusan hutan lestari di Sarawak adalah selaras dengan piawaian antarabangsa di samping meningkatkan reputasi Sarawak dalam pasaran global, dan sehingga kini, kawasan seluas kira-kira 1.35 juta hektar telah berjaya memperoleh FMC.

Sehubungan dengan itu, pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta untuk pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar serta Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).

Kerajaan Sarawak telah menyasarkan untuk menetapkan satu (1) juta hektar tanah Sarawak sebagai TPA menjelang 2025, dan sehingga suku kedua tahun 2022, sejumlah 872,386 hektar TPA telah diwartakan.

Bagi meningkatkan pengurusan TPA dan hidupan liar, projek berikut juga telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah Projek Rakyat iaitu;

  1. Pembangunan Pusat Sehenti di Hutan Simpan Bukit Lima dengan kos keseluruhan RM5 juta;
  2. Penubuhan Pusat Penemuan Alam Semula Jadi di Rizab Semula Jadi Piasau dengan kos keseluruhan RM30 juta; dan
  3. Program Publisiti Inskripsi Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan kos keseluruhan RM1.14 juta.

Dalam usaha membangunkan ekonomi hidrogen pula, Majlis Hidrogen menganggarkan, di seluruh dunia terdapat kira-kira 520 projek hidrogen yang sedang dijalankan.

Kerajaan Sarawak merancang untuk memulakan pengeluaran komersial berskala besar dan eksport hidrogen menjelang tahun 2027

Di peringkat global, pelaburan langsung sebanyak USD160 bilion telah direkodkan, dan lebih daripada USD400 bilion pelaburan swasta tambahan dalam loji hidrogen telah diambil oleh pelbagai kerajaan di seluruh dunia.

Memandangkan hidrogen bakal menjadi sumber tenaga masa depan, Kerajaan Sarawak telah menyasarkan untuk menjadi peneraju dalam ekonomi hidrogen di Malaysia, dengan rancangan untuk memulakan pengeluaran komersial berskala besar dan eksport hidrogen menjelang tahun 2027.

Kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Syarikat Samsung Engineering, POSCO Holdings dan Lotte Chemical untuk membangunkan loji hidrogen dan ammonia hijau di Bintulu akan menjadi sebahagian daripada pembangunan ekonomi hidrogen Sarawak.

Di samping itu, Sarawak kini sedang memulakan usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam melalui pembangunan Automated Rapid Transit (ART) yang akan disepadukan dengan penyelesaian digital untuk mencipta pengalaman lancar menggunakan sel bahan api hidrogen.

Sarawak kini sedang dalam proses mempertingkatkan sistem pengangkutan awam melalui pembangunan Automated Rapid Transit (ART)

Kerajaan Sarawak menjangkakan sistem pengangkutan awam bersepadu yang mesra alam ini akan mengurangkan kesan karbon di Bandaraya Kuching sebanyak 15% menjelang tahun 2030.

Dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi, Kerajaan Sarawak kini akan sentiasa mengambil kira elemen berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan Sarawak dapat mencapai pertumbuhan yang mampan selari dengan matlamat PCDS 2030.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perubahan iklim adalah ancaman global, dan negara kita juga tidak terkecuali.

Oleh sebab itu, Sarawak yang mempunyai kawasan hutan terbesar di Malaysia, dengan peluang penyerapan karbon yang besar, harus memainkan peranannya bagi membantu negara mencapai matlamat pelepasan sasaran sifar bersih menjelang 2050.

Hutan yang diurus dengan baik serta mengamalkan pengurusan hutan secara mampan mampu berfungsi sebagai habitat semula jadi flora dan fauna, kawasan tadahan air, sinki karbon (carbon sinks) serta menyumbang kepada kestabilan iklim dunia.

Sarawak juga merupakan wilayah yang pertama di Malaysia menggubal undang-undang bagi mengawal selia aktiviti karbon di wilayahnya melalui sektor tanah dan perhutanan yang terkandung dalam pindaan Land Code dan Forests Ordinance yang masing-masingnya diluluskan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 18 dan 19 Mei 2022.

