- Advertisement -spot_img
Thursday, 29 February 2024 7:54pm

Membentuk Pasukan Kerja Efektif

Must read

Kejayaan mana-mana organisasi bergantung kepada bagaimana ahlinya berkomunikasi dan mengendalikan tugas bersama.

Meskipun, setiap jabatan mempunyai fungsi berlainan, tetapi semua ke arah satu objektif, visi dan misi yang sama.

Membentuk pasukan kerja yang efektif merupakan satu agenda yang menjadi keutamaan pihak pengurusan di dalam organisasi.

Pepatah mengatakan ‘kalau nak lari laju, lari seorang diri dan kalau nak lari jauh, lari dalam satu pasukan.’

Kerja berpasukan merupakan satu cara kerjasama yang perlu diamalkan di organisasi pada masa kini untuk membantu meningkatkan keupayaan individu dan keberkesanan pengurusan organisasi.

Pasukan yang efektif adalah terdiri daripada dua atau lebih individu yang mempunyai matlamat kursus untuk dicapai dan semua ahli terlibat secara aktif untuk merealisasikan matlamat secara usaha sama.

Kejayaan sesebuah organisasi memerlukan pengorbanan kepentingan individu demi keutamaan matlamat dan kepentingan organisasi.

Sikap mementingkan diri merupakan salah satu halangan yang besar kepada perkembangan sesebuah organisasi jika pekerja mempunyai cadangan yang bernas tetapi mereka tidak berkongsi dengan rakan-rakan sekerja yang lain.

Dalam dunia pekerjaan seperti dalam perkhidmatan awam, kita akan menerima tugas baharu hampir setiap hari.

Bagi mereka yang mahir, semuanya macam mudah. Tetapi bagi pekerja baharu atau kurang cekap selalunya akan gagal memenuhi piagam pelanggan serta kualiti kerja diinginkan apabila bekerja sendirian.

Sebaliknya, bekerja secara berkumpulan membolehkan mereka saling menyokong dan membantu antara satu sama lain, sekali gus menjadikan lebih produktif.

Selain mendapat sokongan fizikal, bekerja berkumpulan akan memberikan sokongan moral kepada pekerja.

Apabila menghadapi masalah seorang diri, pekerja biasanya akan tumbang sebelum selesai kerja kerana tiada sokongan moral, terutama dalam bidang operasi seperti penyiasatan dan tindakan khas. Jadi, mereka amat memerlukan sokongan moral supaya sentiasa berfikiran positif.

Kajian menunjukkan masalah rumit paling berkesan diselesaikan pasukan membabitkan tiga, empat atau lima orang, berbanding dengan orang yang menangani masalah sama secara bersendirian.

Bahkan, individu berprestasi tinggi tidak mampu menandingi mereka yang bekerja dalam kumpulan. Sesebuah organisasi semestinya mempunyai pekerja dengan pelbagai jenis bakat masing-masing.

Jelaslah, kerja berpasukan adalah bahagian paling penting dalam setiap organisasi kerana boleh berkongsi maklumat, memberikan motivasi serta membantu membuat keputusan lebih baik.

Dengan bekerja dalam satu pasukan, pekerja akan membangunkan rasa kekitaan dan komitmen terhadap satu sama lain dalam mencapai matlamat bersama. Justeru, prestasi kerja mereka turut sama meningkat serta menjadikan organisasi itu berjaya.

Manusia mengharapkan adanya kepuasan dalam kerjanya, kerana kepuasan kerja dapat memberikan kesan yang positif kepada produktiviti, perlakuan koperatif, kepuasan hidup, dan kesihatan pekerja.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article