- Advertisement -spot_img
4,828
published news
and counting

Pusat Komersial Matu Bakal Mengubah Landskap Pembangunan Daerah Matu

Must read

Pusat Komersial Matu yang dibangunkan dengan pekan moden serta bangunan-bangunan komersial di kawasan seluas 19 ekar bakal mengubah landskap pembangunan di Daerah Matu.

Projek yang dibina dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM16.5 juta itu telah bermula pada bulan Oktober tahun 2019 oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

Projek tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan daerah di kawasan persisiran tidak terlepas daripada arus pembangunan.

Pemandangan udara di sekitar Daerah Matu

Apabila pusat komersial itu sudah siap nanti, ia akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Matu di mana mereka bukan hanya akan mempunyai tempat untuk membeli-belah, malah peluang pekerjaan dan perniagaan juga terbuka luas buat mereka.

Selain itu, ia juga bakal menjadi platform utama untuk merancakkan lagi industri pertanian, perikanan dan penternakan di kawasan ini.

Seperti yang telah kita saksikan hingga ke hari ini, kegiatan ekonomi penduduk di daerah ini tidak jauh bezanya dengan zaman dahulu kerana masyarakat di sini masih giat menjalankan aktiviti pertanian dan perikanan yang merupakan sumber ekonomi utama mereka.

Daerah Matu termasuk Daerah Kecil Igan (248km2) yang berkeluasan 1,848 km2 dan berjarak 159.65 kilometer dari bandar Mukah mempunyai potensi yang sangat besar untuk diterokai.

Matu adalah satu-satunya Daerah di Bahagian Mukah yang masih banyak kekurangan terutama daripada segi akses jalan.

Sekurang-kurangnya 30% penduduk di Daerah Matu belum dapat dihubungi melalui akses jalan raya terutama mereka yang berada di kawasan rumah panjang dan buat masa ini mereka masih bergantung sepenuhnya dengan pengangkutan sungai seperti bot dan perahu.

Dalam pada itu, sebanyak 70% kawasan sudah pun menerima bekalan air bersih dan 30% kawasan masih belum menikmati bekalan air bersih kerana faktornya ialah tiada akses jalan sementara 92% kawasan sudah pun menerima bekalan elektrik.

Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur di Daerah Matu untuk memastikan rakyat dan daerah tersebut tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri.

Selain pembinaan pusat komersial ini, Daerah Matu telah menerima banyak peruntukan daripada Kerajaan Sarawak terutama yang berkaitan dengan jalan raya.

Bangunan Pejabat Majlis Daerah Matu dan Daro

Antaranya ialah projek pembinaan bangunan Kompleks Pertanian, pembinaan bangunan Pejabat Daerah Matu, Jalan Igan ke Kebuwau dan penukaran paip utama di kawasan berkenaan.

Di samping itu, ia turut merangkumi projek pembinaan jalan raya dari Igan ke Sungai Elas, pembinaan Dewan Masyarakat Igan, tapak Kaul Igan, pembinaan Masjid Matu serta pembinaan titian konkrit di Kampung Tian.

Projek pembinaan jalan ke Sungai Elas yang menelan kos berjumlah RM45 juta kini sudah dalam proses pembinaan dan apabila siap dibina nanti, ia akan membuka lebih banyak projek pembangunan lain di kawasan ini.

Jalan ini akan menghubungkan penduduk di kawasan Sungai Elas yang meliputi empat (4) buah rumah panjang dan sebuah kampung masyarakat Melanau (Kampung Sah).

Bangunan Masjid baharu di Daerah Matu

Selain itu, jalan Kampung Pasin – Matu sepanjang 17km yang menelan kos lebih kurang RM70 juta akan memberi manfaat kepada lapan (8) buah rumah panjang di Pasin.

Setelah melihat pelbagai projek pembangunan dibawa ke Daerah Matu, dahulunya kecil dan sunyi sepi, kini tidak lagi hanya sebuah kawasan terpinggir di kawasan luar bandar sebaliknya ia bakal menjadi tarikan orang luar untuk berkunjung ke sini.

Daerah Matu kini sudah bergerak ke arah sebuah kawasan sedang membangun yang bakal menaikkan taraf ekonomi serta taraf hidup penduduk di sekitarnya.

Dengan adanya projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di Daerah matu ini, penduduk akan bertambah makmur tambahan lagi adanya jalan akan memudahkan penduduk Matu dan Igan mencari rezeki dan membangunkan ekonomi mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article