Inisiatif perdagangan karbon merupakan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuhkan sumber pendapatan baharu melalui pengurusan hutan berteraskan tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sejajar dengan PCDS 2030.

Nilai sumber hutan dan penjanaan hasil melalui aktiviti ekonomi hijau mampu dipertingkatkan dengan pelaksanaan program kredit karbon yang menjurus kepada pengawalan iklim dunia berdasarkan Article 6, Paris Agreement.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak akan menjalankan kajian menyeluruh mengenai Dasar Perubahan Iklim Sarawak dan Rangka Tindakan Masyarakat Rendah Karbon di kawasan bandar dan luar bandar Sarawak serta Penggubalan Dasar dan Pelan Tindakan Ekonomi Hijau Sarawak.

Seterusnya ialah, Sarawak telah dikenal pasti sebagai salah satu wilayah berpotensi di dunia untuk Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS).

CCUS melangkaui aplikasi bahan api fosil dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan dalam aset kuasa dan perindustrian serta menyokong peluang ekonomi baharu yang dikaitkan dengan pengeluaran hidrogen dan ammonia rendah karbon.”

“Di Sarawak, kita baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-undang Kanun Tanah (Pindaan), 2022, yang memberikan kita kedudukan yang lebih baik untuk membangunkan CCUS sebagai teknologi mitigasi yang berkuasa ke arah ekonomi rendah karbon.”

– YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg

Sumber: https://www.utusanborneo.com.my/2022/11/21/sarawak-sasar-jadi-peneraju-ekonomi-hidrogen-di-malaysia

CCUS di Sarawak berpotensi besar untuk dikembangkan ke skala dunia memandangkan struktur geologi di negeri ini yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida.

CCUS ialah pemboleh utama untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan pada masa ini Sarawak sedang dalam peralihan secara beransur-ansur daripada bahan api fosil ke bahan berasaskan karbon.

Memandangkan CCUS adalah sebahagian daripada tanah negeri, maka secara langsungnya ia adalah milik Sarawak.

Kerana itu, Kerajaan Sarawak telah mengemas kini Kanun Tanah Negeri dengan memasukkan undang-undang yang mengawal selia peluang perniagaan baharu.

Sebagai makluman juga, syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah diberi kepercayaan untuk menguruskan sumber CCUS dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran teknikal yang mereka miliki.

PETROS telah diberi kepercayaan untuk menguruskan sumber CCUS

Industri CCUS ini akan menggalakkan pembangunan rizab gas secara besar-besaran negara, menjamin keselamatan tenaga jangka panjang untuk negara, mewujudkan lebih banyak pekerjaan domestik melalui industri hijau serta menyediakan satu lagi sumber pendapatan kepada Sarawak.

Berkaitan usaha membangunkan ekonomi biru pula, Kerajaan Sarawak giat laksanakan projek tukun tiruan untuk memelihara ekosistem perikanan di perairan Sarawak.

Tujuan utama projek tukun tiruan ini dilaksanakan adalah bagi memastikan sosioekonomi golongan nelayan tempatan sentiasa dijaga sekali gus bagi menjamin bekalan hasil laut kepada masyarakat.

Tukun tiruan jenis penghalang pukat tunda dapat memulihkan ekosistem perikanan di perairan Sarawak

Di bawah Projek Tukun Tiruan Sarawak Fasa 1 (2018-2022), sebanyak 16,800 tukun tiruan telah digunakan di kawasan pantai Sarawak dari Tanjung Datu ke Lawas, untuk melindungi ekosistem marin dan sumber di perairan pantai negeri Sarawak.

Projek tukun tiruan ini telah menyumbang kepada peningkatan mata pencarian masyarakat tempatan, pemuliharaan biodiversiti marin, perlindungan alam sekitar dan peningkatan sumber perikanan.

Melihat kepada kejayaan projek tukun tiruan pada fasa 1, Kerajaan Sarawak telah meluluskan Projek Tukun Tiruan Fasa 2 dengan kos berjumlah RM30 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article